Aku pernah bekerja sebagai Pembantu Khas (Personnal Assistant) kepada YB Samat Aripin (Exco Kerajaan Johor – Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Perumahan Johor) dari tahun 1999 hingga 2004. Sepanjang masa tersebut banyak pengalaman yang ditimba terutama bekerja di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.
Pengalaman selama lima tahun ini dapat mengembalikan ingatan 30 tahun lampau apabila aku mula bekerja sebagai Pelayan Pejabat di pejabat LKTP (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) yang sekarang ini dikenali sebagai Felda iaitu pada tahun 1969. Pejabat ini ditempatkan di Tingkat 7, Bangunan Sultan Ibrahim, Jalan Bukit Timbalan dimana seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Johor ditempatkan.
Dahulu dan sekarang memang banyak perbezaannya. Begitulah juga dengan cara bekerja kakitangan Kerajaan Negeri Johor. Sebagai contoh adalah ketaatan kepada pentadbir atau pegawai atasan merupakan faktor penting. Inilah paksi kepada cara bekerja yang akhirnya akan memberi kesan mencapai matlamat.
Faktor yang amat penting ini memang telah sebati dengan diriku yang pernah bekerja selama 25 tahun dengan pengurusan Badan Berkanun (Felda) yang memberi penekanan patuh kepada arahan pegawai. Ini tidaklah memberi makna cara bekerja secara otokrasi. Apatah lagi sekiranya dibandingkan dengan cara bekerja dalam sektor swasta terutamanya dengan majikan bukan Melayu.
Maksud pegawai di sini adalah dari urutan mereka yang ada kuasa menyelia dari tingkat yang paling bawah sehinggalah ke tingkat yang paling atas. Ini bermaksud di peringkat yang paling bawah adalah seumpama Mandor kerana di bawahnya adalah pekerja yang akan patuh kepada arahannya. Begitulah ia akan berurutan sehingga ke peringkat paling atas. Bagi maksud ini, di pengurusan Kerajaan Negeri adalah Setiausaha Kerajaan dan penjawat ini pula mempunyai satu-satunya ketua iaitu Menteri Besar.
Imbauan aku adalah bagaimana pada waktu bekerja tahun-tahun 1960an dan 1970an, amat kurang sekali kakitangan berada di ruang legar, persekitaran atau di bawah kolong bangunan Sultan Ibrahim. Di kantin yang disediakan pula mereka akan berada di situ seawal jam 10 pagi atau pada waktu tengahari. Bahkan terdapat kantin kecil di Tingkat 5 yang memberi petunjuk waktu minum pagi begitu terhad dan sebolihnya mereka menggunakan dalam tempoh 15 hingga 20 minit sahaja.
Aku masih teringat bagaimana suasana kakitangan akan berlari masuk ke pejabat atau menyembunyikan diri apabila ternampak Tan Sri Othman Saat (Menteri Besar Johor) memasuki perkarangan Bangunan Sultan Ibrahim. Ini memberi petunjuk betapa seorang ketua itu digeruni dan ia pasti memberi kesan yang baik kepada matlamat kerja.
Sebaliknya, bagaimana sikap dan cara bekerja mereka bekerja sekarang? Mereka tidak mempunyai rasa segan silu walaupun Dato’ Ghani Othman melalui hadapannya. Pukul berapa pula mereka minum pagi? Jam 8.30 pagi, masih terdapat pejabat yang lengang. Kemana mereka?.
Budaya kerja seperti ini boleh diatasi sekiranya pegawai atasan memberi contoh yang baik kepada anak buahnya. Sebaliknya, mereka pun sama. Bahkan ada pegawai yang membawa sekali kakitangannya keluar pejabat untuk minum pagi bukan pada waktunya. Dicari pula tempat-tempat istimewa di luar dan dianggap kantin yang ada tidak memuaskan.
Jangan terkejut sekiranya ada pegawai yang main golf waktu pejabat, tidak berpakaian kemas dan sebagainya.
Pengalamanku selama dua tahun (2006-2008) bekerja sebagai Pembantu Khas Dato’ Teo Kok Chee (ADUN Skudai & Pengerusi Parti Gerakan Negeri Johor) dengan tiga rakan sekerja berbangsa Cina, lebih jauh perbezaannya. Seingatanku, kami tidak pernah keluar pejabat atas urusan minum pagi. Kenyataannya ialah kami minum di pejabat dan segala perbelanjaan atas tanggungan sendiri.
Catatan ini tidaklah bermaksud merendah-rendahkan cara bekerja kaum sendiri tetapi ia satu kenyataan yang patut menjadi pengajaran kepada orang-orang Melayu, pentadbir-pentadbir Melayu dan juga pimpinan Kerajaan yang diterajui oleh bangsaku.
Ini adalah sekelumit catatan mengenai perbezaan yang amat ketara. Cara bekerja seperti inilah yang membuatkan imej Kerajaan dan kakitangannya dianggap terlalu lemah dan tidak berkesan. Akibat kebosanan mereka telah dilampiaskan di dalam menentukan pemerintah dalam Pilihanraya yang baru lalu.
Cara bekerja seperti ini menuntut revolusi dan perubahan drastik dan radikal sekiranya mahu pentadbir dan pemimpin Melayu dihormati dan disegani oleh rakan-rakan warga kita lainnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan