Ahad, April 27, 2008
MANTAN PEMIMPIN KESATUAN SEKERJA DALAM PBKF
Keputusan pemilihan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Ke 9 pada 26 April 2008 di Dewan Merak Kayangan Felda, telah memberi nafas baru kepada ahli-ahli yang terdiri dari bekas kakitangan Felda. Ini adalah kerana beberapa bekas pemimpin Kesatuan Sekerja Felda telah memenangi jawatan. Mereka adalah:-
1. Khairuddin bin Hassan (Setiausaha) - Bekas Bendahari Agung
2. Indera Putra bin Ismail (AJK) - Bekas Presiden
3. Mohd Sunawan bin Hj Md Som (AJK) - Bekas Timbalan Presiden
4. Mohamad bin Abdul Rahman (AJK) - Bekas Setiausaha Agung
5. Abdul Muhi bin Abd Wahab (AJK) - Bekas Ahli MJA
Mengikut laporan yang dikemukakan dalam Penyata Tahunan, jumlah keahlian terkini adalah seramai 2859 orang. Jumlah ini masih jauh berkurangan sekiranya dibandingkan dengan kakitangan yang telah bersara yang mungkin telah mencapai 8000 orang.
Pemilihan bekas pemimpin kesatuan sekerja ini menampakkan bahawa ahli-ahli mahukan PBKF memberi tumpuan kepada keperluan ahli serta mereka yang masih belum menjadi ahli. Mereka merasa bahawa jawatankuasa lama tidak dapat atau kurang memahami kehendak ahli atau tidak mendekatkan diri kepada golongan sasaran yang patut dibantu. Ini dapat dilihat dari cadangan pindaan perlembagaan yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa PBKF dan dikemukakan kepada mesyuarat agung untuk perbahasan dan kelulusan. Diantaranya adalah cadangan hanya melantik Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha Kehormat, Penolong Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat. Mereka yang dipilih ini pula berkuasa melantik 5 orang Jawatankuasa. Perkara seperti ini mungkin tidak pernah berlaku di dalam persatuan atau badan-badan sukarela. Mereka khuatir jawatan ini akan dimonopoli oleh bekas pegawai kanan sahaja. Selain dari itu, cadangan untuk menjadi ahli dengan memberi masa tidak melebihi 6 bulan selepas tarikh persaraan adalah satu cadangan yang tidak mesra kepada bakal ahli. Mereka sepatutnya memahami bahawa tidak semua bekas kakitangan mempunyai kefahaman dan faedah menyertai persatuan terutama kakitangan kumpulan rendah seperti boroh dan pemandu. Apa yang perlu iaialh PBKF mesti turun ke bawah dan pemerhatian serta keutamaan ditumpukan kepada golongan sasaran dari mereka yang berpendapatan serta menerima pencen yang kecil.
Keluhan dari bekas kakitangan mengenai proses penerimaan menjadi ahli sebelum ini dengan menolak sebahagian dari mereka telah menyebabkan ketidakpuasan hati. Diantaranya telah diluahkan di dalam mesyuarat kali ini dengan keadaan yang sedikit tegang tetapi dapat dikawal dengan penoh profesional oleh pengerusi mesyuarat iaitu Haji Jayos Pawiro. Cadangan meminda perlembagaan juga telah ditolak oleh ahli yang hadir dan mereka mahukan jawatankuasa baru menyediakan cadangan yang lebih baik sesuai dengan kehendak ahli dan bekas kakitangan Felda.
Semua ini menunjukkan suatu manifistasi yang lahir secara jujur dari mereka agar Persatuan tidak seumpama syarikat yang boleh ditadbirkan oleh pengarah-pengarahnya sahaja, sebaliknya ia hendaklah berperanan lebih jauh dari sekarang dengan memberi tumpuan kepada pesara yang sangat-sangat memerlukan bantuan dan sokongan.
Pengharapan mereka telahpun dilahirkan dalam mesyuarat ini. Soalnya ialah mampukan jawatankuasa baru dari bekas pemimpin kesatuan sekerja ini dengan diketuai oleh saudara Indera Putera Ismail menyelami hasrat dan memenuhi kehendak mereka?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan