Radio Internet FuhYooFm

Khamis, April 03, 2008

KELAS TARANUM








Gambar semasa musabaqah di SMK Dato' Pnggawa Barat pada tahun 1966. Duduk di belakang adalah Sdr Hassan Karim (Kini pemimpin kanan Parti Rakyat Malaysia)


Malam tadi aku hadir ke kelas taranum Al-Quran pimpinan Ustaz Sapri di surau Taman Nesa, Skudai. Aku sepatutnya berada di Masjid BBU untuk memantau kursus untuk bakal-bakal haji dengan kerjasama Tabung Haji Johor Bahru sedang dijalankan.

Ini adalah hari ketiga aku ke kelas memahir dan melagukan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Setakat ini aku hanya dapat mengikuti lagu 'soba' kerana masuk pun sudah terlambat. Rakan-rakan lain sudah beberapa bulan lalu.

Aku harap akan dapat meneruskan kelas ini walaupun sudah agak terlewat dengan usia kini tetapi ini semua tidak akan melemahkan kerana mungkin ia akan menjadi pendorong kepada anak-anak dan cucu-cucuku untuk mengikutinya.

Aku masih teringat ketika berusia 11 dan 12 pada tahun 1963-1964, aku pernah mewakili Sekolah Agama Seri Senang Hati dan Sekolah Agama Bandar Pontian di pertandingan sekolah-sekolah agama daerah Pontian, Johor. Aku sekadar mendapat hadiah saguhati. Guru yang pernah mengasuh taranum adalah Ustaz Sarbini Maring dan Ustaz Nahlawi.

Pada tahun 1966 aku pernah disytihar sebagai pemenang dalam pertandingan di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Penggawa Barat Pontian. Diantara hakim pertandingan adalah Tuan Kadi Kiyai Haji Mohd Shah yang sangat terkenal di negeri Johor.

Sekarang, setelah 44 tahun berlalu tanpa aku memikirkan untuk mengikuti kelas taranum, barulah sekarang terbuka hati. Memang sudah agak kaku dan keras kerongkongku untuk mengikut rentak dan alunan lagu-lagu yang diajar oleh Ustaz Sapri.

Aku rasa dengan ingatan yang masih ada dan segala pelajaran tajwid serta fasahah yang diajar oleh Ustaz Kamaruddin Koming Alhafiz di masjid BBU setiap hari selasa, aku rasa dapat mengikuti pelajaran walaupun tidak semudah seperti ketika kanak-kanak dahulu.

Dengan perakam video yang ada, aku gunakan untuk merakam segala tunjuk ajar dari ustaz dan di rumah aku cuba mengikutinya. InsyAllah, kiranya ada usaha yang sungguh-sungguh dan tidak patah separuh jalan, tentu usaha baik ini akan berjaya.

Tiada ulasan: