Radio Internet FuhYooFm

Isnin, Mei 05, 2008

PERSIDANGAN DEWAN RAKYAT BERJALAN TENANG


Datuk Shahrir Samad menjawab soalan Khairi Jamaluddin


Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar semasa ditemuramah oleh RTM

Seperti pada hari Rabu (30.4.2008) yang lalu, hari ini aku menunggu di hadapan kaca television pada jam 10.00 pagi untuk melihat siaran langsung Persidangan Dewan Rakyat kali kedua belas.

Telah kuduga untuk persidangan hari ini (5.5.2008) tentunya ia berada dalam suasana tenang. Ia jauh berbeza dengan persidangan yang disiarkan melalui rangkaian RTM1 selama 45 minit pada hari Rabu Ketika itu berlaku pertikaman lidah di antara Karpal Singh (Bukit Gelugur) dan Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan) di mana Karpal Singh menggelar Datuk Bung Moktar Radin sebagai Big Foot.

Hari ini Yang di-pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah menggunakan kebijaksanaannya dan pastinya telah bersedia dengan pelbagai percubaan dari Ahli Dewan Rakyat terutama dari pembangkang. Beliau telah membuat keputusan untuk tidak melayan sebarang usaha terutama menggunakan alasan Peraturan Mesyuarat untuk melengahkan persidangan. Beliau hanya membenarkan Peraturan Mesyuarat digunakan jika ia benar-benar membantu perjalanan persidangan.

Begitupun, anggota dari Bukit Gelugor, YB Karpal Singh telah membantah peraturan tersebut dengan menganggapnya sebagai diktator dan tidak adil. Beliau telah behujah bahawa penglibatannya dalam parlimen selama 26 tahun tidak melalui peraturan seperti pada kali ini. Sebaliknya Pandikar Amin Mulia tetap bertegas dengan keputusannya.

Apabila anggota Bukit Gelugor masih cuba untuk mengguggat arahannya, Pandikar Amin Mulia meminta beliau membaca dan mengikut peruntukan 43 Peraturan Mesyuarat iaitu sebagai Yang di-pertua Dewan Rakyat, keputusan yang dibuatnya adalah muktamad dan perlu dipatuhi oleh semua wakil-wakil rakyat yang bersidang.

Seterusnya Yang di-Pertua telah meminta Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengemukakan soalan pertama iaitu pada pukul 10.15 pagi dan dijawab oleh Datuk Shaziman Abu Mansor, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Datuk Shahrir Samad pula sebagai Menteri kedua memberi jawapan atas soalan yang dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat dari Rembau, YB Khairi Jamaluddin mengenai isu kepenggunaan.

Aku percaya perjalanan persidangan selepas ini akan lebih teratur dan tenang walaupun mungkin akan berlaku pertikaman lidah diantara ahli-ahli dewan dan juga Yang di-Pertua.

Selepas ini, bagaimana suara yang akan dilontarkan oleh Ahli-Ahli Parlimen seperti Mahfuz Omar, Nasharudin Mat Isa, Salahudin Ayub, Ibrahim Ali, Fong Poh Kuan, Lim Kit Siang, Gobind Singh Deo, Saifuddin Nasution, Khalid Ibrahim, Tien Chua, Gobala Krishnan dan ramai lagi. Dan di pihak Kerajaan pula tentunya MP seperti Bong Mokhtar Radin, Datuk Mohamad Aziz dan yang lain-lainnya juga pasti berfikir berkali-kali kerana pada kali ini semua suara dan telatah mereka akan dinilai oleh rakyat.

Ketika inipun telah banyak kedengaran supaya siaran tersebut dapat diperpanjangkan masanya dan tidak lagi 45 minit walaupun rakyat tahu kos operasinya boleh mencapai satu juta untuk sekali siaran.

Bagi aku, siaran ini memang berfaedah bagi semua yang mengikutinya. Pada masa yang lalu aku mengikutinya melalui laman web Parlimen Malaysia sebagaimana http://www.parlimen.gov.my. Namun biasanya ia agak lewat sedikit, seawal sehari atau mungkin lebih dari itu.

Cuma aku tertunggu-tunggu untuk melihat bagaimana pula Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar (Santubong) dan Datuk Ronald Kiandee (Beluran) sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengemudikannya.

Aku rasa kedua-duanya juga berkebolehan terutama Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berdasarkan kelayakan dan pengalaman serta hujah-hujah beliau dalam wawancara di RTM sebelum berlangsungnya siaran pada hari ini.

Tiada ulasan: