Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Julai 13, 2008

TEKA TEKI SIAPA SETIAUSAHA POLITIK DATO’ SHAHRIR SAMAD TERJAWAB




Akhirnya, pada hari ini Dato’ Shahrir Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna telah mengumumkan nama-nama Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit dan Setiausaha Akhbarnya di majlis perasmian berkelompok Persidangan Pergerakan Wanita UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Johor Bahru.

Sejak perlantikannya sebagai anggota kabinet, ramai yang tertanya-tanya terutamanya ahli-ahli UMNO dan pengundi di Johor Bahru tentang pendamping beliau terutamanya yang penjawat Setiausaha Politik. Pengumuman jawatan ini memang sangat dinantikan kerana ia berkait rapat dengan kerjaya dan masadepan penjawat ini yang diharapkan akan menjadi aset penting dan pengharapan Negara terutama pengundi dan ahli-ahli di Parlimen Johor Bahru.

Perlantikan orang yang dipercayai ini bukan bermakna Dato’ Shahrir meminggir individu lain terutama yang berjawatan di dalam Parti tetapi ia adalah satu pengharapan yang begitu tinggi sebagaimana pengharapan Allahyarham Tun Hussin Onn ketika melantik beliau sebagai Setiausaha Politik pada tahun 1978. Begitu juga apabila pada tahun 1986, beliau melantik Datuk Khalid Nordin sebagai Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini, Dato’ Shahrir pernah bertanya kepada saya “Siapa pengganti saya?”. Secara sepontan saya telah menyatakan bahawa Dato’ mesti mencari orang yang lebih muda, bergiat cergas dengan badan-badan sukarela dan beliau mestilah bersih dari tohmahan dan pandangan negetif.

Akhirnya, setelah tiga bulan menanti, nama Haji Mohd Ali bin Mohd Salleh, seorang Arkitek berpejabat di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru telah dinamakan sebagai Setiausaha Politik (SETPOL).

Beliau menetap di Johor Bahru dan berumur 42 tahun, menjawat jawatan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru dan beberapa jawatan lain dalam badan-badan sukarela ternasuk Setiausaha Jawatankuasa Tadbir Masjid Jamek Kampong Melayu Majidee. Beliau memang layak memegang jawatan tersebut.

Dato’ Shahrir telah menyediakan sampan dan dayong telah ditangan, terpulang kepada Haji Ali Salleh untuk meredah lautan perjuangan menuju cita-cita.

InsyaAllah, perjuangan mengikut rentak dan trak yang betul, akan sentiasa diberi sokongan dan ambillah iktibar dari sejarah terutama pemimpin Johor yang bukan sahaja berani dan berketrampilan, bahkan mempunyai imej yang bersih dan berlatar belakang agama yang kukuh.

Bekerjalah sebagai satu pasukan dengan rakan-rakan Setiausaha yang lain seperti Norlela Ramly (Setiausaha Sulit) dan Sunarti Kibat (Pegawai Tugas-Tugas Khas & Setiausaha Akhbar) untuk mencapai cita-cita dan wawasan ketua anda.

Tiada ulasan: