Sebagai warga Johor Bahru aku amat malu dengan keadaan ini. Poster yang ditampal dimerata tempat bahkan di 'muka' kepunyaan MBJB juga ditampal. Buktinya, mereka dengan sewenangnya menampal di tanda nama jalan dan papan-papan tanda lain kepunyaan MBJB.
Yang lebih anih dan aku jadi keliru adalah MBJB boleh pula membenar dan memberikan permit untuk memasang banner di tempat yang telah ditentukan. Dalam perkara ini aku tidak setuju permit diberi kepada mereka kerana kesalahan besar adalah mereka telah menampal, memasang dan menyebarkannya dalam bentuk poster tanpa sebarang kebenaran.
Apakah dengan memaparkan nombor telefon serta peratusan faedah yang akan dikenakan sebagai satu cara untuk menarik pelanggan itu mempunyai etika yang betul sedangkan kita tahu kebanyakan orang yang meminjam dengan along akan berakhir dengan pelbagai kebinasaan.
Contoh terbaik yang boleh kita lihat adalah di Bandar Baru Uda apabila beberapa orang penduduk berusaha sendiri membersih dan membuang segala poster ini tetapi mereka sangat terkilan apabila melihat banner terpampang di persimpangan jalan dan mendapat kebenaran dari MBJB.
Tidak malukah Datuk Bandar, Ahli-ahli Majlis dan Pegawai-Pegawai MBJB melihat kekotoran dan kebiadaban 'along-along' ini?
Apa pula yang terjadi dengan pelancaran 'rakan majlis' sebagaimana mencontohi 'rakan cop'?
Apakah mungkin perlu campur tangan dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru?
Jangan 'along' lebih berkuasa dari Datuk Bandar!
Fasha jadi ‘model’ along
Oleh Mary Victoria Dassmaryvictoria@hmetro.com.my
Ratusan poster pelakon cantik yang baru saja dinobat Pelakon Filem Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) Berita Harian 2007, Ahad lalu, dikesan ditampal merata tempat di sebuah kawasan perindustrian di Bandar Permas Jaya, di sini.
Ini termasuk di tiang elektrik, pondok telefon serta peti kuasa elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), terutama yang hampir dengan pusat beli-belah, pasar dan hentian bas.
Helah terbaru terbabit digunakan sindiket itu bagi menambat pelanggan biarpun menyedari perbuatan haram terbabit mampu menjejaskan nama baik artis berusia 24 tahun itu.
Peniaga, Basirudin Ariffin, berkata dia terkilan apabila melihat poster itu memaparkan gambar Fasha ditampal secara berleluasa di kawasan perindustrian berkenaan sejak kelmarin.
Katanya, secara tidak langsung, poster itu mengaibkan pelakon yang mempunyai nama besar dalam industri perfileman negara kerana seolah-olah dijadikan ‘model’ sindiket along untuk mempromosikan perkhidmatan pinjaman kewangan.
Menurutnya, apa yang dikhuatiri, taktik mereka boleh mempengaruhi lebih ramai pelanggan termasuk peminat artis itu sendiri.
“Saya tidak pernah melihat poster seumpama itu sebelum ini. Berani mereka memaparkan nama artis berkenaan.
“Bunyinya menarik apabila membaca kerana menawarkan pinjaman peribadi daripada RM5,000 sehingga RM200,000 termasuk bagi pinjaman rumah, tanah, kedai, kilang, emas, kereta, pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertukaran cek dan menawarkan bayaran selama 24 bulan.
“Ia juga mencatatkan nombor telefon sindiket berkenaan selain mempelawa orang ramai menjadi pegawai pemasaran sindiket berkenaan kerana menawarkan komisyen,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Farhan Abdullah, 24, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab sindiket berkenaan juga boleh mencetuskan rasa kurang puas hati di kalangan peminat pelakon berkenaan.
Katanya, persoalannya mengapa sindiket itu semakin hari semakin berani, malah kini mereka juga mengiklankan kegiatan mereka dengan menggunakan gambar artis tempatan.
“Kalau dulu mereka mengedarkan kad perniagaan secara bebas, tetapi kini taktik terbaru adalah menggunakan gambar artis.
“Saya terserempak dengan seorang lelaki dipercayai pekerja sindiket itu bebas melekat poster berkenaan di dinding depan kilang tempat saya bekerja pada tengah hari, semalam (kelmarin).
“Diharap pihak yang bertanggungjawab berusaha memberhentikan perkara terbabit termasuk Bank Negara, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan