Jumaat, April 11, 2008
INGATKAH TAN SRI MAHYUDDIN KEPADA DSAI?
Perjumpaan dengan Tan Sri Mahyuddin Yassin petang tadi bersama-sama dengan rakan-rakan lain di Hotel Sofitel, Senai sambil bertukar-tukar fikiran mengenai situasi politik masakini menyebabkan aku berfikir banyak perkara walaupun diantaranya aku tidak bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Mahyuddin.
Aku memang sangat setuju dengan kenyataan bahawa kekalahan BN di beberapa buah negeri serta kemerosotan sokongan pengundi adalah disebabkan oleh pengundi bukan Melayu terutama Cina dan India yang biasanya memberi sokongan diantara 30 hingga 40 peratus, tetapi kini telah menurun sehingga tinggal lima peratus sahaja. Tan Sri memberi contoh bagaimana YB Dato' Shahrir Samad hilang majoriti hingga separuh. Dia sendiri hilang lebih 6,000 undi. Diantara sebab yang diberi adalah kerana ketidakpuasan hati dalam banyak perkara seperti permintaan-permintaan yang tidak dapat ditunaikan. Di Parlimen Pagoh terdapat dua buah sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan sebuah darinya mendapat bantuan sebanyak RM600 ribu, malangnya Tan Sri kalah di kedua-dua tempat tersebut. Ini menunjukkan bantahan mereka tetap ditunjukkan semasa pilihanraya yang lalu.
Dalam kes ini aku ingin menunjukkan bukti bahawa kenyataan tersebut adalah betul. Di DUN Stulang, Johor Bahru, calon BN dari MCA adalah Mok Chek Hau, telah kalah di lapan pusat mengundi dengan kebanyakannya hanya mendapat sekitar 30 peratus. Paling rendah adalah di Dewan Sri Tebrau, Taman Sri Tebrau (Pengundi Melayu 119, Cina 1482, India 23, Lain-lain 3), beliau hanya mendapat 33.82 peratus. Jumlah keseluruhan undi yang beliau terima adalah sebanyak 16,273 atau 55.48 peratus (majoriti 6,181 undi). Peratus pengundi di DUN Stulang adalah Melayu 39.55%, Cina 55.17%, India 4.48%. Dua calun lain yang bertanding adalah dari PRM (Cina) dan DAP (India). Sebagai makluman, calun yang lalu ialah Freddie Long Hoo Hin dari MCA dan mendapat majoriti ketiga terbesar di Malaysia dengan majoriti 16,745 undi.
Lihat bagaimana pengundi Melayu memberi sokongan yang sangat besar kepada calun BN dari MCA. Buktinya ialah lima pusat mengundi telah memberi sokongan melebihi 80 peratus seperti di Sekolah Agama Dato' Sulaiman Menteri, Majidi yang telah memberi 86.37 peratus (Pengundi Melayu 1153, Cina 2, India 1, Lain-lain 1).
YB Dato' Shahrir Samad yang begitu sinonim dengan Parlimen Johor Bahru pernah mendapat majoriti terbasar di Malaysia pada PR11 juga telah merosot dan pada PR12 beliau mendapat 43,143 undi atau 69.22 peratus. Jumlah pengundi Melayu di Parlimen Johor Bahru adalah sebanyak 51.03%, Cina 43.71% dan India 4.78%. Kemerosotan ini masih boleh dibanggakan kerana dalam kedudukan majoriti, beliau masih boleh mengekalkan tempat keempat iaitu 25,349 undi (Johor Bahru - Melayu 51.03%) di belakang Teresa Kok 36,492 undi (Seputih - Cina 89.69%), Tan Kok Wai 28,300 undi (Cheras - Cina 84.14%), Dato' Sri Najib Tun Razak 26,464 undi (Pekan - Melayu 92.96%). Dalam perkiraanku, Dato' Shahrir masih mendapat hampir 30 peratus dari pengundi bukan Melayu. Jangan kita lupa perlimen Johor Bahru terletak dalam kawasan Bandaraya Johor Bahru dan trend pengundi kawasan bandar di Malaysia dalam PR12 ini banyak memihak kepada pembangkang.
Aku percaya kiranya calun-calun BN mempunyai kekuatan dan karisma seperti Dato' Shahrir, mungkin faktor kekalahan disebabkan pengundi bukan Melayu ini dapat dikurangkan. Contohnya, di pusat mengundi Dewan Sri Tebrau, Taman Sri Tebrau, Dato' Shahrir mendapat 48.24 peratus sedangkan calun MCA (BN) hanya mendapat 33.82 pertus.
Banyak kenyataan juga menyatakan bahawa pengundi bukan Melayu ini tidak memilih calun atau parti yang bertanding asalkan sahaja bukan Barisan Nasional. Ini menunjukkan kebenciannya kepada BN. Di Parlimen Pulai, calun parti PAS, Abdullah Ideris (penjual ayam di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru) mendapat 17,587 undi atau 31.01 peratus sedangkan pengundi Melayu hanya 50.80 peratus. Penyandangnya Datuk Nur Jazlan Mohamed kehilangan majoriti 14,467 berbanding PR11.
Dalam membincangkan faktor kemerosotan ini, Tan Sri Mahyuddin tidakpun menyebut walau sepatah perkataan mengenai bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Anuar Ibrahim (DSAI) sedangkan bagiku beliaulah diantara punca utama peralihan sokongan pengundi kepada parti-parti pembangkang. Aku tidak mahu membangkitkan perkara ini dihadapannya kerana diantara kawan-kawan yang ada mengsyurkan supaya Presiden UMNO mesti diganti dan ada pula yang meminta supaya Tan Sri sendiri yang mengambilalihnya.
Sebagaimana Tan Sri, aku juga percaya keadaan ini tidak boleh dipersalahkan hanya kerana kelemahan Presiden. Dato' Sri Anuar adalah diantara puncanya kerana aku tahu beliau mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada orang lain. Allah SWT telah memberinya kelebihan petah berpidato dan digunakan sepenuhnya untuk bermain dengan kata-kata. Bukan itu sahaja, beliau bijak mengguna strategi dan mungkin ia dibantu oleh satu badan yang beliau wujudkan dulu iaitu Institut Kajian Dasar (IKD).
Aku menghormati DSAI atas kelebihan dan keistimewaannya tapi aku telah dapat mencium ciri bahaya yang beliau miliki seperti pada ketika nama beliau sedang mula dibibir rakyat Malaysia terutama ahli-ahli UMNO. Pada tahun 1985 ketika DSAI menjadi ahli kabinet dan memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai telah membuat kejutan dengan mencalonkan Dato' Syed Hamid Albar untuk mengambilalih jawatan tersebut dan diikuti oleh beberapa Bahagian yang lain. Ini memeranjatkan banyak pihak kerana ada Pemuda Bahagian yang berani mencalonkan pemimpin lain untuk menentangnya.
Sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pulai, aku berani mengambil risiko dan banyak mendapat sokongan terutama dari Negeri Johor dan Perak. Keadaan ini merisaukan Tan Sri Mahyuddin kerana pada masa itu beliau adalah Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar Johor. Episod seterusnya adalah Tan Sri telah membawa DSAI dan dengan ditemani oleh Abu Bakar Dewa (Allahyarham) yang juga Ketua Pemuda Negeri berkunjung ke rumahku (sebuah rumah kos rendah yang aku masih mendudukinya hingga kini). Tujuannya tak perlulah dihuraikan di sini kerana semua pembaca tentu sedia maklum.
Alhamdullillah, sehingga kini Allah SWT masih memberi kekuatan tentang keyakinanku terhadap DSAI dan dengan beberapa peristiwa yang telah berlaku, aku lebih yakin bahawa lakonan DSAI boleh menghancurkan umat Melayu, agama dan negaranya.
Aku ingin mengingatkan ini semua kepada Tan Sri tetapi apakan daya panggilan solat maghrib lebih diutamakan. Insyaallah, di satu masa yang lain aku akan memberitahunya sekiranya berpeluang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Saudara Sunawan,
Bagi menentukan kedudukan majoriti kemenangan seseorang calon HENDAKLAH dilihat daripada peratusan dan bukan jumlah undi. Peratus majoriti adalah lebih munasabah dalam menunujukkan keupayaan seseorang calon meraih undi popular.
Rakanmasjid
Perjuangan BN/UMNO sudah tidak relevan lagi kerana kekuasaan selama 51 tahun telah menghancurkannya...
Catat Ulasan