Radio Internet FuhYooFm

Selasa, Julai 01, 2008

MENZIARAH SYED MAHADZAR DI HSA


Bagi umat Islam, menziarahi orang sakit adalah sunat dan sangat digalakkan kerana ia boleh mempereratkan hubungan silatul rahim. Amalan ziarah ini pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kerana ia mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkahmu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga" (Riwayat: at-Tirmizi)

Petang tadi, saya bersama Haji Md Jati Ali dapat meluangkan masa untuk menziarah seorang ahli Persatuan Bekas Kakitangan Felda yang sedang sakit dan terlantar di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Beliau ialah Syed Mahadzar bin Syed A Rahim @ Syed Sulong.

Kedatangan kami berdua disambut dengan begitu gembira kerana beliau telah berada di Wad Pertama HSA sejak 27 hari yang lalu. Seorang anaknya yang ada disamping memberitahu bapanya memnerima rawatan kanser usus dan kini telah merebak ke paru-paru. Beliau memang telah pasrah kerana doktor telah mengatakan bahawa tiada rawatan yang akan dilakukan selain menggunakan sambungan oxygen.

Masalah yang beliau hadapi ialah untuk mendapatkan kelengkapan dan peralatan termasuk balang-balang oxygen yang berharga RM5,000.00. Pihak hospital hanya berkemampuan untuk mengisi dan menambah gas sahaja.

Saya berjanji untuk membawa kepada pengurusan Persatuan untuk tujuan sumbangan sebagaimana yang dipinta dan diharapkan. Beliau juga berharap rakan-rakan dapat bertemu dengannya.

Sebelum meninggalkannya, saya sempat mencium pipi kiri dan kanan serta berjanji akan memberitahu rakan dan sahabat yang lain.

Tiada ulasan: