Isnin, April 21, 2008
TANAMAN BUNGA, APPLE & STRAWBERRY
Kami terpaksa mengubah jadual perjalanan dari Kabupaten Pati ke Surabaya kerana ingin melawat kawasan berbukit bukau yang berhawa dingin di kawasan Malang. Mas Mamat, supir yang memandu mobil Kijang Super mencadangkan kami ke Kusuma Agrowisata di Kota Batu, Malang. Setelah menunaikan solat maghrib di salah sebuah masjid di Malang, kami terus menikmati makan malam di restoran masakan Sunda di Kota Batu. Masakannya sedap dan menyelerakan dengan harga berpatutan.
Sewaktu menikmati makanan, aku menghubungi Haji Alimat dengan menggunakan handphone (dalam bahasa Indonesia disebut telfon genggam). Ketika itu beliau juga sedang berada di Kota Batu dan menginap di rumah sesebuah yang dijadikan rumah tumpangan, harganya agak murah sekitar RM40. Hotel yang kami dapat adalah sebuah hotel yang agak lama. Hotel dan rumah tumpangan di sini tidak dilengkapkan dengan penghawa dingin (AC - sebutannya Ai Sei) kerana cuaca di luar agak dingin. Aku sukar melelapkan mata kerana kedengan beberapa gangguan bunyi di luar bilik dan juga deringan telefon. Haji Mohd Said pula mengatakan ia kepanasan.
Sarapan kami yang disediakan oleh hotel adalah nasi goreng yang dihantar ke bilik. Kami terus mengelilingi Kota Batu yang begitu bersih dan indah sebelum ke Kusuma Agrowisata Hotel Resort and Convention untuk melihat tanaman apple, limau dan strawberry. Kami adalah kumpulan pertama yang sampai ke projek wisata atau pelancongan ini yang mempunyai keluasan 35.5 hakter. Kawasan ini dilengkapkan dengan hotel, kemudahan sukan rekreasi dalam dan luar dewan. Untuk memasuki kawasan tanaman, pengunjung dikehendaki membeli tiket. Kawasan tanaman yang ada di sini adalah apple, limau manis, strawberry, buah naga, sayur-sayuran hidroponik serta tanaman bunga hiasan. Pengunjung juga akan dapat menikmati makanan dan minuman yang diperbuat dari buah-buahan seperti sari apple, limau, puding strawberry dan lain-lain. Sekitar kawasan tanaman juga terdapat binatang di dalam kandang seperti berbagai jenis ayam dari seluruh dunia. Kami juga dibenarkan memetik buah-buahan untuk dimakan dan dibawa balik dengan had yang dibenarkan adalah empat biji bagi setiap orang.
Keindahan pegunungan di sini sangat indah terutama di waktu pagi dengan kawasan bersih Kota Batu. Sebagai kota yang dikelilingi pegunungan menjadikan Kota Batu sebagai daerah yang berhawa sejuk dan mempunyai tanah yang subur, ratusan jenis tanaman dan buah-buahanan, kota batu juga merupakan salah satu daerah yang mempunyai tujuan pelancongan di Indonesia.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan