Isnin, Mei 05, 2008
RETORIKKAH KONGRES PERMUAFAKATAN MELAYU?
PASTI satu sejarah yang penuh bermakna bagi diriku dan juga seluruh umat yang mengaku dirinya berbangsa Melayu khususnya di Malaysia kerana aku turut sama dalam Kongres Permuafakatan Melayu yang dianjurkan oleh Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Barisan Bertindak Perpaduan Malaysia (BBPM) yang berlangsung di Dewan Tanjung Puteri, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru dari 2 hingga 4 Mei 2008.
Pemergianku adalah atas kesedaran bahawa keputusan pilihanraya umum ke 12 telah menunjukkan impak yang jelas kepada kekuasaan bangsa Melayu dan Islam BOLEH terhakis dan menjadikan bangsa akan hilang segala-galanya. Walaupun kenyataan ini boleh dipertikaikan, tapi aku mempunyai keyakinan bahawa sesuatu harus dilakukan bagi menghalang tindakan lebih jauh yang akan dilakukan oleh pihak tertentu hingga menyebabkan kenyataanku akan menjadi realiti.
Ini bukanlah bermakna aku merasa kecewa atas kekalahan Barisan Nasional dan UMNO (yang telah mendarahdaging) hingga menyebabkan kemenangan yang tidak mutlak serta hilang kuasa di empat buah negeri. Lebih jauh dari itu adalah kehampaan atas kekalahan yang disebabkan oleh kelemahan pentadbiran serta hasutan dari bangsanya sendiri.
Mulanya aku mendaftar atas badan yang aku menjadi diantara peneraju pada masa kini iaitu Jawatankuasa Pentadbir Masjid Jamik BBU yang aku fakir ia adalah badan yang berperanan untuk umat Islam dan Melayu, sebaliknya aku terpaksa membatalkannya kerana tidak mempunyai mandat dan aku pergi atas keupayaan diriku sendiri (individu).
Alhamdullillah, aku dapat bersama-sama dengan 2000 peserta yang lain apatah lagi abang aku yang banyak menghabiskan masa dan usianya bersama pentadbiran MARA (juga hasil dari Kongres Ekonomi Bumiputera/Melayu pada awal tahun 1960an) serta Kak Nor yang turut sama dalam Kongres.
Pada malam perasmian, semangat peserta pastinya begitu meluap-luap seakan lahar yang akan memuntahkan belerang kerana ramainya peserta yang hadir lengkap berpakaian baju kebangsaan. Maklum saja mungkin mereka nak berperang, paling tidak menjadi soldadu British di Tanah Melayu atau Regimen 1 Askar Melayu Di Raja yang akan menjalani tugas sebagai jaga di "London Public Duties" atau mungkin juga mereka ingin mendengar titah DYAM Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Mahkota Johor.
Begitupun, majlis perasmian telah dilakukan sendiri oleh Prof Tan Sri Dato’ Ismail Hussein, Ketua Satu GAPENA. Beliau menyatakan bahawa diantara matlamat Kongres ini adalah untuk mencari kata sepakat dalam menubuhkan satu Majlis Permuafakatan Melayu yang akan berperanan untuk menjaga, memantau serta memastikan hak kepentingan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terhakis untuk selama-lamanya.
Aku dapati, tanpa makluman yang jelas dari penganjur tentang ketidak hadiran DYAM TMJ, rasanya semangat peserta kian luntur. Lihat saja dari gambaran kehadiran peserta di keesokan harinya. Lengang.
Aku tahu, penganjur tetap bersemangat meneruskannya. Pembentang-pembentang kertas kerja terutama Prof Madya Dr Mohd Agus Yusoff, Tan Sri Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahman dan Tan Sri Dato Muhammad Ali Hashim dan lain-lain berupaya meyakinkan peserta dalam tajuk yang membicarakan pelbagai sudut yang akan dijadikan bahan untuk membuat resolusi.
Tidak kurang hebatnya juga dengan pembahas dari kalangan peserta yang mengutarakan pelbagai pertanyaan, sanggahan dan usul seperti Ishak Ismail, Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, yang berkata bahawa Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu adalah dasar yang salah serta gagal membentuk pelajar menguasai Bahasa Inggeris sekaligus terhadap penguasaan subjek Sains dan Matematik.
Kenyataan ini disokong pula oleh bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Dr Mohd Mansor Abdullah yang turut mendesak pemansuhannya kerana pembelajaran Bahasa Melayu bukan sekadar mudah difahami oleh para pelajar bahkan selaras dengan usaha mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan.
Begitu juga dengan Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden TERAS yang bersuara lantang dan tidak mahu penganjur mengulangi retorik mempertahankan hak bangsa Melayu tanpa mempunyai gerakerja konkrit.
Penerbit filem popular, Shuhaimi Baba pula bercadang untuk menerbitkan sebuah filem untuk memulihkan semangat orang Melayu demi menjamin permuafakatan di kalangan kaum tersebut. Ini adalah disebabkan perpaduan dan semangat di kalangan orang Melayu itu sendiri semakin terhakis.
Tidak terlepas juga beberapa peserta yang melampiaskan amarahnya dengan pimpinan Barisan Nasional seperti wakil dari Persatuan Nelayan yang telah membuat permohonan tanah. Malangnya, setelah 34 tahun ia masih tidak diluluskan. Ucapannya hanya berhamburan dengan emosi yang tidak terkawal.
Pada pengamatanku, banyak ucapan peserta adalah retorik untuk mempengaruhi audian semata. Begitupun, kehebatan mereka tidaklah sehebat penasihat PKR, Anuar Ibrahim yang dianugerahi kepetahan berucap sehingga berupaya merobah pemikiran pengundi PRU12, lantas berlansungnya Kongres ini.
Aku sengaja mengutarakan fakta di sini kerana tidak ada seorang perseta pun, hatta Prof Madya Dr Mohd Agus Yusoff, berani menyatakannya.
Sehingga kini, aku masih lagi tertanya-tanya dimana perwakilan orang-orang muda yang akan menjadi generasi penerus? Mereka inilah yang sepatutnya melaut di dalam Kongres. Sebaliknya, peserta warga emas yang menguasai Kongres.
Begitupun, aku ingin mengucapkan tahniah untuk rakan-rakan UMNO Johor Bahru dan pendukong Datuk Shahrir Samad yang hadir dan mempunyai iltizam untuk membangunkan semula bangsanya. Mereka tidak diberi arahan oleh sesiapapun tetapi mereka hadir atas keinsafan yang tidak semua orang mempunyainya.
Syabas untuk Haji Misbah Zainuddin, Haji Mohamad Ismail, Haji Ali Mohamad, Haji Hashim Ahmad, Syed Yassin Ali, Azman Dawam, Rahmatullah Ajar, Syed Zain, Hazlan Ahmad, Azuki Ngah, Rokyddin, Razali Ibrahim,Dicky Shamsul, Malik Jazuli, Faridah Mustaffa, Hajah Fatimah Bidin dan mereka lain yang tidak dapat kutemui.
TAHNIAH juga untuk GAPENA dan Badan-Badan Melayu Bukan Kerajaan (BBK).
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan