Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Mei 09, 2008

TANDA PEMBANGKANG AKAN MENGAMBILALIH PEMERINTAHAN

Berita ini aku paste dari Berita Harian Online pada 8 Mei 2008 (Khamis):


Anifah kait banglo dengan lompat parti

BARISAN Nasional (BN) yang sudah mentadbir negara sejak mencapai kemerdekaan dianggap sebagai rumah banglo kepada parti komponennya, tetapi sesudah beberapa lama masih ada penghuninya yang berasa seperti dianaktirikan kerana tidak mendapat tempat sewajarnya dalam banglo itu.

Persoalan rumah banglo dan rumah teres, yang merujuk parti pembangkang menjadi isu yang mendominasi dan boleh dianggap paling menarik perhatian yang mewarnai pada sesi perbahasan semalam.

Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) yang membuat analogi itu ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja pada persidangan Dewan Rakyat, semalam menyifatkan tidak ada salahnya jika ada ahli BN dari Sabah melompat kepada parti pembangkang jika mereka tidak mendapat tempat yang sepatutnya dalam banglo itu.

"Jika tiada lagi tempat dalam banglo sekarang (BN), apa salahnya mereka berpindah ke rumah teres (pembangkang). Apa guna kalau duduk di banglo tapi sesetengah orang (saja) yang menikmatinya. Kita dalam banglo pun tinggal di tepi tandas saja," katanya disambut tepukan daripada wakil rakyat pembangkang dan wakil rakyat BN dari Sabah.

Anifah membangkitkan analogi itu selepas dicelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh) yang bertanya adakah wakil rakyat BN Sabah akan melompat kepada parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Jika ini bukan tindakan orang tersepit, kenapa 140 ahli yang menghuni sebuah banglo mahu berpindah ke rumah lebih kecil, rumah teres?," tanya Ahmad Zahid yang menyifatkan kedudukan dalam BN sebagai selesa dan mewah hingga tidak perlu lagi penghuninya berpindah.

Bagaimanapun, nyata sekali jawapan Anifah mengejutkan Ahmad Zahid serta hampir semua wakil rakyat BN lain.

"Saya tidak kata saya akan melompat parti. Mungkin ada beberapa yang mungkin mahu berpindah. Isu mengenai lompat atau tidak lompat ini bukanlah perkara serius. Apa yang lebih serius adalah berjuta-juta lagi rakyat di lima negeri yang sudah melompat kepada pembangkang," katanya yang disahut gelak ketawa daripada wakil rakyat PR.

Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) bangun mencelah dan bertanyakan Anifah adakah beliau akan menyokong undang-undang antilompat parti.

Anifah bagaimanapun menjawab beliau tidak setuju dengan undang-undang itu kerana ia boleh dianggap sebagai meletakkan wakil rakyat seperti berada dalam 'negara polis' apabila hak mereka untuk memperjuangkan nasib rakyat disekat.

"Apalah gunanya kita terus bersama pemimpin yang sudah menyeleweng daripada matlamat asal, adakah kita perlu akur dan bertahan serta memperjuangkan pemimpin dan parti dengan mempertaruhkan kebajikan rakyat.

"Apa yang penting bukan soal pemimpin lompat parti tetapi kena kaji kenapa rakyat lompat. Kenapakah mereka sudah lompat dan apa gunanya tinggal pemimpin saja tanpa rakyat. Saya suarakan hal ini supaya pemimpin faham dan sedar," tegasnya.

Kepada soalan Datuk Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang membangkitkan mengenai kurangnya kemudahan prasarana di Sabah, Anifah berkata, kemerdekaan selama 45 tahun bersama Malaysia tidak bermakna jika hasrat rakyat untuk mendapat pembangunan masih ditolak ke tepi dan wakil rakyat Sabah dipandang serong apabila membawa hasrat itu.



Berita dari Utusan Online 12 Mei 2008 (Isnin):


Nazri terkejut terima SMS khabar angin

KUALA KANGSAR 11 Mei - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz terkejut menerima khabar angin kononnya 16 wakil rakyat dari UMNO Sabah akan melompat parti pada Rabu ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, 'berita hangat' tersebut diperoleh melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sehingga kini tidak dapat dipastikan kesahihannya oleh mana-mana pihak.

"Saya terima SMS. Saya tak tahu... kena tunggu sampai Rabu. Tunggulah hari Rabu sebab mereka kata hari Rabu ini akan banyak berlaku lompat (parti).

"Mereka sebut ada ahli UMNO dari Sabah hendak lompat. Katanya, 16 orang tapi tak tahulah, kena tunggulah. Saya kira kalau hari Rabu tak berlaku, maka tak boleh percayalah SMS ini,'' katanya.

Mohamad Nazri menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Maulidur Rasul Kampung Cheh Hulu dekat sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya berpegang kepada prinsip ahli yang setia dan tidak sesekali mengkhianati UMNO dan BN.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, UMNO dan BN memandang serius dakwaan kononnya ada Ahli Parlimen BN akan melompat parti walaupun beliau yakin desas-desus itu merupakan permainan politik parti pembangkang.

Mohamad Nazri yang terkejut melihat kehadiran ramai wartawan pada majlis tersebut bergegas menghampiri pihak media dengan berseloroh kononnya beliau bimbang dirinya dikaitkan dengan kegiatan lompat parti.

Mohamad Nazri sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, undang-undang anti-lompat parti tidak perlu digubal kerana ia menyekat hak kebebasan seseorang wakil rakyat.

"Saya sendiri pun tidak setuju undang-undang ini digubal," katanya di lobi Parlimen Khamis lalu.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai mengulas kenyataan Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) pada sesi perbahasan sehari sebelum itu bahawa tidak salah sekiranya terdapat Ahli Parlimen BN Sabah melompat parti jika mereka tidak mendapat layanan sewajarnya daripada parti sedia ada.

Mohamad Nazri melihat kenyataan Anifah itu sebagai peringatan kepada BN supaya memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi rakyat di negeri tersebut.



BN Sabah nafikan lagi akan ada lompat parti

KOTA KINABALU 11 Mei - Barisan Nasional (BN) Sabah menafikan desas desus terbaru yang mengatakan 17 Ahli Parlimennya akan keluar daripada BN dan menyertai pakatan pembangkang pada Rabu ini.

Setiausaha BN Sabah, Datuk Karim Bujang berkata, perkara itu adalah khabar angin yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan sehingga ke hari ini, ia masih tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

"Saya memang ada dengar cerita ini, 16 atau 17 Ahli Parlimen yang ingin melompat parti tetapi sehingga kini ia hanyalah khabar angin tanpa ada fakta serta bukti kukuh untuk membuktikan kebenaran dakwaan itu.

"Kita hanya mendengar, selepas satu... satu khabar angin tetapi sampai sekarang pun masih sama juga. Saya berpendapat, ini hanyalah permainan politik pihak pembangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan, mengulas khabar angin terbaru yang mengatakan 17 Ahli Parlimen UMNO dan parti komponen BN Sabah bersedia melompat parti untuk membentuk kerajaan baru.

Beliau berkata, meskipun perkara berkenaan merupakan khabar angin tetapi pihaknya tetap memandang berat hal tersebut dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

"Bukanlah bermaksud saya mencurigai rakan-rakan seperjuangan lain tetapi sekadar mengambil tahu perkembangan politik semasa di Sabah, itu sahaja. Ia bukan untuk mempertikaikan kesetiaan sesiapa," ujarnya.

Menurut beliau, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila keikhlasan serta kesetiaan Ahli Parlimen Sabah terus menerus dipertikai tanpa diiringi dengan bukti yang sahih mengenainya.

"BN Sabah memiliki maruah. Janganlah kami terus dipermainkan begini kalau buktinya masih tidak ada. Kalau bukti ada, kita sendiri akan menangani masalah ini mengikut persefahaman dan semangat BN," katanya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kimanis itu berkata, dikhuatiri penyebaran cerita-cerita negatif tentang Ahli Parlimen di sini akan menjejas integriti di antara mereka dan lebih teruk lagi, masing-masing akan menaruh syak wasangka.

Beliau yakin, Ahli-ahli Parlimen di Sabah sudah matang berpolitik dan tidak akan membuat keputusan yang akan membelakangkan kepentingan rakyat.

Katanya lagi, ramai pihak memandang serong BN Sabah hanya disebabkan sejarah politik di negeri ini yang pernah menyaksikan ahli-ahli politiknya melompat parti sehingga mengakibatkan kerajaan negeri runtuh.

Ketika ditanya kemungkinan wakil-wakil rakyat BN Sabah yang ingin melompat parti hanya kerana merasakan negeri ini seperti dianaktirikan, beliau berkata, perkara itu tidak boleh dinilai melalui satu sudut sahaja.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut bagaimanapun berkata, perkara tidak puas hati yang disuarakan wakil-wakil rakyat Sabah bukan mewakili BN Sabah tetapi pandangan peribadi sahaja.


Berita dari Utusan Online pada 13 Mei 2008 (Selasa):


Anwar dakwa cukup sokongan

KUALA LUMPUR 12 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pakatan pembangkang mampu membentuk kerajaan pada bila-bila masa antara sekarang hingga 16 September ini.

Beliau yang mendakwa mempunyai cukup sokongan daripada sebilangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat menyertai parti pembangkang pada bila-bila masa, bagaimanapun enggan memberikan sebarang tarikh rasmi.

"Saya sudah kata pada 14 April lalu, kita mempunyai bilangan (ahli Parlimen untuk bentuk kerajaan) dan kita akan berbincang masa yang difikirkan sesuai (untuk tubuhkan kerajaan)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, beliau tidak mahu menubuhkan kerajaan pada masa ini walaupun mampu berbuat demikian kerana UMNO dan BN sedang dalam keadaan huru-hara dan panik.

Keadaan itu, katanya, menjadikan sebarang usaha melakukan perubahan kerajaan tidak sesuai dan berbahaya.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang mengulas kenyataan Anwar mencabar bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuktikan dakwaannya jika benar.

Menurut beliau, Anwar telah banyak membuat kenyataan yang akhirnya tidak dapat dibuktikan dan dilihat sebagai penipuan.

"Dia pernah kata dia diracun, memiliki bukti penyelewengan berkotak-kotak tetapi hingga kini kita tidak nampak perkara itu.

"Kini, kalau dia tidak dapat membuktikan dia mampu menubuhkan kerajaan dalam tempoh yang dikatakan... maka rakyat akan melihat dia menipu," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz ketika dihubungi berkata, Anwar sedang bermain perang psikologi sebenarnya.

"Dia nak tunjukkan kononnya lebih ramai yang sokong dia daripada pemimpin BN," katanya.

Beliau berkata, Anwar sudah terlalu lama hidup dalam angan-angan untuk menjadi Perdana Menteri.

"Macammanapun, ahli-ahli UMNO dan pemimpin BN tidak akan termakan dengan taktiknya," kata beliau.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus pula mahu BN memberikan perhatian sewajarnya terhadap dakwaan Anwar itu.

Jangan percaya SMS

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA

KUALA LUMPUR 12 Mei - Orang ramai terutama rakyat Sabah dinasihati jangan mudah mempercayai dakwaandakwaan mengenai politik yang disampaikan dalam apa-apa bentuk termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Shafie Apdal berkata, masalah percaya-mempercayai sering berlaku di kalangan masyarakat sekarang terutama bersangkut paut dengan khidmat SMS.

Beliau yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata, jangan percaya sangat apa yang orang perkatakan melalui SMS kerana ia tidak semestinya benar.

''Tetapi kita tetap mengambil perhatian kerana kita di Sabah dan Sarawak sentiasa melihat dari segi keseimbangan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Istana Budaya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menerima khabar angin melalui SMS kononnya 16 wakil rakyat dari UMNO Sabah akan melompat parti pada Rabu ini.

Shafie berkata, pihaknya tidak menolak wujudnya suara tidak puas hati di kalangan masyarakat Sabah terhadap kemudahan prasarana yang masih tidak mencukupi.

Bagaimanapun, ujar beliau, ia telah dibincangkan dengan pucuk pimpinan mengenai perkara tersebut dan pada masa ini kerajaan Barisan Nasional (BN) sedang berusaha untuk menanganinya.

''Apa yang penting, kita memang memerlukan reaksi daripada kalangan rakyat supaya dapat memberikan yang terbaik untuk mereka.

''Oleh itu, kini di Sabah terdapat beberapa perubahan pembangunan dan kemudahan lain yang telah diperbaharui,'' katanya.


Yong Nafi Anggota Sapp Lompat Ke Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Mei(Bernama) -- Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee menafikan yang anggotanya akan melompat masuk Pakatan Rakyat esok seperti yang digembar-gemburkan.

Yong berkata anggota Parlimen SAPP bukan antara 16 MP dari Sabah yang disebut-sebut akan melompat parti esok tetapi tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku dalam masa terdekat jika isu yang melibatkan rakyat Sabah tidak diselesaikan.

"Buat masa ini tiada MP kami yang akan melompat parti. Itu bukan isunya. Apa yang perlu ditekankan ialah bila isu yang melibatkan Sabah akan diselesaikan. Kami telah membangkitkan isu itu sebelum ini dengan kepimpinan tinggi parti. Kini mereka perlu bertindak cepat untuk membuktikan yang mereka mengambil serius mengenai perkara ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun Yong tidak mendedahkan apa isu sebenarnya yang melibatkan penduduk Sabah tetapi hanya berkata "tawaran" daripada Pakatan Rakyat bagi wakil rakyat Sabah berpaling tadah adalah "cukup menarik untuk menggalakkan tindakan sedemikian."

Beberapa isu telah dibangkitkan berulang kali oleh ahli politik dari negeri itu seperti masalah pendatang tanpa izin.

Terdahulu Yong, yang juga bekas ketua menteri Sabah di bawah sistem penggiliran, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen.


Shafie Nafi Anggota BN Sabah Lompat Parti Rabu Ini

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Anggota Parlimen Semporna Datuk Mohd Shafie Apdal hari ini menafikan dakwaan satu kiriman pesanan ringkas (SMS) mengenai 17 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan melompat parti Rabu ini.

Shafie berkata dakwaan itu sama sekali tidak benar, sungguhpun beliau mengakui bahawa terdapat suara-suara ketidakpuasan hati di kalangan rakyat Sabah yang sering didengari kini.

"Ia tidak benar, tetapi kita memang tahu ada sentimen ketidakpuasan hati rakyat di Sabah yang mahukan perubahan di negeri itu terutamanya dalam aspek kemudahan prasarana yang minta dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas melawat Istana Budaya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menerima SMS kononnya 16 wakil rakyat dari UMNO Sabah akan melompat parti Rabu ini.

Shafie berkata pihaknya memahami akan keluhan dan lontaran suara rakyat negeri Sabah yang menuntut perubahan dan meminta rakyat negeri di bawah bayu itu supaya bersabar memandangkan pelaksanaan sesuatu perubahan itu mengambil sedikit masa.

Shafie berkata pertukaran parti bukan sesuatu perkara mudah serta ringan, dan ia harus mengambil kira beberapa faktor penting.

"Apa jaminan yang diperolehi jika lompat parti... BN sudah lama wujud hasil dari gabungan semua kaum tetapi parti pembangkang adalah hasil gabungan PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP, kita kena fikir," katanya.

Shafie meminta masyarakat supaya tidak mempercayai khabar-khabar angin itu dan berkata tumpuan kini adalah untuk membangunkan negeri Sabah.


Ghapur Mahu Wakil Sabah Diberi Portfolio Penting

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Seorang wakil Sabah hari ini lantang membidas kerajaan Persekutuan di Dewan Rakyat sambil menegaskan bahawa "luahan dan keluhan" rakyat negeri itu tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh membawa implikasi besar pada pilihan raya akan datang.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), yang sebelum ini meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat rombakan untuk memberi jawatan menteri portfolio lebih penting kepada wakil Sabah.

"Kita mahu keadilan, bukan (mahu) Parti Keadilan (Rakyat). Jangan cakap orang Sabah mengarut, kita mesti ambil serius (masalah mereka)," katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong hari Isnin.

Abdul Ghapur, yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata Sabah masih dianaktirikan dan keluhan wakil rakyat dari negeri itu sering "masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja".

Menurutnya ucapan Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) di Dewan Rakyat minggu lepas semasa bercakap mengenai ura-ura wakil Sabah melompat parti adalah sebenarnya mencerminkan sentimen rakyat Sabah.

Rabu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanya Anifah mengapa wakil-wakil Sabah mahu "tukar dari rumah banglo ke rumah teres", dan Anifah menjawab, "lebih baik rumah teres jika tidak selesa tinggal di rumah banglo".

Abdul Ghapur juga menyifatkan jawatan timbalan menteri yang diberi kepada beliau dan Anifah sebagai suatu penghinaan, kerana menurutnya, Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan Persekutuan sekarang.

"Sabah dan Sarawak yang menyelamatkan BN tetapi jawatan tiga menteri tidak ada makna kepada rakyat Sabah. Ini memalukan rakyat Sabah...harus diperbaiki dan tidak boleh dibiarkan. Sudahlah ketinggalan, kemudian dianaktirikan, diasingkan," katanya.

Abdul Ghapur berkata: "Ada negeri mendapat tujuh menteri yang penting, ada negeri kalah dapat empat menteri penting, mana keadilan? Minta PM rombak balik, bagi (Sabah) menteri yang penting".

Katanya walaupun wakil-wakil di Sabah tidak akan melompat parti, mereka mungkin boleh menubuhkan parti baru dan "kita boleh join (sertai) sini atau join sana".

Abdul Ghapur menjelaskan bahawa rakyat Sabah masih mundur hinggakan ada yang masih minum air perigi, rumah berdinding daun atap dan murid sekolah duduk atas lantai, tetapi kerajaan Persekutuan sering memberi alasan bahawa peruntukan tidak cukup.

Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) pula mencelah dan bertanya Abdul Ghapur sama ada setuju supaya projek Jambatan Pulau Pinang dibatalkan dan peruntukannya diberi kepada Sabah.

Abdul Ghapur berkata walaupun beliau seolah-olah seperti pembangkang dalam BN, beliau berharap kepimpinan negara dapat menerima hakikat itu dan menganggap kritikannya sebagai suatu yang membina.

Beliau meminta menteri-menteri pusat datang ke Sabah dan meninjau keadaan rakyat di luar bandar serta berusaha memperbaiki keadaan mereka.

Abdul Ghapur juga, antara lain, meminta agar royalti minyak kepada Sabah dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus manakala berita-berita mengenai negeri diberi paparan yang lebih.

Ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen mengenai kemungkinan wakil-wakil Sabah menubuhkan parti baru, Abdul Ghapur berkata beliau tidak akan lompat parti.

"(Tetapi) kalau ada kawan-kawan ajak bina parti baru, ada kemungkinan (akan tubuhkan)," katanya.

Ketika ditanya sama ada Umno masih relevan di Sabah, beliau berkata Umno tetap relevan di hati orang Melayu.

"Tetapi kalau cakap Umno tidak didengar maka tidak relevanlah Umno, kalau kata-kata saya tidak diendahkan, tsunami akan sampai dan saya serta kawan-kawan akan hanyut pada pilihan raya akan datang," katanya.

Tiada ulasan: