Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Jun 05, 2008

PROGRAM KITAR SEMULA MJBBU














“BELI SULAT KABAR LAMA” Ungkapan ini memang sudah sebati dengan penduduk di Bandar Baru Uda, Johor Bahru bahkan mungkin di Negeri Johor ataupun mungkin di seluruh negara kita, Malaysia.

Ungkapan ini bukan sahaja telah melekat di ingatan orang-orang dewasa, malahan anak-anak kecil yang belum bersekolah pun sudah hafal dan memahami maksudnya iaitu peniaga yang ingin membeli surat khabar lama.

Bagaimanapun, hari ini terukir sejarah bagi Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) yang akan menggerakkan program kitar semula dengan mengutip dan menerima barangan terpakai kepunyaan penduduk secara percuma.

kerana terlaksananya majlis menandatangani persefahaman penyerahan Pusat Kitar Semula Komuniti Bandar Baru Uda kepunyaan Majlis Bandaraya Johor Bahru kepada Jawatankuasa Tadbir Masjid Jamek BBU. Nota Persefahaman ini ditandatangani oleh Hajjah Aishah Abd Kapi, Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Haji Suliman Sujak yang mewakili Masjid Jamek BBU.

Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi Zon BBU, Haji Mohd Said Ibrahim dan Abd Rahman Abdullah, Pengarah Kemasyarakatan menyaksikan majlis menandatangan. Begitu juga dengan penyaksian oleh Ahli-ahli Jawatnakuasa Tadbir Masjid BBU serta penduduk yang kebanyakan terdiri dari kaum wanita (Helwa).

Penyerahan ini bermakna MBJB menyerahkan Pusat tersebut yang terletak di Jalan Tahana kepada MJBBU bagi digunakan untuk tempat pengumpulan barangan terpakai. Ia menunjukkan MBJB memberi kepercayaan dan juga sebagai dorongan kepada penduduk yang diwakili oleh MJBBU untuk mengendalikan sendiri aktiviti kitar semula selain meningkatkan kualiti alam sekitar.

Program ini juga diharapkan akan mendisiplinkan keluarga penduduk di Bandar Baru Uda tentang kepentingan kitar semula serta memperaktikkannya dalam kehidupan seharian. Kegiatan ini adalah sangat digalakkan oleh agama Islam sebagaimana sabda Nabi SAW yang berbunyi,”Ath-thahuuru syatrul iimaan...” bermaksud kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman.

Untuk merealisasikan tujuan murni ini, MJBBU ingin berkongsi dengan penduduk BBU tentang kepentingan kitar semula dalam kehidupan seharian. Mereka perlu mempelajari tentang kitar semula dan mempraktikkanya. Oleh itu, penduduk terutama surirumah hendaklah mengumpulakan barangan yang boleh dikitar semula seperti surat khabar, kertas-kertas dari pejabat, kertas-kertas dari pencetak, majalah, risalah, plastic, bekas-bekas minuman, botol-botol sabun, bekas makanan, pembalut makanan, bekas aiskrim, kertas kadbod keras, kotakkotak, kaca, bekas-bekas jem, bekas-bekas makanan, botol dan pakaian lama yang boleh diguna semula atau didermakan kepada badan kebajikan.

Kenderaan/lori MJBBU yang mempunyai logo serta pekerja beruniform akan ke rumah-rumah penduduk pada setiap hari Rabu dan Ahad. Lagu-lagu nasyid akan dikemundangkan melalui pembesar suara di kenderaan yang digunakan sebagai pemberitahuan dan pengenalan.
Penduduk juga boleh menghantar terus ke pusat pengumpulan di Jalan Tahana atau menghubungi talian bimbit 0127116767 dan 0177123807 bagi urusan lanjut.

Konsep yang dilakukan semasa menyerah atau mengambil barangan kitar semula ini adalah sebagai pendermaan serta jariah penduduk dan hasilnya akan didermakan ke dana MJBBU.
Adalah diharapkan lebih banyak kita melakukan kitar semula, akan lebih banyak jugalah kita menjimatkan pembuangan sampah dan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru juga dapat mengurangkan perbelanjaan pengurusan sampah.

Akhirnya segala apa yang kita lakukan ini kerana keikhlasan, insyaallah akan mendapat keberkahan dari Allah Subhanahu Wataala.

Tiada ulasan: