Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Ogos 08, 2008

MELAWAT KAWASAN PEMBUNUHAN DAN PERKUBURAN CHOUNG EK















Lawatan hari keempat di bumi Kemboja pada pagi ini memberi inspirasi baru kepadaku untuk melihat filem dari lakunan pelakun dan kreativiti pengarahnya. Menuntun filem atau drama bukanlah kegemaranku. Tetapi pada pagi ini, tetiba saja saya ingin mencari filem atau VCD bertajuk “The Killing Field” yang diarahkan oleh Roland Joffe.

Naluriku meronta untuk menonton filem ini adalah disebabkan perasaan sedih dan hiba melihat tengkorak dan tetulang manusia dikumpulkan di dalam kawasan pembunuhan Choung Ek, 15 km ke selatan Phnom Penh.

Sejarah kekejaman Pol Pot yang menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis Kampuchea yang telah menyebabkan kematian rakyat seramai 1.7 juta, adalah begitu zalim pada abad ke 20. Beliau yang dianggap sebagai pemimpin totalitarian adalah mungkin lebih kejam dari Adolf Hitler. Ini disebabkan askar-askar Pol Pot membunuh dengan penyiksaan yang dahsyat berbanding Hitler yang membunuh rakyat Yahudi dengan cara menyalurkan gas beracun.

Mereka tidak menggunakan peluru disebabkan ingin menjimatkan perbelanjaan, sebaliknya senjata yang digunakan adalah seperti pisau, parang, pedang, besi, cangkul, pelepah kelapa laut dan sebagainya bahkan anak-anak kecil dan bayi hanya dihempas ke pokok sahaja.

Di kawasan pembunuhan ini dapat dilihat bukti-bukti yang masih jelas seperti kain baju yang masih bersepah-sepah, cebisan tulang belulang bertindihan dengan ranting-ranting kering.

Peristiwa sedih ini bemula pada 17.4.1975 apabila Regim Khmer Rouge yang diketuai oleh Saloth Sarih yang lebih dikenali sebagai Pol Pot (9.5.1925 – 15.4.1998), telah mengarahkan semua rakyat Kemboja meninggalkan rumah masing-masing sehelai sepinggang untuk selama 3 hari. Rumah-rumah tidak perlu dikunci kerana tentera Khmer Rouge akan membuat kawalan dan memberi jaminan keselamatan.

Rumah-rumah telah digeledah dengan mengambil semua barangan berharga sementara rakyat dikumpulkan di kawasan luar bandar sementara sebahagiannya dimasukkan ke penjara yang sebenarnya adalah bangunan yang dijadikan penjara seperti sekolah dan sebagainya.

Mereka yang tidak bernasib baik ini ialah pemimpin pemerintah seperti menteri, kakitangan kerajaan termasuk cendekiawan, orang-orang berilmu, terpelajar, pemimpin agama, orang-orang muda dan lain-lain. Tujuan mereka adalah untuk menghapuskan kesemua mereka dan akhirnya mereka ingin mengumpulkan anak-anak kecil yang dipisahkan dari keluarga dan akan diasuh mengikut cara mereka supaya Kemboja akan dapat diperintah mengikut acuan kominis.

Di penjara inilah, soal siasat akan dilakukan dengan begitu kejam yang pasti akan berakhir dengan pembunuhan dan mayat-mayat akan dikuburkan di dalam lubang besar sehingga boleh muat 300 orang seperti apa yang dilihat di Choung Ek.

Di Choung Ek ini, dipertunjukkan longgokkan tulang dan tengkorak dan disediakan penceritaan bagaimana pembunuhan dilakukan. Diantaranya masih terdapat sebatang pokok besar dimana Rejim akan memasang pembesar suara yang akan dikumandangkan lagu-lagu dengan nada kuat. Tujuannya supaya tidak kedengaran tangisan, jeritan dan sebagainya hasil dari seksaan serta pembunuhan.

Bagi rakyat lain yang dikatakan terselamat, sebenarnya mereka juga akan mati dengan cara yang lebih tragis. Semuanya, dengan tidak mengira umur dan jantina akan dipaksa ke ladang untuk bercucuk tanam dan membuat pekerjaan lain sebagaimana yang diarahkan secara paksa. Mereka akan bekerja dari awal pagi hingga matahari terbenam dan tidak diberi upah. Segala-galanya adalah untuk pemerintah.

Makanan yang dibekalkan hanyalah setengah kilo beras untuk 20 keluarga. Apa yang mereka jamah? Hanyalah beras yang dijadikan bubur cair sahaja tanpa makanan yang lain.

Kekurangan zat makanan menjadikan mereka kurus kering dan tiada hospital atau ubat-ubatan yang diberi. Akhirnya mereka meninggal akibat darinya dan dari pelbagai penyakit.

Emak, bapak dan datuk nenek kita pernah melalui kekejaman tentera Jepun dan Bintang Tiga pada tahun-tahun 40an tetapi ia tidaklah sedahsyat apa yang berlaku di Kambodia.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ya, mungkin kerana itu