Radio Internet FuhYooFm

Isnin, April 07, 2008

MAJLIS PERKAHWINAN DI KAMPUNGKU

Semalam aku dapat bertemu dengan emak, bahgianya bila sama-sama bersembang, makan malam dan bercerita panjang tentang cerita-cerita lama, sanak saudara dan sebagainya. Nama-nama yang aku dah lupa diingatkan semula terutama nyai (Hajjah Rahmah bin Sardini) berasal dari Kendal, Jawa Tengah, merantau ke Meru, Klang, Selangor dan katanya mempunyai anak saudara di sana. Entah siapa namanya, tapi kiranya diizinkan Allah mungkin akan ku mencarinya juga.

Setelah puas bersama emak, aku balik ke Johor Bahru dan sampai jam 12 tengahmalam. Niatku nak menonton perlawanan akhir tennis Miami ATP Masters Series Sony Ericsson Open tercapai dan melihat Rafael Nadal (pilihan ke 2) tumbang di tangan Nikolay Davydenko (pilihan ke 4). Sejak akhir-akhir ini beberapa pilihan utama seperti Federer kalah lebih awal.

Sebelum balik ke Johor Bahru, emak memberi sekeping kad jemputan perkahwinan pada 26 April dan bila ku lihat diari, aku dah merancang untuk mengikuti mesyuarat agung Persatuan Bekas Kakitangan Felda di Kuala Lumpur.

Aku dah berpesan pada isteriku (Aku memanggilnya MUN, panggilan manja sebagaimana ayah mertuaku memanggil isterinya) supaya dapat datang ke majlis ini. Mun mesti pergi kerana majlis sebelum ini kami tidak dapat pergi kerana urusan lain. Kalau tak pergi lagi kemana aku nak letak muka, malulah tu maksudnya.

Di bandar Johor Bahru masalah pergi atau tidak dalam majlis-majlis perkahwinan ini tidak begitu dipersoalkan sangat. Tapi di kampung aku, perkara ini sudah menjadi seperti satu kelaziman atau adat yang mesti diambil perhatian berat. Kalau tak datang pasti yang menjemput kita akan tahu juga. Jadi kena gantilah dengan benda lain kalau kita tak dapat datang. Apa benda lain tu? Biasalah.. sampul surat yang ada isi di dalamnya dan dihantar melalui orang lain yang boleh kita amanahkan. Jangan lupa, sampul surat tu kena tulis nama pengirim.

Ada beberapa adat di kampung aku yang mesti diperbaharukan tapi siapa yang sanggup merombaknya?. Asalnya adat atau kelaziman yang berlaku adalah baik seperti setiap jemputan yang datang akan membawa bahan mentah untuk jamuan, kuih mueh, wang tunai dan sebagainya. Apakah pemberian ini semua ikhlas?

Apa yang berlaku sekarang ialah setiap apa yang diberikan hendaklah dikembalikan apabila pemberi ini membuat majlis di kemudian hari. Nampak memang baik tetapi dalam pemberian wang tunai, ada diantaranya memberi RM50, RM100, RM200 bahkan ada yang lebih dari itu. Sebenarnya mereka mengharapkan akan dapat kembali segala pelaburan yang telah dibuat! Bagaimana kiranya kita tidak dapat mengembalikan pelaburan kerana mungkin pada masa tersebut kita kesempitan wang? Walau dalam keadaan apapun kita kena mencari dan menggantinya demi adat dan kelaziman di kampungku.

Masak memasak jangan nak cuba gunakan katerer (pembekal masakan atau tukang masak dari tempat lain), kesannya nanti ialah tidak akan ada orang kampung yang akan menolong dalam majlis itu.

Aku memang angkat topi dengan kerjasama mereka dalam kerja masak memasak ini kerana masakan mereka memang best. Yang aku tak berapa nak bersetuju ialah dalam kerja-kerja gotong royong ini (dalam bahasa kampung adalah rewang), ramai sangat yang datang seperti jiran, saudara mara dan rakan sahabat. Kalau tak datang, mereka akan rasa segan walaupun terpaksa meninggalkan kerja harian.

Ini hanyalah beberapa perkara yang perlu diperbetulkan. Perkara lain masih banyak juga yang baik seperti bergotong royong membaiki rumah, mencari kayu api di kebun dan belukar, mendirikan bangsal dan kemah, mengumpulkan alat perkakas masak memasak dan sebagainya.

Apa yang menjadi kegusaran aku ialah kalau kita nak tunjuk pandai atau membuat sesuatu yang baru, pasti akan menerima akibat yang lain. Jadi, jalan terbaik adalah gunakan perundingan dalam platform mesyuarat surau, masjid, pertubuhan dan sebagainya disebalik meyakinkan mereka terutama yang bergelar abang atau bapak supaya mereka memahaminya.

Apa nama kampungku? Memang hebat... Kampung Parit Puteri Menangis, Benut, Johor.

Tiada ulasan: