Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, April 04, 2008

SOLAT JUMAAT DI MASJID BBU

Hari ini Jumaat, aku akan ke masjid BBU untuk solat Jumaat dan seperti biasa rutin yang aku buat adalah menjaga kanak-kanak malah anak-anak remaja supaya mereka berdisiplin semasa khatib membaca kutbah.

Bukan mudah untuk membuat kerja ini. Aku hanya dibantu oleh Haji Awi Sapawi sementara jemaah di masjid ini adalah dianggarkan seramai 3,500 orang (Masjid ini boleh menampung seramai 5,000 jemaah). Orang dewasa juga perlu diatursusun untuk masuk saf yang betul. Walaupun setiap kali solat hendak dikerjakan, imam pada setiap minggu terpaksa menyeru kepada jemaah untuk masuk dan memenuhkan ruang kosong di hadapan tatapi ada antara mereka tidak memperdulikannya. Ini menjadikan saf terputus-putus.

Pelik tetapi benar, sebahagian jemaah ini lebih suka berada di ruang luar sedangkan di dalam masjid begitu nyaman dengan disejukkan oleh pendingin hawa (ruang ini boleh menampung 3,000 jemaah). Bukankah lebih afdal kita berada di ruang dalam dan bersama dengan jemaah lain dalam saf yang lebih di hadapan?

Mereka juga tidak ambil peduli mengenai saf yang terputus sedangkan kita telah diajar untuk memenuhi ruang yang kosong. Malah diantara mereka ada yang suka membentuk saf dari sebelah belakang, kiri atau kanan sedangkan apa yang menjadi sunnah adalah bermula saf dari hadapan dan dari kedudukan di belakang sebelah kanan imam dan diikuti sebelah kiri.

Sekiranya semua jemaah memahami peraturan yang ini pastinya kita nampak betapa berdisiplinnya umat Islam melakukan solat dengan tawaduk seolah-olah umat Islam bersatu (dianjurkan rapat bahu ke bahu) menghadap Allah yang Esa. Paling tidak pun pada masa ini mereka akan melupakan hal-hal dunia walau buat seketika.

Aku juga merasa pelik dengan tanggungjawab bapa yang tidak mengambil peduli tentang anak-anak mereka yang datang ke masjid untuk (mengerjakan?) solat. Kebanyakan mereka ingin anaknya bersolat tetapi apakah mereka tahu ada antaranya hanya datang kerana mesti datang atau untuk memenuhkan ruang sahaja.

Di hati mereka mungkin begini "Peduli apa dengan anak-anak di belakang, tentu ada Jawatankuasa yang akan melihat dan mengaturkan mereka, yang penting aku dapat mengerjakan solat dengan khusyuk".

Pernah juga aku menegur perkara ini dan diantara mereka dengan selamba menjawab "Kalau dulu semasa aku kecil, guru-guru sekolah agama yang bertanggungjawab dengan disiplin di masjid, jadi sekarang kenapa guru agama tak buat kerja ni?".

Mudahnya kita melepaskan tanggungjawab kepada orang lain. Tidakkah mereka tahun di kebanyakan sekolah agama sekarang ini guru lelaki hampir pupus. Di sekolah agama BBU hanya ada 2 orang guru lelaki berbanding 41 orang guru perempuan.

Aku harap coretan ini akan memberi kesedaran tentang tanggungjawab kita yang hanya pentingkan diri tetapi mesti bersama dengan piahk yang lain.

Tiada ulasan: