Sudah menjadi kelaziman di masjid kami, setiap Sabtu, Ahad dan hari-hari kelepasan am akan diadakan kuliah subuh. Dan seperti biasa, setelah selesai solat subuh, saya akan terus ke bahagian belakang masjid untuk membuat persiapan sarapan para jemaah. Di kawasan ini memang telah sedia ada corong pembesar suara khusus untuk petugas seperti kami mendengar kuliah.
Pada minggu yang baru lalu, beberapa jemaah sempat mengucapkan tahniah kepadaku kerana mereka telah terbaca di akhbar tempatan mengenai namaku yang tercalun untuk menjadi Ahli Majlis MBJB. Di antara mereka terdapat juga seorang penggiat parti pembangkang (di Johor) yang nampak seperti ada sahaja perkara yang tidak berapa kena.
Seperti biasa, saya tidak akan menunjukkan sebarang reaksi kepadanya. Bagiku, semua jemaah yang ada adalah sama seperti mana yang lain juga tanpa mengira fahaman masing-masing. Cuma pada pagi itu saya memberitahunya bahawa saya telah menjemput seorang ustaz dari Kuala Lumpur untuk membuat ceramah di masjid pada akhir bulan Disember ini. Saya memberitahunya yang ustaz ini sering berceramah di pentas parti pembangkang. Bagaimanapun ustaz ini telah diingatkan supaya tidak membuat ceramah yang ada unsur kepartian dan beliau mempersetujuinya.
Hujah yang saya beri ini nampaknya tidak disenanginya. Saya tak kesah sebab yang penting peringatan mesti diberi kepada semua penceramah. Mereka akan kembali ke tempat masing-masing setelah berceramah. Sebaliknya, kami yang berada dan bermastautin di sinilah yang akan menanggung segala risiko sekiranya berlaku perpecahan dan sebagainya.
Pagi itu saya terus balik ke rumah.
Baru-baru ini saya mendapat tahu, rakan tadi begitu bersungguh-sungguh ingin membuat protes sekiranya saya dilantik sebagai Ahli Majlis MBJB. Alasannya ialah saya pernah melakukan kesalahan semasa menjadi Pesuruhjaya Sumpah. Dikatakan bahawa kesalahan yang telah saya lakukan boleh menyebabkan saya hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Majlis.
Saya memang terkejut dengan berita ini. Terkejut bukan kerana mengikut andaiannya saya tidak akan terlantik sebaliknya tidak menyangka seorang rakan yang saya sentiasa hormati walaupun kami berbeza fahaman politik, sanggup melakukan sesuatu yang beliau sendiri tidak faham duduk perkara sebenar.
Sebelum ini, stiap kali berjumpa dengannya, saya tidak pernah mengeluarkan perkataan yang boleh menyenggong perasaanya. Bahkan sedaya upaya saya akan berusaha untuk menjadi seorang rakan dan jemaah yang baik termasuklah membantu apa saja yang termampu.
Agaknya, inilah diantara perbezaan pendekatan diantara kami. Bagi saya, fahaman politik ada ketikanya berubah-ubah. Ia mengikut masa dan keperluan. Begitulah juga parti rakan saya tadi yang sudah jauh berbeza dengan perjuangannya dahulu.
Dalam suasana negara selepas PR12, agama Islam dan bangsa Melayu mula diperlekehkan. Dasar-dasar negara bahkan institusi raja-raja yang menjadi payung kepada bangsa dan agama juga telah dipersoalkan.
Sepatutnya, waktu inilah orang-orang Melayu dan yang beragama Islam bersatu dan mencari titik persefahaman dengan tidak mengira fahaman politik untuk menangkis serangan mereka yang buta sejarah. Lupakan perkara titik bengek. Fokuskan penggembelingan dan kekuatan untuk memperkukuhkan kekuatan bangsa dan agama kita.
Mungkin apa yang sentiasa dalam pemikirannya ialah untuk terus menghancurkan sesiapa sahaja yang menyokong apatah lagi penggiat parti orang-orang Melayu yang dinamakan UMNO!. Agaknya mereka akan merasa puas sekiranya parti ini dapat dikuburkan.
Berbalik kepada persoalan samada saya akan menjadi Ahli Majlis MBJB atau sebaliknya, ianya terpulang kepada Kerajaan Negeri yang akan menentukannya kelak. Soal kes jawatan saya sebagai Pesuruhjaya Sumpah dilucutkan oleh Pendaftar Mahkamah Persekutuan telahpun selesai. Pihak plantif telah menarik balik tuntuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Trengganu dan peguam saya juga telah menasihatkan saya untuk membuat saman balas kepadanya kerana jawatan saya telah terlucut. Saya sedang serius memikirkan perkara ini.
Ada cadangan supaya jawatan Ahli-ahli Majlis sepatutnya dipilih oleh pembayar cukai. Dalam konteks di Bandaraya Johor Baharu, saya bersetuju untuk diadakan khususnya di Bandar Baru Uda. Biarlah pembayar cukai memilih siapa sebenarnya yang layak dan diterima oleh masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan