Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Mei 31, 2008

HASIL PERJUANGAN KESATUAN PEKERJA FELDA

Hari ini aku ada banyak jemputan kenduri kahwin. Begitupun, aku hanya dapat pergi empat daripadanya sahaja termasuk dua orang rakan kakitangan Felda, Haji Salim dan Jamaluddin Yusuf. Kedua-dua rakan aku ni memang mempunyai nasib yang jauh lebih baik dari rakan lainnya. Kalau dulu mereka mula bekerja sebagai Pembantu Luar (Field Assistant) dengan gaji RM200.00, tanyalah mereka berapa yang dikantung setiap bulan sekarang?. Kekadang aku rasa bangga juga dengan pencapaian mereka, tentunya dengan komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh dalam pekerjaan. Difahamkan Haji Salim akan ditawarkan jawatan Pengurus Besar dalam waktu terdekat ini.

Tapi jangan mereka lupa dengan perjuangan Kesatuan Pekerja Felda (KPF) yang banyak menuntut hak, pembelaan dan memperjuangkan kedudukan berasaskan keupayaan kerja. Mereka patut berbangga kerana mempunyai pemimpin yang mempunyai daya juang, pemikiran dan gaya perundingan yang efektif seperti yang ditunjukkan oleh salah seorang bekas Presiden KPF, Haji Indera Putera Ismail.

Sebagai bekas Timbalan Presiden KPF, aku sangat mengenali Indera Putera terutama gaya beliau berunding dengan majikan, memang sangat mengesankan. Beliau mempunyai jiwa yang kuat dan kental dan biasanya pemimpin sepertinya mempunyai banyak ide dan menempah kejayaan kerana dia tidak boleh diperkotakkatikkan.

Dalam kes aku ditukarkan tempat bertugas dari Felda Wilayah Selatan, Johor Bahru ke Lahat Datu, Sabah pada tahun 1989 berikutan dari krisis kepimpinan dan aku dikatakan terlibat dalam penentangan kepada Kerajaan, Indera Putera telah membuat perundingan dengan Datuk Aladin Hashim, Pengarah Besar Felda. Aku hanya ditukarkan ke Felda Bukit Batu, itupun masih dalam daerah yang sama, Johor Bahru. Perkara pokok yang diperbincangkan adalah samada aku telah melakukan kesalahan tatatertib atau masalah dalam tanggungjawab. Ia hanyalah kerana aku telah memberi sokongan kepada Datuk Shahrir Samad yang bertanding sebagai calun bebas dalam pilihanraya kecil Parlimen Johor Bahru.

Ia telah menjadi satu sejarah, tetapi sejarah tidak dapat dipadam. Dan aku tetap tidak akan melupakan dua orang yang bersungguh-sungguh memberi hukuman akibat tamparan kekalahan besar parti pemerintah ketika itu. Yang aku maksudkan adalah Datuk Khalid Yunus yang memegang jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah. Seorang lagi adalah Datuk Fadzil Yunus, Timbalan Pengarah Besar Felda.

Dalam sejarah ini, Datuk Shahrir Samad membawa kes pertukaran ini ke Dewan Rakyat dan jawapan yang diberi oleh Menteri adalah seperti yang diduga “pertukaran biasa kakitangan kerajaan”. Begitulah yang diberitahu oleh Datuk Shahrir dan ia boleh disemak di dalam catatan Dewan.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan pemimpin menyelesaikan masalah. Ini dibuktikan oleh pemimpin Kesatuan Pekerja Felda dan aku yakin banyak kejayaan perjuangan Kesatuan adalah dari stail atau gaya kepimpinan seperti yang ditunjukkan oleh Indera Putera Ismail.

Pemimpin tidak semestinya menentang arus atau tidak sealiran samada dengan majikan atau pemerintah. Sebaliknya pendekatan secara perundingan dengan menggunakan gaya tersendiri yang boleh memikat, pastinya akan memberi hasil yang positif.

Begitupun, gaya perundingan menyelesaikan masalah hendaklah digunakan dengan upaya berwaspada kerana terkadang-kadang gaya ini juga boleh menjadi jerat dan perangkap.

Tiada ulasan: