Kenaikan harga petrol di negara ini yang dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 seliter berkuat kuasa malam tadi sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri memang amat meresahkan. Ini merupakan kenaikan 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sebelumnya. Begitu juga dengan diesel yang turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58.
Begitupun, pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc pula mendapat bayaran tunai RM625 setahun.
Aku menarik nafas lega kerana gas asli kenderaan NGV kekal pada harga lama. Ini bermakna tindakanku menggunakan gas NGV di kereta baru Proton Iswara JKM9669 sejak 9 bulan yang lalu adalah betul, tepat dan menguntungkan sekurang-kurangnnya untuk ketika ini.
Selain dari itu, sebagai pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 150cc yang mendapat bayaran tunai RM150 setahun, tentulah juga melegakan. Kalau sebelum ini motosikal Honda JJJ488 yang aku gunakan untuk ke surau, masjid, kedai dan persekitaran perumahanku menggunakan perbelanjaan RM20 sebulan, kini bertambah kepada RM28 atau RM30.00. Pertambahan sebanyak RM96-RM100 setahun ini menguntungkan kerana Kerajaan akan memulangkan secara tunai sebanyak RM150.
Yang menjadi masalah ialah Mercdes 190E yang sekarang ini jadi perhiasan sahaja di rumah, pastinya akan berterusan begitu. Sebuah lagi, Toyota yang sekarang dibaiki di workshop, nampaknya tidak akan diambil peduli lagi.
Walau apapun, kereta Proton Iswara yang aku gunakan sekarang lebih memudahkan aku berurusan dengan keluarga dan juga masyarakat. Motosikal Honda pula yang lebih aku sayangi kerana ia mendekatkan aku kepada Allah, itulah kenderaan yang memudahkan aku ke surau dan masjid.
Pesananku kepada keluarga terutama isteriku adalah kenaikan harga minyak ini akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Dengan sebab itu kita perlu berkorban dan mengubah tabiat berbelanja. Maka, mulai sekarang kita semua perlu berubah dan membentuk gaya hidup baru. Kita perlu mengubah cara hidup supaya lebih berjimat cermat.
Aku percaya bahawa semua yang berlaku ini ada hikmahnya dan percayalah sekiranya kita berbelanja mengikut keupayaan dan tidak mengikut hawa nafsu atau menunjuk-nunjuk, maka kita akan terselamat dari kebinasaan.
Berkorban dan berserahlah kepada Allah Subhanahu Wataala kerana kita mesti berikhtiar dan melakukannya sementara Allah yang menentukannya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan