Radio Internet FuhYooFm

Isnin, November 10, 2008

DIANTARA PERBEZAAN PEMIMPIN PEMUDA UMNO DAHULU DAN KINI


Duduk dihadapan dari kiri, Mohamad Kasbi (Penolong Bendahari), Ismail Kamaruddin (Naib Ketua), Abd Wahab Muslim (Ketua) dan Mohd Sunawan Hj Md Som (Penolong Setiausaha).
Berdiri di belakang dari kiri, Ahmad Hj Burak (AJK), Abd Wahab Ahmad (AJK), Selamat Othman (AJK), Fadzil Hj Abdullah (AJK), Abd Rahim Abd Rahman (AJK) dan Baharuddin Bahri (AJK).

Melihat gambar di atas, apakah yang anda dapat lihat dan memberi penjelasan tentang mereka yang beruniform putih ini?

Ya.. mereka adalah pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Johor. Gambar ini diambil pada tahun 1982 sebelum Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia diterajui oleh Anwar Ibrahim. Ketua Pemuda UMNO pada ketika itu adalah Dato Haji Suhaimi bin Haji Kamaruddin. Arahan yang diberi kepada barisan pimpinan pemuda UMNO adalah supaya sentiasa memakai songkok hitam, seluar dan bush jaket warna putih, itulah pakaian rasmi. Ia tidak banyak perbezaan dengan uniform MCA yang masih diguna hingga kini melainkan songkok yang membezakannya.

Sebagai Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Dato Haji Suhaimi mahukan semua ahli-ahli pemuda UMNO mesti juga menyertai gerakan atau persatuan belia terutamanya Gerakan Belia 4B. Persatuan belia yang paling mantap dan berpengaruh pada ketika itu adalah Belia 4B selain MAYC yang dipimpin oleh Dato Sanusi Junid.

Hampir kesemua AJK Pemuda UMNO Bahagian Pulai adalah juga pemimpin-pemimpin persatuan belia terutama Belia 4B seperti Abd Wahab Muslim yang menjadi Pengerusi 4B Daerah Johor Bahru dan saya menjadi setiausahanya.

Pada ketika itu para pemimpin tidak kira dari sayap pemuda, wanita mahupun dari cawangan-cawangan menitik beratkan bagaimana harus mendukung belia-belia sebagai pewaris pejuang untuk membela bangsa, agama dan negara. Ditangan belialah akan terserlah kejayaan dan keyakinan masyarakat. Jangan kita lupa bahwa belia merupakan aset bangsa yang sangat berharga.

Apakah pemimpin-pemimpin pemuda UMNO di semua peringkat pada ketika ini melihat kenyataan sebenar yang dilakukan oleh pimpinan pemuda pada masa dahulu?. Apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana mereka melihat organisasi UMNO sebagai satu butiran permata yang perlu dimiliki dan seterusnya mendapatkan keuntungan darinya.

Dalam era globalisasi yang mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan para belia, pemimpin muda UMNO haruslah mendekatkan diri dengan golongan ini terutama memberi kepercayaan bahawa sesungguhnya UMNOlah yang memberi perhatian dan memperjuangkan segala kehendak dan kemahuan anak-anak muda.

Untuk itu, carilah usaha untuki para belia menjalankan kegiatan yang berfaedah. Kegiatan-kegiatan belia hendaklah didorong dan dibantu serta diberi kemudahan secara total seperti bantuan moral, kewangan, khidmat nasihat dan sebagainya.

Inilah diantara perkara yang pernah kami lakukan dahulu dan ia sudah sebati dalam jiwa raga kami sehingga kini.

Ingatlah bahawa terdapat ayat Quran yang menegaskan bahawa janganlah meninggalkan dibelakangmu generasi yang lemah. Ia menunjukkan bahawa tanggung jawab pembinaan generasi muda adalah merupakan tanggung jawab pemimpin hari ini.

Wahai pemimpin-pemimpin muda, janganlah anda menghancurkan harapan generasi anda dan masa akan datang. Libatkanlah diri dan dekati mereka supaya anda memahami perasaan dan kemahuannya.

Tiada ulasan: