Isnin, April 21, 2008
PEMBUATAN GARAM LAUT
Selepas singgah di Masjid Agung Demak dan makan siang di sebuah rumah makan (restoran) nasi padang yang aku rasa hanya untuk makan kerana masa pun agak lewat, Hussin membawa kami ke pasar membelibelah di Kudus. Barangan agak murah seperti di Pasar Tanah Abang, Jakarta. Banyak barangan untuk jualan glosir (borong). Hussin menyatakan disinilah tempatnya membeli barangan untuk dijual dikedainya. Aku membeli songkok dan isteri mencari kain tudung dan telekong. Haji Mohd Said membawa balik belangkon (songkok Jawa diperbuat dari kain batik). Isteriku melarang aku membeli belangkon. Dia tak akan berjalan beriringan denganku kiranya aku memakai belangkon! Katanya mana ada songkok atau topi yang ada "buah" di belakangnya, dia geli geleman.
Malamnya kami bermalam di sebuah hotel di Pati. Berpisahlah kami dengan Hussin dan beliau dihantar pulang oleh Mamat. Shopping lagi malam itu di Pati dan barangan yang dibeli adalah untuk Syafikah, Dini dan Danish.
Selepas sarapan pagi di hotel, kami meneruskan perjalanan menghala ke tanah tinggi di Malang. Kami diberitahu kawasan ini agak sejuk seperti di Bandung dan terdapat tanaman apple serta strawbarry.
Di dalam perjalanan menyusuri jalan pantai utara, banyak pemandangan penternakan ikan dan pembuatan garam. Kami mengambil kesempatan berhenti untuk melihat sendiri bagaimana garam dihasilkan. Kami sempat berjumpa dengan petani garam dan diberitahu bahawa garam hanya dapat dihasilkan sekali sahaja setahun iaitu pada setiap bulan Jun. Pada waktu yang lain, kolam tempat pembikinan garam akan digunakan untuk menternak ikan. Pada bulan Jun dan Julai merupakan musim yang sangat sesuai kerana musim panas dan hujan yang kurang.
Pantai utara Pulau Jawa adalah sangat sesuai kerana pantainya tidak mempunyai sungai yang banyak dan ia mempunyai kadar garam yang tinggi. Ia juga berkaitan dengan kelembaban udara, tiupan angin, serta panjangnya waktu musim kemarau. Sebab itu, bagi semua pantai di Malaysia, ia sangat tidak sesuai kerana banyak sungai dan curahan hujan yang cukup tinggi yang menyebabkan kadar garam yang rendah.
Difahamkan kawasan produksi garam adalah dari Jawa Timur yang boleh mengeluarkan sekitar 52 persen garam nasional untuk Indonesia.
Pembuatan garam agak mudah dengan mengalirkan semula air laut ke petak-petak yang telah tersedia. Dengan bantuan sinar matahari, air laut akan menguap dan meninggalkan kristal-kristal garam. Kristal garam tersebut biasa disebut garam krosok. Setelah menjadi garam krosok, para petani itu lalu mengumpulkannya di pondok. Garam yang terkumpul akan memutih di bahagian bawah dan segala kotoran akan berada di sebelah atas longgokan.
Pembuatan garam memerlukan waktu seminggu, dengan matahari bersinar terang. Akan tetapi, bila cuaca mendung pembuatannya memerlukan waktu lebih lama sehingga mencapai sepuluh hari.
Begitupun, beberapa masalah untuk menghasilkan garam biasanya disebabkan ketidakpastian musim kering atau kemarau. Selain dari itu air pasang di pantai utara juga boleh menyebabkan puluhan hektar tambak menjadi rosak walaupun mungkin tambak-tambak tersebut sudah menghasilkan kristal-kristal garam yang masih muda.
Musim kemarau yang tidak pasti dan terjadinya air pasang merupakan kesan dari pemanasan global yang kini mulai memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dunia. Masalah itu masih akan terus terjadi pada waktu mendatang dan ia harus ditangani supaya ia tidak memberi kesan yang besar kepada pengusaha garam laut.
Masalah lain adalah saluran air penghubung laut yang dangkal juga boleh mengakibatkan produktiviti menjadi susut. Di pantai utara pulau Jawa, saluran-saluran sepanjang laut menuju tambak sebenarnya selalu didalamkan oleh petani garam sendiri dengan tidak menggunakan sebarang mesin. Biasanya lumpur yang dibawa dari laut akan menyebabkan saluran menjadi cetek. Ini menyebabkan air laut sukar untuk memasuki kawasan petak-petak pengeringan.
Masalah lain yang sangat klasik ialah petani garam menghadapi permainan harga oleh orang tengah menjelang waktu penuaian garam. Harga garam pada waktu biasa adalah sekitar 200 rupiah bagi setiap kilo. Bagaimanapun, pada masa penghasilan garam pada bulan Jun dan Julai, ia boleh menurun sehingga ke 50 rupiah bagi setiap kilo.
Ramai orang tidak mengetahui bahawa sari air laut dari pembuatan garam ini dapat menurunkan kolesterol dan mencegah osteoporosis. Sari air laut ini adalah dari penguapan atau mendapan air laut di dalam pembuatan garam. Biasanya pembuat garam hanya menjadikannya sebagai bibit untuk membuat garam ulang atau mungkin sisanya dibuang ke laut. Di Jepun ia dijual cukup mahal dengan harga 9.9 dolar untuk setiap 200 mililiter.
Berita terkini menyebut bahawa penghasilan air garam ini boleh menurunkan kadar kolesterol dalam darah, mengganti kulit-kulit yang rusak, mencegah osteoporosis hingga menguatkan otot jantung.
Di Jepun, air garam ini disebut sebagai air nigari atau bittern yang dapat digunakan untuk berbagai keperluan tidak hanya untuk kesehatan tapi juga untuk bahan pembuat tofu, yakni tahu Jepun. Kandungan mineral yang terdapat dalam sari air laut ini adalah mineral-mineral seperti magnesium sulfat (MgS04), Natrium Chlorida (NaCl), Magnesium Chlorida (MgCl2) dan Kasium Chlorida (KCl).
Meskipun banyak yang memandang penghasilan garam dengan sebelah mata dan tidak mempunyai nilai bisnis, tetapi pada kenyataannya ialah hasil mendapan air laut ini mempunyai erti yang besar dalam kehidupan manusia. Ada ungkapan seperti 'sayur tanpa garam' akan menjadikan sayur sebagai makanan tanpa garam akan terasa hambar. Garam, harus diakui bahwa ia adalah komoditi yang multifungsi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan