Jumaat, Mei 09, 2008
PELIK KAN? ORANG LAIN PULA YANG MENGHARGAI
Beberapa hari kebelakangan ini fikiranku banyak tertumpu kepada Pusat Dialisis dan Kesihatan (PDK) di Masjid Jamek Bandar Baru Uda. Ada tiga perkara penting yang berlaku dalam minggu ini yang melibatkan PDK. Pertamanya adalah JAKIM akan membuat pengambaran tentang kegiatan masjid BBU pada 8-10 Mei. Keduanya adalah susulan lawatan Pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) apabila Pengarahnya, Dato’ Che Mat bin Che Ali akan ke masjid ini pada 10 haribulan. Ketiganya adalah laporan dari kakitangan PDK tentang Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) ingin merawat pesakit di pusat dialisis mereka yang akan beroperasi tidak berapa lama lagi.
Sebagai aktivitis sukarela di masjid, tentulah aku merasa bangga apabila terdapat pelawat dari luar khususnya dari badan-badan kerajaan, NGO, surau, masjid dan badan lain bahkan pernah mendapat lawatan dari luar negara yang memberi pujian atas usaha yang dilakukan di masjid ini. Pastinya, diantara yang menarik perhatian mereka adalah kewujudan pusat dialisis.
Diantara pelawat ada yang meminta khidmat nasihat dan bantuan untuk menubuhkan pusat dialisis di kawasan masing-masing. Malangnya mereka tidak dapat meneruskannya disebabkan beberapa kesukaran seperti mendapatkan khidmat doktor sukarela.
Lawatan Pengarah JAWI ada kaitan dengan usaha mereka untuk mengendalikan mesin dialisis di Masjid Salehuddin Al-Ayubi, Taman Melati, Kuala Lumpur. Mereka juga mengalu-alukan lawatan PDKMJBBU ke Masjid Salehuddin Al-Ayubi untuk mendapatkan sebarang perakuan bagi pelaksanaannya.
Penggambaran yang akan dilakukan oleh JAKIM pula adalah hasil lawatan pegawainya beberapa minggu yang lalu dan mungkin mendapati beberapa keistimewaan masjid ini. Beberapa majalah juga pernah membuat laporan khas mengenai kegiatan yang dijalankan. Begitu juga dengan kenyataan dari lawatan pemimpin-pemimpin agama dari Jakarta dan Acheh.
Sebaliknya, ada laporan yang menyatakan bahawa terdapat pegawai-pegawai dari Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang pergi ke rumah menemui pesakit PDKMJBBU dan meminta mereka berpindah untuk membuat rawatan dengan MAIJ Urus Sdn. Bhd. (Syarikat yang ditubuh oleh MAIJ untuk mengendalikan pusat dialisis). Lebih malang, pesakit yang mendapat pembiayaan dari MAIJ ini telah diugut akan menarik segala bantuan yang diberi. Bukan itu sahaja, kakitangan PDKBBU juga telah dipanggil temuduga untuk berkhidmat dengan mereka.
Mengikut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MAIJ Urus, Dato’ Hj. Zalil Baron yang dipetik dari laman web MAIJ menyatakan bahawa sudah sampai masanya MAIJ Urus menyediakan kemudahan seumpama itu kerana keperluannya amat tinggi dan mendesak. Mereka terpaksa membelanjakan wang sebanyak RM1.5 juta untuk pembinaan di bangunan sedia ada iaitu Bangunan Wakaf Johor di Jalan Skudai.
Dato’ Zalil juga menyatakan bahawa ketika ini pusat dialisis anjuran MAIJ yang terdapat di seluruh Johor hanya mampu menampung sekitar 60 pesakit sehari dan senarai sedang menunggu yang memohon untuk menggunakan pusat berkenaan sekitar 600 orang.
Sekiranya benar kenyataan tersebut, mengapa perlu mengambil pesakit yang sedang menerima rawatan di PDKMJBBU? Bermoralkah cara mereka menemui pesakit tanpa merujuk kepada tempat pesakit menerima rawatan?
Tidakkah MAIJ Urus Sdn Bhd sedar bahawa PDKMJBBU adalah satu-satunya masjid KARIAH yang telah berjaya menguruskan pusat dialisis tanpa motif keuntungan? Tidak sedarkah mereka bahawa hanya kakitangan perkeranian dan jururawat yang menerima gaji dan elaun sementara yang lain-lain termasuk tiga orang doktor yang mengendali dan mengawasi adalah secara sukarela?
Usaha yang dilakukan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Urus Sdn. Bhd. melaksanakan projek fardu kifayah untuk kemudahan awam dengan membina pusat dialisis sepatutnya diberi tahniah dan pujian. Begitu juga dengan bantuan perubatan melalui asnaf fakir dan miskin merupakan tanggungjawabnya. Pihak MAIJ menyatakan bahawa mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1,800 hingga RM2,000 sebulan bagi setiap pesakit. Begitupun, PDKMJBBU telah berjaya mendapatkan sebahagian pembiayaan dari pihak yang lain dan MAIJ hanya membayar RM60.00 bagi setiap pesakit tajaannya untuk setiap rawatan. Ini bermakna setiap pesakit hanya memerlukan RM720.00 hingga RM800.00 sebulan.
MAIJ Urus Sdn Bhd seharusnya berbangga dengan keupayaan PDKMJBBU dan seharusnya memberi bantuan samada kewangan atau khidmat nasihat. Mereka sepatutnya melihat bagaimana operasi yang dijalankan oleh PDK ini atau bertanya mengenai masalah yang sedang dihadapi. Mereka mungkin tidak sedar bahawa PDKMJBBU telah menyiapkan bangunan tambahan dan sedang mencari penderma untuk pembelian mesin dialisis.
Apakah tidak terfikir di pemikiran mereka bahawa sekiranya mereka menarik keluar semua pesakit yang ditajanya mungkin boleh menjejaskan operasi atau beberapa kemungkinan yang lain?
Nasehat ikhlas kami adalah lakukan sesuatu dengan moral dan ethika orang Islam. Datanglah bertanya khabar dan mintalah sekiranya ia perlu. Dahulu, ketika memulakan operasi, kami menulis surat kepada pengendali pusat dialisis di sekitar Johor Bahru dengan memaklumkan perkhidmatan yang diberikan. Inilah diantara cara business yang diajarkan kepada kami.
Jangan salahkan tulisan ini kerana Ketua Penolong Pengarah MAIJ telah diberitahu mengenai perkara ini dan diharapkan ia akan memberi kesedaran kepada mana-mana pihak yang terbabit.
Belajarlah dari kesilapan dahulu dan bertanyalah kepada mereka yang tahu. Ingatlah bahawa pesakit yang kita bantu bukan hanya memerlukan wang tetapi yang lebih penting adalah berilah mereka ketenteraman kerana mereka telah puas menanggung derita.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan