Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Mei 29, 2008

IKHLASNYA GURU TARANUM KAMI








Setelah dua bulan, aku belajar taranum Al-quran berguru dengan Ustaz Haji Safri, malam tadi kami telah berpindah ke surah yang lain. Ini bermakna kami telahpun diajar kesemua tujuh jenis lagu iaitu Bayati, Soba, Hijaz, Nahwan, Rash, Sikah dan Jaharkah.

Mengikut Ustaz Haji Safri, kami seramai lima orang (Sunawan, Razif, Zaaba, Marzuki & A Rahman) memang boleh menerima segala tunjuk ajar. Begitupun kami mempunyai masalah masing-masing. Aku sendiri mempunyai masalah suara serak dan nafas yang agak pendek.

Apa yang penting ialah pelajaran yang diterima bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kehebatan atau kemampuan masing-masing, yang penting membaca Al-quran bertaranum ini adalah untuk menghiburkan hati dan memberi ketenangan jika.

Sekiranya kita mempunyai suara yang baik dan berkemampuan membawa serta mengalunkannya, mengapa harus kita meningalkannya sedangkan kita adalah dituntut untuk membaca al-Quran dengan baik dan suara yang merdu.

Ustaz Haji Safri juga menggalakkan kita mempelajari bahasa Arab bagi memudahkan kita melagukan bait-bait ayat Al-quran yang sesuai dengan makna dan lagunya. Jika ayat mengenai kesedihan, maka lagunya mesti berentak sedih. Begitu juga sebaliknya, jika ayat itu gembira, maka lagu mesti gembira.

Minggu hadapan kami diberi cuti selama seminggu kerana Ustaz akan bercuti bersama keluarga ke Trengganu. Kami ingin memberinya sedikit imbuhan tetapi telah ditolak. Ini adalah kali kedua usaha kami untuk memberi sedikit sumbangan kepada beliau.

Mengikutnya, beliau terpaksa menolak kerana usaha yang diberikan adalah ikhlas sebagaimana beliau menerima tunjuk ajar dari guru-gurunya terdahulu yang juga tidak menerima segala bentuk kewangan.

Semoga Allah SWT menerima segala bentuk kebajikan yang diberi dan tercapai cita-cita kami semua. Insyaallah.

Tiada ulasan: