Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Mei 07, 2008

KEPULAN ASAP YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN





Gambar yang aku paparkan bukanlah kebakaran yang mesti dilaporkan kepada pihak Bomba atau Jabatan Alam Sekitar. Aku mempotret di lokasi perkebunan nenas Jalan Felda Bukit Batu ke Parit Panjang, Pontian.

Aku mempnyai cerita yang agak melucukan yang ada kaitan dengan gambar di atas.

Pada tahun 1989, aku bertugas di Felda Bukit Batu. Hari Sabtu adalah hari bekerja separuh hari dan aku menunggu isteriku di Felda Bukit Batu kerana ingin pulang ke kampung untuk makan durian. Sekitar jam 3.00 petang isteriku sampai dan aku terus membawanya ke kampung dengan menunggang motosikal Scrambler Suzukin JAG1678. Jalan yang dilalui adalah jalan kampung dan merentasi perkebunan nenas.

Cuaca baik dengan tiupan angin yang sederhana. Perjalanan memang menyeronokkan kerana dengan keadaan jalan dan cuaca yang baik serta saling bercerita mengenai durian yang akan disediakan oleh emak di rumah.

Tetiba aku ternampak kepulan asap yang tebal di belah kiri jalan. Aku tahu asap ini adalah dari pembakaran tunggul nenas bagi tujuan tanaman baru. Aku meneruskan perjalanan kerana keadaan asap langsung tidak mengganggu perjalananku.

Aku tak pasti bila mana kepulan asap tersebut mula beralih ke kanan dan terus menyelubungiku. Pandanganku terus gelap dan tidak dapat mempastikan arah tujuan dan bagaimana harus keluar darinya. Aku sangat khuatir kiranya ada kenderaan dari arah hadapan atau berada di hadapanku. Tekaanku nyata benar kerana tidak berapa saat aku terasa berlaku perlanggaran dan pastinya kami jatuh tergolek. Aku cuba membawa isteriku mencari jalan keluar dari kepulan asap kerana kekhuatiran berlaku lagi perlanggaran.

Setelah suasana dan cuaca kembali cerah, aku begitu terkejut kerana perlanggaran yang berlaku adalah dengan sebuah motosikal yang ditunggangi oleh pemuda Pakistan yang membawa permaidani untuk jualan. Aku tak berani menunggu lama di situ kerana asap mungkin akan datang lagi mengikut tiupan angin.

Motosikalku rosak dan aku terpaksa menyorong hingga terjumpa sebuah pondok. Di situlah aku meminta bantuan dari penghuninya untuk membaiki kerosakan. Alhamdullillah, motosikal dapat dibaiki dan aku meneruskan perjalanan ke kampung.

Peristiwa ini tetap dalam ingatan dan aku tertawa kecil kerana berlaku perlanggaran dengan Pakistan penjual permaidani serta keduanya isteriku kehilangan loket emas.

Tiada ulasan: