Radio Internet FuhYooFm

Selasa, November 04, 2008

CABARAN BULAN SYAWAL

Hari Raya, hari menemukan seisi keluarga

Bulan Syawal telahpun berlalu, begitu cepat. Sepanjang bulan Syawal tahun ini seperti tak ada masa untuk berehat. Manakan tidak, jemputan rumah terbuka di mana-mana saja, tidak lagi mengira waktu dan hari. Semuanya atas nama "rumah terbuka".

Mungkin secara kebetulannya, sambutan raya tahun ini bertepatan dengan "hari raya" orang-orang UMNO yang rancak mengadakan kempen untuk pemilihan pimpinan di peringkat Bahagian dan Pusat.

Saya sendiri terpaksa mengaturkan masa yang sesuai untuk mengadakan makan-makan untuk semua individu yang rasanya perlu datang ke rumah.

Dalam tempoh sebulan Syawal ini rombongan marhaban dari Kumpulan Yassin Al-Ikhlas dimana saya menjadi Timbalan Pengerusi pastinya akan datang ke rumah. Begitu juga dengan Kumpulan Yassin Wanita Bandar Baru Uda juga akan datang ke rumah. Untuk itu saya terpaksa menentukan satu hari yang sesuai dan saya mengambil hari Khamis malam Jumaat untuk mengadakan majlis bacaan Yassin dan Tahlil, memanggil kumpulan marhaban dan seterusnya disambung dengan marhaban kumpulan wanita.

Penutupnya, lebihkurang jam 10 malam saya memanggil rakan-rakan AJK UMNO Bahagian Johor Bahru dan dari cawangan yang berdekatan untuk sama menjamu selera.

Seperti biasa, isteriku juga yang taat dan setia dari dulu lagi yang berhempas pulas menyediakan makanan dan jamuan. Memang ramai yang datang, tapi itu sudah cukup untuk memenuhi keperluan mengadakan "rumah terbuka" disamping rutin yang mesti dilakukan semasa perayaann ini.

Begitu banyaknya "rumah terbuka" dan begitu banyaklah juga yang saya tidak dapat memenuhinya melainkan yang agak wajib seperti jemputan kenduri kahwin dan rakan-rakan UMNO yang difikirkan mempunyai pengaruh yang kuat.

Di Johor Bahru, amaran Jawatankuasa Disiplin UMNO nampaknya ada kekesananya. Contohnya ialah salah seorang pemimpin UMNO yang juga seorang ahli perniagaan yang berjaya biasanya akan membahagi wang hari raya bukan sahaja kepada kanak-kanak malahan kepada semua tetamu yang hadir. Tapi untuk tahun ini tidak seorang pun yang mendapatnya. Ramai juga yang tertanya-tanya kerana biasanya paling tidak pun dapat RM10, sekurang-kurannya lepas juga duit minyak.

Cabaran bulan Syawal ini memang hebat. Untuk berpuasa selama enam hari dalam bulan ini pun bukan mudah. Lebih mudah lagi kita berpuasa 30 hari dalam bulan Ramadan kerana pada bulan itu semua orang berpuasa tapi dalam bulan Syawal lebih banyak cabaran makan dari berpuasa. Sebab itu apabila saya dapat melakukannya walaupun dalam keadaan yang begitu mencabar, pastinya ia merupakan satu kejayaan besar bukan sahaja melawan nafsu bahkan dugaan yang pelbagai kerana ada keinginan yang lain seperti dalam cita-cita untuk kemenangan dalam pemilihan dan sebagainya. Isteriku sendiri hanya dapat berpuasa untuk dua hari sahaja.

Apabila bertemu rakan-rakan di masjid, ramai yang bertanya kemana saya menghilang? Bahkan mereka begitu terasa kerana hampir satu bulan saya tidak update layar elektronik LED kerana layar inilah yang mejadi pemberitahun segala maklumat dan kegiatan masjid sepanjang minggu.

Sepuluh jari saya memohon maaf kepada para jamaah BBU dari hujung rambut ke hujung kaki kerana terpaksa mengabaikan tanggungjawab sukarela yang telah menjadi amalanku untuk mengemaskini layar LED ini. Dan sehingga kini LED ini terus "gelap".

Bulan Syawal sudah menghilang dan pemilihan dalam UMNO Bahagian juga telah berlalu. Jadi, adakah saya ingin melupakan tanggungjawab di masjid yang sangat kucintai?.

Tiada ulasan: