Persimpangan Bertingkat Perling pada pandanganku hampir siap sepenuhnya kerana semua kenderaan telahpun boleh melaluinya dari semua arah. Keadaanya memang melegakan pengguna walaupun nampak seperti simpang siur. Ini tidak dapat dielakkan kerana pembinaanya mungkin agak terbatas dengan keluasan tanah yang ada atau mungkin peruntukan kewangan yang terhad.
Begitupun ada beberapa perhatian pihak berwajib yang sepatutnya akan diambil tindakan atau mungkin tidak kerana sesuatu sebab yang aku tak ketahui.
Pertama ialah terdapat perhentian bas (bus stop) di bawah persimpangan laluan ke utara berhadapan Kg Maju Jaya. Aku berpendapat perhentian bas ini perlu dipindahkan kerana ia boleh menyebabkan kesesakan dan gangguan terutama pengguna yang menuju ke laluan Link Kedua. Aku telah menghubungi kawanku (Haji Maaz) yang bekerja sebagai Jurutera Jalan di JKR Negeri Johor dan beliau berjanji akan menghubungi pegawai yang menjaga projek berkenaan.
Kedua adalah tandaarah (signboard) hendaklah diletakkan ditempat yang betul dan mudah dilihat. Sebagai contoh aku sendiri telah memasuki arah yang salah apabila ingin ke Skudai dari Perling tetapi telah masuk simpang berpatah balik arah ke Perling semula. Begitu juga aku telah tersalah masuk persimpangan ke Perling dari arah Skudai sebalinya terus ke Pasir Gudang. Untuk masa akan datang mungkin aku tidak akan tersalah lagi tetapi bagaimana dengan pengguna dari luar kawasan?.
Ketiga adalah terdapat genangan air apabila hujan di bawah persimpangan bertingkat dari arah utara ke selatan. Dalam waktu puncak, sedikit genangan air boleh menyebabkan kesesakan yang teruk selain ia boleh menyebabkan permukaan jalan lebih mudah rosak.
Keempat adalah kedudukan beberapa buah rumah di Taman KOBENA yang terlalu hampir dengan persimpangan bertingkat dan Lerbuhraya Pasir Gudang arah ke Link Kedua. Cuba anda bayangkan bagaimana sebuah rumah teres 2 tingkat yang hanya tiga meter antara dinding rumah dengan jejambat. Sekarang ni dibina pula perhentian bas di situ dan ini semua amat merisaukan serta tidak selesa (diantaranya pengguna jejambat boleh melihat dengan jelas beberapa bilik dan dalam rumah). JKR sendiri pernah berjanji akan membina tembok mengelak bunyi bising dan pagar keselamatan. Difahamkan ADUN Kempas YB Datuk Osman Sapian telah dihubungi dan melawat tempat berkenaan tetapi masih tidak ada sebarang perubahan. Yang tak nampak ialah ahli parlimennya YB Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Dato Mohammad Rahmat. Jangan kerana kedua-dua pemimpin ini bertelagah maka kebajikan penduduk dan pengundi tidak dibuat pembelaan.
Sehingga kini aku masih teringat perkataan YB Datuk Osman Sapian bila aku bertanya kepadanya mengenai perkara ini. Sebagai sahabat aku cuba membantunya dengan melaporkan aduan pengundi dan penduduk di kawasannya, sebaliknya jawapan yang aku terima adalah "Apa engkau sebok-sebok, aku taulah apa yang aku buat!".
Aku cuma ingin mengingatkan kepada semua pemimpin terutama kawan-kawan aku yang jadi wakil rakyat supaya jangan sombong dan takbur, berilah perkhidmatan sebaik mungkin serta tunjukkanlah perilaku yang baik. Setidak-tidaknya ialah yang tidak baik itu biarlah Allah dan malaikat sahaja yang mengetahui.
Walau apapun komen dari orang ramai atau yang ku catatkan di atas, aku ingin mengucapkan tahniah atas kejayaan semua pihak termasuk wakil-wakil rakyat yang telah berjaya dalam pembinaan persimpangan bertingkat Perling dalam tempoh tidak sampai dua tahun.
Cuma yang terkilan sedikit adalah aku sendiri kerana semasa pembinaannya aku sentiasa berulangalik ke pejabat dari rumah ke Skudai. Dan apabila siap aku pula yang tidak menggunakan setiap hari kerana aku terpaksa berhenti kerja.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan