Radio Internet FuhYooFm

Ahad, November 09, 2008

SUASANA POLITIK UMNO JOHOR BAHRU SELEPAS PEMILIHAN BAHAGIAN


Cikgu Borahan Kassim


Pak Daud dan Syed Yasin (bawah)




Selepas menghadiri majlis pelancaran perniagaan di Kg Melayu, saya ke Pejabat Khidmat Wakil Rakyat kerana menguruskan surat-surat sokongan untuk beberapa orang penduduk di Bandar Baru Uda.

Saya berjumpa dengan YB Hj Adam Sumiru, ADUN Tanjung Puteri dan membuat sedikit perbincangan dengannya yang ada hubungkait dengan pembangunan khususnya di dalam Parlimen Johor Bahru.

Sebelum beredar pulang, sempat juga saya berbual-bual dengan Hj Daud Md Noor, Cikgu Borahan Kassim dan Syed Yasin Ali terutama mengenai suasana politik selepas pemilihan UMNO bagi semua peringkat di Johor Bahru.

Hj Daud yang sinonim dengan panggilan Pak Daud adalah orang yang begitu lama berkecimpung di dalam politik UMNO Johor Bahru. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Setiausaha UMNO Bahagian dan sekarang ini adalah Pengerusi Tetap UMNO Bahagian. Beliau juga membantu kerja-kerja pentadbiran di pejabat UMNO dan juga pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat.

Sebagai orang yang begitu lama dalam UMNO Johor Bahru, ketika ini beliau merasakan satu suasana yang berlainan apabila wujudnya pemilihan di semua peringkat. Beliau melihat ada tanda-tanda individu yang memainkan peranan yang boleh memporakperandakan kerukunan dan suasana aman dalam Bahagian Johor Bahru.

Saya berserta dengan rakan-rakan yang ada juga bersetuju dengan apa yang disuarakan oleh Pak Daud. Kami juga sekata supaya suasana seperti ini mesti dikekang. Pemimpin UMNO di Johor Bahru harus melihat bahaya seperti ini boleh menyebabkan pemimpin boleh berpecahbelah.

Kita percaya Dato' Shahrir sebagai Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen tentu sedang berusaha untuk mencari pengganti beliau. Dan keyakinan kami lebih menguat apabila pemimpin pelapis ini mesti mewarisi keupayaan dan ketrampilan yang setanding dengannya. Ini adalah kerana Johor Bahru merupakan satu-satunya kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi Melayu tidak pun sampai 51% tetapi dapat dikuasai oleh Ahli Parlimen Melayu.

Datuk Shahrir sendiri masih menerima sokongan 30% dari pengundi bukan Melayu pada pilihanraya yang baru lalu. Sikap pengundi bukan Melayu memang agak berbeza pada kali ini dan tidak ada sesiapapun Ahli Parlimen Barisan Nasional yang menerima undi melebihi 20% malahan ada yang tidak sampai 5%.

Masalah inilah yang mendorong kami cuba mencari jalan bagaimana usaha yang perlu dilakukan untuk menyekat pengaruh mereka yang boleh memecahbelahkan perpaduan ahli-ahli UMNO dan masyarakat di Johor Bahru.

Kita tidak sepatutnya memandang ringan dengan kesan yang berlaku dari pertandingan umpamanya Ketua Wanita. Mengapa ia boleh berlaku dan bagaimana Ahli-Ahli Jawatankuasa dalam Pergerakan Wanita telah berpecah-pecah. Begitu juga dengan pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda. Mengapa terjadi perbalahan dalam mesyuarat perwakilan sehingga ke satu peringkat, pengawal keselamatan tempat persidangan memberi amaran untuk menghentikan persidangan?. Di peringkat UMNO Bahagian pula, pertandingan Naib Ketua menyebabkan wujudnya kelompok yang memberi sokongan sehingga timbul ketidakpercayaan di antara rakan-rakan dalam cawangan.

Tanpa mengambil kira protes mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda yang telahpun samapai ke Perhubungan UMNO Negeri, memang semuanya telah berlalu. Apa yang harus kita fikirkan ialah kesan dari pemilihan tersebut dan bagaimana pula dengan individu yang masih mempunyai nafsu serakah tanpa mengambilkira perpecahan yang boleh mengancam kekuasaan UMNO serta orang Melayu di parlimen Johor Bahru.

Saya hanya mengharapkan Dato' Shahrir melihat suasana ini dengan menerima pandangan dari banyak pihak dan tidak melihat dari sudut luaran serta dari orang tertentu sahaja.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jangan lama sangat nak sedar masalah Umno...