Isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Johor yang dikatakan didesak oleh DAP Pusat (Central Executive Committee) supaya tidak menggunakan songkok pada majlis pembukaan siding Dewan Undangan Negeri memang menarik untuk dikomentar.
Mengikut berita dari akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang menyatakan keempat-empat ADUN berada dalam keadaan serba salah sama ada hendak memakai songkok atau tidak pada majlis perasmian pembukaan DUN pada 19 Jun ini.
Sekiranya kenyataan ini benar, ini menunjukkan pembohongan oleh salah seorang dari ADUN tersebut iaitu Boo Cheng Hau (ADUN Skudai). Kenyataan ini adalah dari pemberitaan yang dibuat oleh akhbar-akhbar berbahasa Cina selepas beliau memenangi pelihanraya pada 8 Mac yang lalu. Diantara kenyataannya menyatakan bahawa beliau telah berunding dengan Speaker Dewan Negeri Johor, Dato’ Mohd Ali Hassan dan memberitahu bahawa ADUN DAP tidak akan memakai songkok semasa majlis mengangkat sumpah.
Mengapa pula dia berasa serba salah dengan arahan dari DAP sedangkan beliau sendiri yang banyak membuat kenyataan sebelum ini tetapi kenyataan ini tidak diketahui oleh pembaca akhbar selain yang berbahasa Cina.
Hari ini, laporan dari Utusan Malaysia menyatakan wakil rakyat perlu mengikut keadaan di negeri masing-masing sebagaimana yang diungkapkan oleh Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw. Katanya ini adalah isu sensitif dan DAP perlu memandang keadaan setiap negeri serta menyerahkan kepada ADUN tersebut untuk mematuhinya.
Ini jelas menunjukkan sikap sebenar ADUN Skudai yang membohongi rakyat serta bersikap hipokrit.
Inilah sikap pemimpin parti pembangkang yang suka memainkan isu dan tidak memikirkan kesannya terutama kerukunan rakyat dan boleh memecahbelah perpaduan akibat dari tindakan yang tidak bijak. Tidakkah Boo Cheng Hau belajar dari sejarah tanahair sendiri seperti 13 Mei dan Natrah?.
Songkok tidak melambangkan keislaman seseorang itu, Islam tidak diukur dari segi cara berpakaian seseorang muslim. Di Indonesia, terdapat rakyat beragama Kristian juga memakai songkok ketika memasuki gereja dan melakukan upacara agama. Dengan sebab itu janganlah DAP menjadikan songkok sebagai alat untuk menaik mencari publisiti pengundi bukan Melayu.
Lupakah mereka dengan Teng Chan Kim yang sekarang menjadi Speaker Dewan Negeri Selangor, yang pernah digantung daripada menghadiri sidang pada sesi lepas kerana isu yang sama?.
Isu ini memaparkan kepada kita bagaimana pemikiran ADUN parti pembangkang terutama Boo Cheng Hau yang sekarang menjawat jawatan Pengerusi DAP Negeri Johor.
Bandingkan, bagaimana pula hujahan dari ADUN-ADUN UMNO?
Kenyataan balas dari ADUN Nusajaya, Datuk Aziz Sapian yang meminta mereka jangan duduk di negeri ini dan keluar serta pergi sahaja ke negeri lain kerana tidak mahu menghormati Sultan, boleh dianggap sebagai kenyataan melatah dan menggaggau tidak tentu arah. Adakah Datuk Aziz sudah naik “loktang”?
Siapa kita untuk menghalau mereka? Tunduk bukan maksud kita mahu dipijak tetapi berhemah dan berbudi bahasa adalah lebih baik. Bahasa mencermin dan menunjuk kepada pribadi seseorang. Karakter, watak, atau pribadi seseorang dapat dilihat dari perkataan yang ia ucapkan. Penggunaan bahasa yang lemah lembut, sopan, santun, sistematis, teratur dan jelas mencerminkan peribadi penuturnya yang berbudi. Sebaliknya, melalui penggunaan bahasa yang sarkas, menghujat, memaki, memfitnah, memprovokasi, mengejek, atau melecehkan, akan menceritakan peribadi orang yang tidak berbudi bahasa.
Lupakah kita dengan peribahasa Melayu, "bahasa menunjukkan bangsa" yang menunjukkan peradaban dan jati diri bangsanya. Sebagai masyarakat berbudaya dan mempunyai budi pekerti tinggi serta bertamadun, banyak hujah lain yang boleh diutarakan sebagaimana bidasan Datuk Maulizan Bujang yang menganggap tindakan DAP ini telah mencemarkan institusi raja dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat kerana ia menyinggung perasaan orang Melayu. Hujahnya ialah apabila mereka sudah bersetuju untuk menjadi wakil rakyat maka mereka perlu tahu dan mematuhi segala peraturan dewan.
Begitu juga dengan ADUN Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali yang meningatkan supaya jangan bersikap keras kepala atau angkuh sebaliknya perlu berfikiran terbuka dengan mematuhi peraturan.
Perkara seperti ini sepatutnya menjadi pelajaran kepada kita tentang bagaimana cara kita berhadapan dengan sesuatu isu dan masalah. Sekiranya beginilah cara kita berhujah dan menghuraikannya, ia mencerminkan gaya kita di dalam persidangan Dewan Negeri yang akan bersidang tidak berapa lama lagi.
Belajarlah dari peristiwa sidang Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama pada 30 April 2008 yang disiarkan secara langsung oleh RTM ke seluluruh negara. Rakyat boleh menilai sendiri pemikiran, gaya dan perilaku wakil-wakil yang mereka pilih. Kesannya ialah mereka lebih bersopan santun dan beradab dalam perbahasan pada hari-hari berikutnya.
Persidangan Dewan Negeri Johor belum bermula, nampaknya gendang telah dipalu oleh ADUN pembangkang dan menarilah ADUN-ADUN Barisan Nasional. Peliknya gendang dipalu mengikut rentak tarian naga, ada pula yang menari mengikut rentak zapin. Bahkan rentak tarian perang pun ada.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan