Radio Internet FuhYooFm

Ahad, April 06, 2008

IBU TERSAYANG



Sebaik aku mengadap skrin pc, tetiba aku teringat dengan seorang yang sangat aku sayangi lebih dari segala-galanya melainkan Allah dan Rasulullah. Pastinya wanita yang bergelar ibu yang ku maksudkan. Aku sudah tidak menatap mukanya sejak hampir sebulan yang lalu dan tidak pula aku menghubunginya.

Sabtu minggu lalu aku dan berjanji dengan isteri untuk balik kampung selepas menghadiri majlis kenduri kahwin anak Haji Ahamat Yusuf, Setiausaha Politik Menteri Besar Johor di Tangkak. Sebaliknya janji tinggal janji dan kereta yang ku pandu berjalan terus ke Kuala Lumpur mengarah ke rumah abang di Taman Sri Seradng. Mengapa aku harus melupakan ibu sedangkan aku tidak mempunyai sebarang tujuan ke KL?. Apakah abang lebih penting dari emak yang agak uzur ketika ini?. Aku tak pasti tapi antara aku dan abang yang seorang ini, ada semacam perasaan yang segala-galanya boleh diluahkan dan dikongsi bersama berbanding dengan adik beradik yang lain.

Ketika ini isteriku sedang bersiap-siap untuk kami balik kampung. Banyak nostalgia di sana walau aku tidaklah lama di kampung kerana ketika memasuki umur 17 tahun iaitu selepas memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, aku terpaksa membawa diri dan berhijrah ke Johor Bahru untuk mengharungi kehidupan yang jauh berlainan dari suasana kampung.

Ibuku yang selesa ku panggil emak bernama Sarmi anak dari sepasang suami isteri perantau dari Indonesia, Haji Abdul Majid (Reban) bin Radio dari Pati (Jawa Tengah) dan Hajjah Rahmah Sardini dari Kendal (Jawa Tengah). Seingatanku, emak tidak pernah memukul, mencubit atau sebarang perlakuan yang boleh menyakitkan secara fizikal. Yang aku masih ingat hanyalah emak pernah begitu marah kerana aku telah memetik sekuntum bunga matahari yang sedang berkembang. Peristiwa ini memang tetap ku ingat hingga kini.

Emak memahami kenapa aku diberi galakan untuk ke Johor Bahru. Ini adalah bermula episod dan titik tolak mengapa aku menjadi sebahagian warga Johor Bahru.

Keputusan SPM pada tahun 1968 dengan pangkat tiga serta aggrt. 35 sangat mengecewakan. Aku sepatutnya mendapat pangkat dua seperti yang ku jangka. Pada tahun yang sama abang kandung (Asmuni) juga mengambil peperiksaan MCE dan mendapat pangkat dua. Abang mengambil aliran Inggeris dan aku aliran Melayu. Kami saling bersaing tetapi disebabkan guru subjek Agama Islam telah memberi arahan supaya tidak membaca sebahagian ayat Al-Quran (ayat mengenai kewajipan berpuasa) aku telah tewas. Peristiwa ini juga tidak akan aku lupakan cuma aku lupa siapa nama guru tu.

Abangku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Politeknik Ungku Omar di Kuantan dan Institut Teknologi MARA di Shah Alam dan beliau memilih ke ITM. Inilah yang sangat mengecewakanku dan emak memahaminya.

Emak sering menasihatkanku supaya tidak berputus asa dan berharap aku dapat berusaha meningkatkan diri. Aku tahu harapan ini bukan mudah pada masa itu kerana peluang melanjutkan pelajaran tidak semudah sekarang. Kalau adapun sekolah dan kolej swasta hanyalah di Johor Bahru, itupun mungkin ada dua buah sahaja.

Emak dan bapak membawa aku ke Johor Bahru dan menyerahkan kepada pasangan Pak Mahat (pemandu lori JKR) dan Mak Tipah yang menduduki kuarters kakitangan di Jalan Kebun Teh. Kedua-duanya telah meninggal dunia dan mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semuga ditempatkan bersama roh-roh ahli syurga.

Apa yang harus ku buat di Johor Bahru? Hendak menoreh getah atau berkebun seperti yang biasa ku lakukan menolong emak dan bapak di kampung? Tentu tidak dan aku membantu Mak Tipah berjualan nasi lemak dan kuih mueh di sebuah warung, Jalan Segget.

Aku juga masih ingat, emak dan bapak dengan susah payah datang ke Johor Bahru pada pagi 14 Mei kerana sangat kuatir akan keselamatanku. Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pergaduhan antara kaum Melayu dan Cina di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Ipoh sangat membimbangkan orang tuaku. Aku tahu betapa sayang mereka kepada anak dan aku tahu betapa pengharapannya supaya aku dapat mencapai cita-cita serta menjadi manusia yang berguna.

Harapan kedua-duanya tidak ku hampakan walau aku terpaksa berhadapan dengan pelbagai peristiwa yang akan ku coretkan di blog ini.

Aku tidak peduli apa saja kata dan penilaian pembaca blog ini. Yang sangat penting bagiku adalah aku dapat mengimbau kembali segala kenangan hidupku dan harapan besarku segalanya akan dapat diketahui oleh semua anak-anak dan cucuku.

... Mak aku datang ni, akan ku cium tangan dan mukamu nanti.

Tiada ulasan: