Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Julai 20, 2008

PEREBUTAN JAWATAN-JAWATAN DALAM UMNO: APA SEBENARNYA YANG DIMAHUKAN (JAWATAN PEMERIKSA KIRA-KIRA)

Mulai Jumaat yang lalu, bermulalah episod mendebarkan bagi mereka yang memegang dan mengidamkan jawatan dalam semua peringkat kepimpinan UMNO. Dalam situasi keyakinan yang semakin merosot, perlakuan para penafsu jawatan ini masih tidak berubah.

Perebutan jawatan terjadi dimana sahaja, dari peringkat jawatan yang paling kurang diminati seperti Pemeriksa Kira-Kira di Cawangan-cawangan, sebahagiannya masih menjadi rebutan. Manakan tidak, biasanya jawatan ini adalah sebagai tapak permulaan untuk mereka yang ingin mencuba atau berjinak dalam mana sahaja persatuan. Kelazimannya penjawat ini hanya akan digunakan apabila sampai masa mesyuarat agong atau persidangan. Setahun sekali mereka akan dicari untuk mendapatkan tandatangannya sebagai bukti penyata kira-kira telah disemak dan disahkan. Kebanyakan mereka tidak faham atau sengaja tidak mahu faham bahawa tugasnya memang penting. Mereka, pada bila-bila masa boleh membuat semakan keatas perjalanan dan pentadbiran kewangan. Tetapi ini tidak dilakukan. Sebaliknya mereka khuatir tidak akan mendapat sokongan Ketua Cawangan untuk mendapat jawatan yang lebih baik seperti Ahli Jawatankuasa.

Perlakuan seperti ini menjadi makanan kepada pimpinan cawangan yang akan mengadakan mesyuarat agong atau persidangan cawangan. Ini adalah disebabkan laporan kewangan yang telah disahkan oleh Pemeriksa Kira-Kira hanya akan dibentang di dalam mesyuarat dan tidak memerlukan pengesahan oleh ahli-ahli yang hadir, bahkan tidak ada sebarang pertanyaan yang dibenarkan. Segala-galanya hanya boleh dibangkitkan di dalam ucapan penangguhan, itupun sekiranya masih ada waktu yang terluang.

Agenda 'ucapan penangguhan' terletak pada agenda 14.13 sebagaimana yang tercatat dalam buku Peraturan Persidangan Cawangan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi UMNO. Agenda ini diletakkan selepas 'tangguhan persidangan' (14.12) yang bermakna segala perkara yang dibangkitkan boleh dijawab atau tidak oleh Bendahari atau pimpinan cawangan.

Pada kebiasaannya, segala pertanyaan atau bangkitan dari ahli akan dijawab oleh Ketua Cawangan, Bendahari atau mereka yang bertanggungjawab. Diantara jawapan mudah ialah "mesyuarat Jawatankuasa telah membincang dan mengesahkan semua laporan di dalam mesyuarat akhir".

Soalnya ialah siapa yang bertanggungjawab dan memberi penjelasan sekiranya penjawat sebelumnya tidak lagi memegang jawatan dalam pemilihan yang baru?.

Inilah diantara fenomena Pemeriksa Kira-Kira, satu jawatan dikatakan paling rendah di dalam susunatur jawatan di Cawangan atau Bahagian, juga masih mendapat perhatian kepada mereka yang mempunyai minat terhadapnya.

Tiada ulasan: