Ahad, Jun 01, 2008
KENANGAN RAKAN LAMA: IBRAHIM ALI & NORDIN HASHIM
Diantara sebab aku menulis dalam Blog ini adalah untuk mengimbau kenangan lama dan hari ini aku telah bertemu dengan dua orang rakan sepejabat pada tahun-tahun 1970an. Rakan yang aku maksudkna adalah Ibrahim Ali yang ketika itu bertugas sebagai Office Caretaker atau Pelayan Pejabat dan Nordin Hashim (Kerani 2). Ketika itu aku menjadi Kerani 1 atau Ketua Kerani. Rakan-rakan sepajabat pada masa itu mungkin sekitar 25 orang.
Ibrahim Ali masih seperti dulu, sikapnya bersahaja dan seingatanku, dia tidak pernah menyakiti hati rakan-rakan yang lain. Jawatan terakhirnya adalah Kerani dan setelah bersara, kini beliau berpindah ke kampong asalnya di Kampung Ladang, Gelang Patah. Ibrahim pernah menjadi Guru Sementara dan sebab itulah tulisan tangannya amat cantik sebagaimana gaya tulisan guru-guru dahulu.
Isteri Ibrahim bernama Saamah Yusuf, tetangga sebelah rumah di Felda Ulu Tebrau. Dia pernah bercerita bagaiamana keduanya berkenalan dan bercinta. Ia bermula dengan melontar gumpalan kertas (tak pasti apa yang ditulis) melalui tingkap seperti yang pernah kita tuntun dalam filem-filem P Ramlee. Memang melucukan.
Mereka dikurniakan 5 orang anak dan dua darinya telah berumahtangga. Malangnya sehingga kini, setelah lebih lima tahun berumah tangga, beliau masih belum menimang cucu. Aku harap keluarga Ibrahim tidak kecewa kerana kita hendaklah berusaha dan segalanya adalah atas ketentuan Allah SWT. Aku sendiri pernah mengalaminya dahulu, bernikah pada tahun 1973 dan mendapat anak pertama pada tahun 1981.
Nordin Hashim, umurnya setahun lebih muda dari aku. Masih bekerja dengan Felda sebagai Pegawai Pemasaran barangan kraf. Beliau berumahtangga dengan isteri pilihan sendiri berasal dari Mersing dan sekarang mendiami rumah sendiri di Taman Johor Jaya, Johor Bahru.
Seingatanku, beliau anak Negeri Sembilan dan mempunyai kemahiran bermain badminton dengan baik. Pernah mewakili kelab-kelab tempatan dalam beberapa kejohanan. Mempunyai budi bahasa yang tinggi dan sangat menghormati orang lain.
Satu perkara yang tidak dapat dilupakan adalah kesanggupan beliau ditukarkan ke Felda Sening pada tahun 1975 walaupun pada ketika itu aku telah mendapat surat pertukaran. Allah saja yang mengetahui betapa azabnya kakitangan Felda yang bertugas di tanah-tanah rancangan yang baru diteroka (seperti di Felda Sening) tanpa segala kemudahan asas termasuk air untuk diminum. Hanya 'water filter' yang dibekalkan oleh Felda. Keberanian Nordin mengharungi segala kesukaran ini menjadikan pengalaman yang sangat bermakna dan aku fikir beliau berjaya di dalam bidang yang diceburinya.
Aku berharap dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang lain. Insyaallah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan