Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Oktober 04, 2008

HARI INI GENAP UMURKU 56 TAHUN



Hampir dua bulan saya tidak kemaskini blog ini. Yang pasti saya cuba gunakan sepenuhnya keberkahan bulan Ramadan dengan mendekatkan diri ke hadrat Allah swt. Begitu juga saya dapat membawa isteri sentiasa mendekatkan diri kepadaNya.

Alhamdullillah, cabaran bulan Ramadan dapat dilalui dengan tenang dan gembira tetapi apakah pasti pada Ramadan akan datang dapat bertemu sekali lagi?. Semuanya dalam ketentuan Allah swt dan sebagai hambaNya yang masih dikurniakan keingininan dan nafsu, tentu mengharapkan pertemuan dengan Ramadan seklali lagi.

Hari ini keinginan kuatku untuk mengisi blog ini adalah kerana sejarah hari ini tidak akan berulang lagi. Seperti yang berlaku pada hari semalam, ia tidak akan berulang pada hari ini, esok dan seterusnya.

Setiap bulan Oktober pada hari yang keempat adalah sejarah bagiku kerana ia adalah hari ulang tahun kelahiranku. Pada waktu subuh Sabtu (Wageh) 1952, seorang bayi telah dilahirkan atas percantuman kasih sayang Ma'asom dan Sarmi. Itulah saya yang diberi nama Sunawan oleh datukku Yai Reban dan ditambah Mohamad oleh ayahku, telah membesar dan mendewasa sehingga kini telah genap 56 tahun.

Pagi ini ibu dapat kuhubungi melalui telefon dan memberitahu mengenai hari jadiku. Walaupun dapat dalam tempoh yang pendek kerana masih ada tetamu di kampung, ibu mengharapkan saya dapat meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna dan bahagia. Dia juga menyatakan bahawa hari ini mengikut perkiraan dan kalender Jawa adalah hari Sabtu Keliwon sedangkan hari kelahiranku adalah Sabtu Wageh.

Selain kuih-mueh yang sediaada, isteriku menyediakan juadah sampingan seperti mee sup, mee kuning goreng dan lontong. Hampir tengahari juadah telah tersedia dan isteriku memberitahu bahawa semua adik beradik dan anak-anak saudaranya akan datang berhari raya pada hari ini.

Gembira rasanya dapat menyambut hari jadi dalam suasana hari raya. Persoalannya ialah berapa lama lagi umurku akan berada di dunia fana ini? Ingin menjejak umur Nabi Muhammad saw, bermakna ada tujuh tahun lagi untuk hidup. Atau ingin mengikut umur ayah sehingga 90 tahun?. Apakah baki-baki umur yang ada ini dapat ku isi dengan pelbagai amal dan bakti yang boleh membantu kita di akhirat nanti?.

Tiada ulasan: