Ahad, April 27, 2008
MENGHADIRI MESYUARAT PBKF KALI KE 9
Setelah menunaikan solat subuh di rumah, isteriku menghantar ke Pejabat Felda Kawasan Johor Bahru. Di sana beberapa rakan sudahpun menunggu seperti Kak Timah (Fatimah Hamid)dan suaminya, Adnan, Raja Ismail, Othman (Man P2) dan Md Jati. Setelah beberapa rakan bekas Pegawai dan kakitangan Felda yang lain sampai, bas yang boleh muat 40 orang bertolak ke Kuala Lumpur melalui pekan Tiram, Kota Tinggi dan Kulai.
Seramai 39 orang berada di dalam bas iaitu setelah mengambil rakan di pekan Air Hitam. Di dalam bas, Haji Zainal Abidin Sulaiman yang menjadi Ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) menyatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menawarkan diri dan memegang jawatan. Sebaliknya, beliau mahukan ahli-ahli dari Johor memberi sokongan yang padu kepada sesiapa sahaja rakan yang bersedia dan sanggup memegang jawatan dan memberi perkhidmatan untuk ahli-ahli di Johor. Kak Timah dan Haji Ahmad Tumin (kedua-duanya diantara rakan yang banyak memberi khidmat dalam PBKF Johor) mencadangkan namaku untuk dicalunkan dalam pemilihan yang akan dijalankan. Nampaknya semua rakan-rakan di dalam bas bersetuju dan beberapa perbincangan telah dibuat mengenai beberapa perkara yang akan dibahaskan di dalam mesyuarat agung yang akan dijalankan. Aku telah diberi mandat untuk menjadi jurucakap.
Rombongan kami sampai di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur kira-kira pada jam 12.30 tengahari dan terus mendaftar diri. Tujuh orang rakan lain yang menaiki kereta juga turut mendaftar. Di antara yang mendaftar dan bersama di dalam bas adalah Alif Sabikan, rakan yang pernah bersama sepejabat di Felda Ulu Tebrau. Aku sangat menghormatinya kerana dalam keuzurannya yang sedang menerima rawatan dialisis kerana kegagalan fungsi buah pinggang, beliau masih sanggup datang. Aku lihat beliau nampak uzur tetapi hati, azam dan semangatnya tidak uzur. Pastinya beliau mahu PBKF dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada ahli-ahli terutama mereka yang semakin tua dan uzur. Begitu juga dengan Syed Sulaiman, bekas Pengurus yang ketika ini berumur 81 tahun, masih sanggup bersama-sama dalam rombongan Johor. Di dewan mesyuarat juga aku dapati beberapa rakan dari negeri lain yang datang dalam keadaan uzur dan bertongkat. Ini sepatutnya memberi kesedaran kepada PBKF tentang betapa tingginya pengharapan ahli-ahli supaya Persatuan dapat memberi sumbangan dan perkhidmatan yang maksima.
Sesungguhnya kehadiran seramai 46 orang ahli dari Johor ini adalah hasil usaha yang bersungguh-sungguh dari rakan-rakan seperti Haji Zainal Abidin, Kak Timah, Haji Ahmad Tumin dan lain-lain. Cuma yang menjadi kemusykilan ialah kemana perginya rakan-rakan dari Kluang dan Segamat?
Apapun kehadiran kali ini jauh lebih baik dari kehadiran mesyuarat yang lalu yang dihadiri oleh hanya 5 orang wakil dari Johor.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan