Rabu, April 09, 2008
SEMINAR TAREKAT KESUFIAN
Pagi tadi aku menghadiri mesyuarat mengenai Seminar Tarekat Kesufian di Jabatan Agama Johor. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Haji Zalil Baron telah memutuskan untuk mengadakan seminar tersebut pada hari Khamis 24.04.2008 mulai jam 08.00 pagi bertempat di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru. Peserta yang akan mengikuti seminar ini adalah kakitangan kerajaan, Jawatankuasa Keselamatan Kampung, Jawatankuasa Masjid dan Surau, guru-guru sekolah, pertubuhan belia dan orang awam yang berminat. Pada sebelah malamnya, empat buah masjid telah diputuskan untuk mengadakan Majlis Zikir mengikut tarekat yang telah ditentukan iaitu Masjid Lama Batu Pahat (Tarekat Ahmadiah) dipimpin oleh Sohibussamahah Dato' Mortadza Ahmad - Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus, Masjid Kg Melayu Johor Bahru (Tarekat Kadiriah) dipimpin oleh Kiyai Haji Suhaili Solihen - Batu Pahat, Masjid Dato' Onn, Larkin (Tarekat Naqsyabandiah) dipimpin oleh Dr Abdul Manan Mohamad - Fakulti Kompenterari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Terangganu dan keempat adalah Masjid Jamek Bandar Baru Uda (Tarekat 'Alawiah) dipimpin oleh Syed Hassan Syed Mohamad Al-Attas - Imam Masjid Ba'alawi, Singapura.
Mengikut kertas kerja yang telah dikemukakan oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Johor, menyatakan bahawa Tarekat Kesufian merupakan satu cabang bagi sesorang untuk mengenal dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu aliran kesufian merupakan satu kaedah mulia yang telah diwarisi sejak zaman Rasullah SAW tetapi kurang diambil perhatian oleh sebahagian umat Islam dan sebahagiannya memandang sesat terutama mereka yang tidak berminat atau jahil dalam aliran tersebut.
Seminar ini diharapkan akan dapat memberi penjelasan kepada ahli pasukan berhubung dengan isu tarekat dan tasauf yang dibangkitkan oleh mereka yang anti kepada amalan berkenaan terutama golongan dan pengikut Wahabi. Diharapkan juga seminar ini akan memberi peluang kepada peserta yang mengikutinya tentang penjelasan, perbincangan serta soaljawab dengan penceramah yang pakar dan berkemahiran.
Bagi aku seminar ini pasti akan meningkatkan ilmu dan kefahaman kita mengenai tarekat kerana sebahagian dari kita hanya mengikut dan melakukan amalan seperti yang sangat popular di Johor Bahru iaitu Zikir Asma 'Ul-Husna dan Maulid Deba'. Sebagai contoh isteri aku sendiri akan merasa sangat marah kiranya tidak diberitahu program Asma 'Ul-Husna kerana baginya dia tidak mahu ketinggalan untuk membaca, berwirid dan berzikir beramai-ramai. Bukan itu sahaja, di Johor Bahru ada pihak yang akan bermurah hati mengeluarkan perbelanjaan bahkan sanggup sedekah kambing (seolah-olah kemestian) untuk mengadakan wirid ini dimana sahaja masjid dan surau.
Aku juga masih ingat Allahyarham bapakku akan mengerjakan 'solok' dengan membuat berbagai amalan, wirid dan berpuasa terutama di bulan Sya'aban di madrasah Haji Hamzah Sibin, Kg Puteri Menangis, Benut. Pastinya bapak sanggup tidak mengerjakan ladang dan kebun, sebaliknya berada di madrasah tersebut sekurang-kurangnya 14 hari atau satu bulan.
MasyaAllah, kenapa aku tak dapat melakukannya sebagaimana yang bapak lakukan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Assalamu’alaykum wr wb
Salam ukhuwwah. Semoga kita akan saling berhubungan & berkasih sayang atas dasar syiar Islamiyyah. Teruskan perjuangan murni itu...
Kunjungi Blog kami Jami’atul ‘Ubudiyah (EXTRO) Kelantan-Malaysia di… raudzahubudiyah.blogspot.com
Semoga ia bermanfaat untuk saling bekerjasama & bertukar-tukar pandangan.
Salam Kasih Sayang, Wassalam.
Ikhwan
Catat Ulasan