Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Disember 31, 2008

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1430 MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA, JOHOR BAHRU

.

Satu daripada empat bulan penting dalam Islam adalah bulan Muharram. Ketibaan hari pertama tahun 1430 Hijrah mengikut kalendar Islam pada maghrib Ahad 28 Disember, Masjid Jamek Bandar Baru Uda menyambutnya dengan bacaan doa awal tahun oleh lebihkurang 2,500 jemaah dengan diketuai oleh Imam Haji Munadi Muhajir. Sebelum maghrib, jemaah bertahlil dan mengaminkan doa akhir tahun.

Untuk tahun ini, malam awal tahun Hijrah ini diisi dengan kuliah maghrib yang disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Haji Murshid Maarof.

Seterusnya, pengisian sambutan dilakukan dengan kuliah subuh Isnin oleh Ustaz Haji Mat Isa Deraman. Untuk pertama kalinya, masjid ini tidak menyediakan sarapan pagi selepas kuliah subuh bagi menggalakkan kariah melakukan puasa sunat.

Pengerusi MJBBU dan Pengerusi Kelab-Kelab meraikan tetamu Saudara Kita

Mengambil kesempatan dari cuti umum, masjid ini mengadakan majlis Ramah Mesra Bersama Saudara Kita (Saudara Baru/Saudara Muslim) yang bermula pada jam 2.00 petang. Seramai 50 orang Saudara Kita telah hadir dan menerima pelawaan untuk bersama-sama dalam majlis ini.

Ustaz Suliman Sujak, Pengerusi MJBBU menyampaikan ucapan alu-aluan

Tujuan utama mengadakan majlis ini adalah untuk mengenali lebih dekat Saudara Kita yang mungkin langkah seterusnya untuk mencari inisiatif menggerakkan satu organisasi bagi membantu mereka.

Di masjid ini, beberapa kelab telah ditubuhkan seperti Kelab Sukarelawan, Kelab Warga Emas, Helwa, Rakan Muda, Pusat Dialisis dan Kesihatan serta krew Katering.

Saudara Kita kyusuk mendengar ucapan dan penerangan kegiatan Masjid Jamek BBU

Melalui majlis Ramah Mesra ini, Masjid BBU mengambil iktibar dari penubuhan beberapa kelab Saudara Kita yang telah wujud di Kota Tinggi, Taman Desa Cemerlang dan di Johor Bahru.

Tujuan penubuhannya adalah untuk menjaga kebajikan, meningkatkan kualiti dan kuantiti, mempersiapkan Saudara Kita dengan cabaran mendatang, meningkatkan ilmu di pelbagai bidang serta ukhuwah.

Mohd Shaiful Bahari Chu Abdullah menerima cenderamata

Majlis perkenalan dan percambahan pemikiran di antara peserta yang hadir dalam majlis ini telah banyak memberi manfaat terutama untuk perancangan dan memberi bantuan seperti program keluarga angkat, mengadakan kelas fardhu ain, kursus perbandingan agama, rakan pembimbing, pameran, edaran buku-buku dan sebagainya.

Cenderamata juga diberi kepada Puan Noraini Surah Soanga Abdullah

Mengakhiri majlis sebelum solat Asar, Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah menyampaikan cenderahati kepada Encik Mohd Shaiful Bahari Chu Abdullah dan Puan Noraini Surah Soanga Abdullah. Kedua-duanya adalah penerima Anugerah Khas Saudara Kita Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2008.

Haji Abdullah Idrus menyampaikan ucapan terima kasih

Majlis sambutan Maal Hijarah MJBBU dilanjutkan pada sebelah malamnya dengan beberapa kegiatan lainnya.

Selepas solat Maghrib, jemaah dijamu dengan hidangan beryani gam yang begitu sinonim dengan masakan Johor. Masakan krew katering MJBBU begitu dikenali dan sering mendapat tawaran dan tempahan dari masyarakat setempat dan juga dari beberapa taman perumahan berdekatan.

Penyampaian sumbangan RM80,000 dari Yayasan Sultan Iskandar

Kegigihan petugas dan pentadbir Pusat Kesihatan dan Dialisis untuk mendapatkan bantuan dari penderma telah membuahkan hasil. Pada malam tersebut, Yayasan Sultan Iskandar telah menderma sebanyak RM80,000 bagi pembelian mesin penyediaan air RO yang digunakan untuk proses dialisis.

Selain itu, Bank Islam (M) Berhad juga telah menderma RM40,000 yang akan digunakan untuk pembelian sebuah lagi mesin dialisis.

Pengurus Bank Islam Negeri Johor menyampaikan sumbangan RM40,000

Dalam ucapan terima kasih, Tuan Haji Abdullah Idrus, Timbalan Pengerusi Pusat Dialisis dan Kesihatan MJBBU telah menyatakan bahawa pusat rawatan ini sedang merawat 55 orang pesakit. Dengan sumbangan terbaru bagi pembelian mesin dialisis, dijangkakan rawatan bagi sift ketiga boleh dilakukan pada bila-bila masa mulai sekarang.

Penyampaian sumbangan dari Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan untuk kelas tahfiz

Di majlis ini juga, Tuan Haji Hussin Ismail, Setiausaha Yayasan Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah menyampaikan cek bernilai RM2,000 dari Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk kegunaan meningkatkan kelas tahfiz.

Sumbangan RM2,000 setiap bulan ini adalah hasil dari lawatan YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ke masjid ini yang berjanji untuk bantuan kelas tahfiz.

Haji Yahya Mokhtaram, Setiausaha MJBBU memerhati Ustaz Ann Wan Seng menandatangni buku-buku jualannya

Kemuncak majlis sambutan adalah ceramah agama oleh Ustaz Ann bin Abdullah atau Ann Wan Seng, Saudara Kita yang juga penceramah bebas dari Kuala Lumpur.

Beliau yang memeluk agama Islam pada tahun 1996 merupakan penerima anugerah Maal Hijrah tahun ini bagi Negeri Selangor. Mempunyai BA (Hons) dan MA dari Universiti Malaya adalah juga penggiat badan-badan sukarela (NGO) termasuk menjadi Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

Dalam perbualan dengannya, beliau sangat mengagumi keupayaan MJBBU sehingga diberi pengiktirafan sebagai Masjid Hadhari pertama.

Tetamu jemputan menikmati jamuan malam

Ceramah Ustaz Ann Wan Seng selama hampir dua jam sangat menarik perhatian hadirin dengan kepetahannya membawa pelbagai tajuk yang merangkumi kemantapan iman.

Sepanjang ceramahnya, beliau tidak menyentuh langsung isu politik negara dan kehebatannya memang terserlah kerana beliau juga merupakan kolumnis akhbar serta Majalah I, E-siswa, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, Dewan Agama dan Falsafah, Dewan Pelajar, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Minda, Sarina, Akademik, Harakah, Era Baru, Tempo, Pentas Dunia, Media Islam dan lebih seratus penerbitan lain.


Beliau juga adalah penulis lebih dari 30 buah buku dan diantaranya adalah best-seller Rahsia Bisnes Orang Cina. Di Indonesia, buku ini dikatakan ngetop dan mengekalkan kedudukan bagi tahun kedua berturut-turut sebagai buku paling laris pada tahun 2007 dan dikatakan menjadi contoh etika pengarang yang terpuji sebagaimana yang dilaporkan di dalam laman web Universiti Terbuka PTS (UNIKA PTS).

Mengaminkan bacaan doa Ustaz Suliman Sujak tanda berakhir dan kejayaan sambutan Maal Hijrah MJBBU 1430

Sebagai penghormatan kepada Ustaz Ann Wan Seng atas kesungguhannya hadir ke majlis Maal Hijrah MJBBU walaupun beliau mempunyai masa yang terhad, Jawatankuasa Tadbir telah membawanya ke Restoran Remaja bersebelahan masjid untuk jamuan makan malam.

.

Selasa, Disember 30, 2008

PELANCARAN LAMAN WEB PEMUDA UMNO JOHOR BAHRU

.



Setinggi tahniah diucapkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru yang berjaya mewujudkan lawan web sendiri http://umnojb.com.my/pemudajb.

Saya berkesempatan bersama-sama dalam majlis pelancaran yang telah diadakan pada hari Ahad, 28 Disember 2008 bertempat di Bangunan NPC, Johor Bahru. Pelancarannya telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Mohd Jais bin Sarday, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang, Johor.

Dengan wujudnya laman web rasmi Pemuda UMNO Johor Bahru ini, segala maklumat dan berita-berita semasa terutama yang berkaitan dengan masyarakat sekitar Johor Bahru boleh di access pada setiap masa dan di mana sahaja.

Kelahiran laman ini juga begitu releven sekali ketika kita menghadapi dunia globalisasi yang penuh mencabar ini. Di samping itu, kegilaan anak muda masa kini yang kritis melontarkan idea dalam siasah semasa sangat berharga untuk kita menilai dan memberi penjelasan.

Adalah diharapkan laman web rasmi ini terus dikekalkan dan ditingkatkan mutunya dari masa ke semasa dan semoga kita semua berjaya membentuk sebuah pemikiran dinamis dan menjana warga yang bersedia menghadapi Era Teknologi Maklumat.


Ketibaan YB Tuan Haji Md Jais Sarday diiringi oleh Sdr Khalid Mohamad dan disambut oleh Haji Misbah Zainuddin, Setiausaha UMNO Bahagian Johor Bahru

.

PROGRAM PENGAMALAN SAKINAH

.
Hari Ahad 28 Disember yang baru lalu, saya ke Surau An-Nur Taman Larkin Perdana, Johor Bahru untuk bersama menyertai program Pengamalan Sakinah anjuran Jawatankuasa surau berkenaan dan juga JPMM DUN Tanjung Puteri serta Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim.

Majlis dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan bacaan doa dan disusuli majlis Khatam Al-Quran anak-anak penduduk setempat. Ia sangat sesuai dengan amalan dan ajaran agama Islam yang menghendaki kita mendidik keluarga kita untuk mebaca Al-Quran sehingga khatam sebagaimana sabda Rasullah saw melalui riwayat Ibnu Hibban:

"Al-Quran adalah pemberi syafaat dan kitab yang benar, barangsiapa meletakkan A-Quran di hadapannya, ia akan memandunya ke syuarga dan barangsiapa meletakkan Al-Quran di belakangnya, ia akan memandunya ke neraka".

Majlis Khatam Al-Quran

Majlis diteruskan dengan ceramah Modul Sakinah (2 hingga 6) oleh Ustaz Haji Syed Nasir bin Syed Abd Rahman, Pegawai Penggerak YPKDT Daerah Johor Bahru.

Dalam melaksanakan program ini, terdapat peserta yang membuat aqiqah untuk bayi dan anak-anak yang belum diaqiqahkan. Amalan seperti ini amat baik kerana ia akan membiasakan diri kita untuk berkorban demi kepentingan bayi yang dilahirkan selain ia melindungi diri dari gangguan syaitan.

"Siapa yang nak dicukur tu YB?"

Pengorbanan melalui aqiqah tidak begitu sempurna tanpa menyempurnakan upacara mencukur rambut bayi. Dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir, ia akan terbuka semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran.

Bercukur rambut juga akan memberi hikmah kemasyarakatan kerana dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambut sebagaimana hadis nabi yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.s. yang berkata:

"Sesungguhnya Rasullullah saw. telah menyuruh supaya mencukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak".

Ustaz Rashid menunjuk cara yang betul mencukur rambut bayi

Turut sama dalam majlis ini adalah YB Tuan Haji Adam Sumiru, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tanjung Puteri. Beliau telah meluangkan masa untuk bersama menghayati majlis yang penuh makna dan sunah dituntut oleh agama kita.

Seterusnya Yang Berhormat telah menyampaikan ucapan perasmian.

Hadirin yang mengikuti majlis

Dalam ucapannya, beliau menggalakkan penduduk khususnya di kawasan Larkin Perdana supaya dapat meningkatkan perpaduan supaya segala permasalahan yang wujud di kawasan perumahan ini akan dapat diselesaikan dengan mudah.

YB Hj Adam Sumiru memberi ucapan perasmian

Selesai sahaja ucapan perasmian, majlis diteruskan dengan bacaan berzanzi (rawi) oleh mereka yang hadir. Antara yang memperdengarkan bacaan adalah Tuan Haji Mohd Ali Salleh, Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Begitu juga dengan keikhlasan bacaan dari Tuan Haji Misbah Zainuddin, Setiausaha UMNO Bahagian Johor Bahru.

Jangan diperkecilkan, lihat bakat Setpol membaca berzanzi

Ketika hadirin berdiri dan berselawat, bayi-bayi yang telah bercukur telah dibawa untuk dibelai kepala yang telah dibotakkan serta dengan kucupan dan doa dari mereka yang hadir.

"Yang ni lelaki ke perempuan? Dah tak kenal"

Dalam hal mencukur rambut, satu amalan yang telah menjadi adat orang Melayu adalah mencukur atau menggunting bahagian tertentu daripada kepala termasuk menggunakan buah kelapa dan berbagai campuran seperti garam, bunga, beras dan sebagainya yang mungkin diambil dari budaya Hindu.

Perkara ini sangat dilarang oleh agama Islam sebagaimana sabda Rasullallah saw yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Barangsiapa yang menyerupai (meniru apa sahaja perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam) dengan sesuatu kaum (yang bukan Islam) maka ia tergolong daripada mereka".

Khusyuk membaca penyerahan taklif

Mengakhiri majlis ini adalah upacara penyerahan taklif (tanggungjawab) yang dilakukan oleh ibubapa atau penjaga kepada anak yang telah baligh dengan disaksikan oleh ahli keluarga, saudara mara dan tetamu yang hadir.

Penyerahan taklif adalah merupakan satu perjanjian diantara anak dan kedua orang tuanya sebagaimana berikut:

"Kamu ....... (sebutkan nama anak) pada saat ini telah mencapai umur akil baligh dan keatasmu tetanggunglah kewajipan syarak iaitu menyempurnakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Bagi kamu ganjaran pahala di atas amal kebajikan dan ke atasmmu dosa di atas segala amal mungkar dan keji. Mulai saat ini, kamu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas diri kamu dan mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada kamu, Amin".

Setelah itu, pihak anak akan menerima penyerahan tersebut dengan lafaz seperti berikut:

"Dengan ini, saya ...... (sebutkan nama sendiri), bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada ayahanda dan bonda di atas khidmat bakti serta pengorbanan yang selama ini diberikan kepada saya. Oleh itu, mulai saat ini, saya menerima penyerahan taklif dan saya berjanji untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut dengan sebaik-baiknya. Insyaallah seterusnya saya mengharapkan doa restu daripada ayahandan dan bonda".

Saat bercucuran air mata, sungguh syahdu

Setelah selesai anak menerima penyerahan, doa akan dibacakan oleh ibu bapa, penjaga atau orang yang diamanahkan mengetuai majlis.

Tiada perkataan yang boleh diluahkan untuk menggambarkan perasaan sebaik selesai majlis taklif dan bacaan doa. Saat ini kita melihat anak-anak dan ibu bapa bercucuran air mata. Rasa sebak bercampur teruja melanda perasaan masing-masing diantara cabaran menghadapi masa remaja dan pengharapan menggunung kedua ibubapa atau penjaga masing-masing.

Saya sendiri teruja dengan majlis mengukuhkan institusi keluarga serta amalan dituntut oleh agama Islam yang telah berlangsung dengan penuh kejayaan.

.

Khamis, Disember 25, 2008

CARA DATO' SHAHRIR SAMAD MENANGANI MASALAH DENGAN PIHAK BERKUASA NEGERI JOHOR

.
Saya mengenali Dato' Shahrir Samad secara lebih rapat bermula pada tahun 2004 apabila berlakunya persempadanan kawasan baru. Dahulu, kawasan perumahan saya di Bandar Baru Uda terletak di Parlimen Pulai. Selepas itu, persempadanan baru telah memindahkan kami ke Parlimen Johor Bahru.

Perjumpaan dimulakan dengan bacaan doa

Alhamdullillah. Kalau dahulu selamanya saya mengenali, mempelajari dan menimba pengalaman pentadbiran politik di bawah pimpinan Tan Seri Dato' Mohamad Rahmat (Tok Mat), kini Dato' Shahrir Samad pula menunjukkan kepimpinan yang sangat jauh berbeza.

Yang jelas, Tok Mat tidak ambil peduli dengan masalah di dalam kawasan dan meninggalkan kepada pemimpin bawahan untuk menyelesaikannya. Contoh yang jelas adalah perpindahan penduduk ke kawasan penempatan baru seperti di Kg Skudai Kanan, Kg Serantau Baru, Kg Sinaran Kempas, Kg Dato' Jaffar, Kg Melayu Dewata, Kg Aman, Kg Sri Kenangan dan lain-lainnya.

Dato' Shahrir mengemukakan masalah yang perlu diselesaikan oleh Pihak Berkuasa Negeri

Begitu juga dengan permohonan tanah bergeran seperti di Kg Pasir (Brunai), Pengkalan Rinting dan sebagainya terpaksa diuruskan sendiri oleh Ketua-ketua masyarakat setempat. Penduduk kawasan ini bernasib baik kerana ADUN Kempas (Osman Sapian) mengambil inisiatif bijak membantu menyelesaikan masalah.

Begitu serius Dato' Ghani mengamati permasalahan yang dibawa

Berbeza dengan Dato' Shahrir yang mengambil berat kepada semua permasalahan yang berlaku di bawah kawalannya.

Sudah menjadi kelaziman, pada setiap hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad, beliau akan berada di kawasan iaitu di Johor Bahru untuk menemui rakyat dalam pelbagai kegiatan yang diaturkan. Pejabat Pusat Khidmat di Taman Suria merupakan tempat beliau mengadakan pertemuan dan menyelesaikan masalah.

Dan berhati-hati juga beliau membuat ulasan

Ketika berada di kawasan, Dato' Shahrir tidak dikelilingi oleh pendamping atau pengampu yang sangat berbeza dengan beberapa pemimpin yang saya kenal. Beliau lebih mengutamakan perjumpaan dengan kenalan atau sesiapa sahaja yang boleh menyelesaikan masalah.

Turut sama dalam perjumpaan ialah Haji Ali Salleh, Pen Setiausaha Pemuda (seluar putih) dan kini menjadi Setiausa Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

Fokus dalam kerja memang menjadi amalannya. Sebab itu apabila saya bertemu dengannya, perkara yang akan diperbual dan dibincangkan adalah mengenai pelbagai isu yang ada kaitannya dengan masyarakat setempat.

Saya memberi contoh bagaimana Dato' Shahrir menyelesaikan masalah yang ada hubungkait dengan kerajaan Negeri Johor.

Kami mendengar penjelasan Menteri Besar dengan serius

Pada setiap tahun, beliau akan menyenaraikan semua masalah yang tidak dapat diselesaikan untuk dibawa ke pengetahuan pimpinan negeri iaitu Menteri Besar Johor. Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian akan diadakan terlebih dahulu bagi mengenalpasti dan menghalusi permasalahan yang akan dibawa.

Masing-masing melihat memorendum dan perkara yang dibangkitkan

Setelah mendapat persetujuan dari pejabat Menteri Besar, biasanya YAB Dato' Haji Ghani Othman akan membuat pertemuan di Saujana iaitu kediaman rasmi Menteri Besar.

Dato' Shahrir selaku Ketua Bahagian, akan membawa semua Ahli Jawatankuasa Bahagian termasuk Pengerusi Tetap, Pemeriksa Kira-kira dan wakil-wakil dari Pergerakan Pemuda, Wanita serta Puteri.

Tidak ketinggalan Timbalan Pengerusi Tetap dan Pemeriksa Kira-Kira (berbaju hijau dan putih)

Dalam pertemuan ini, semua perkara yang telah disenaraikan akan dibentangkan di hadapan Menteri Besar dan kami yang hadir akan mendengar penghujahan dari Dato' Shahrir dan pimpinan lainnya.

Memang benar, tidak semua perkara yang diajukan akan mendapat penyelesaian segera kerana mungkin adanya pelbagai peraturan dan birokrasi. Yang penting ialah kita telah dapat menyampaikan dan pastinya Menteri Besar akan memberi arahan kepada pegawai-pegawainya untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Barisan Ahli-Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Johor Bahru

Inilah yang telah dilakukan dan pada setiap tahun pasti perjumpaan seperti ini akan diadakan bagi menilai dan melihat semula segala perkara yang telah diajukan sebelumnya samada telah diambil tindakan atau sebaliknya.

Saya telah melihat beberapa kejayaan dalam gaya kerja seperti ini. Untuk penduduk di Bandar Baru Uda tentunya tidak mengetahui bahawa kejayaan menukar status tanah dari pajakan 99 tahun ke hakmilik bebas adalah melalui proses ini.

Saya berani menyatakan ini kerana sebelum ini saya telah membawa ke pengetahuan Tok Mat bahkan beberapa kali ke mesyuarat perwakilan dan pertemuan dengannya. Malangnya, beliau langsung tidak mengambil hirau bahkan tidakpun menunjukkan minat untuk membantu.


Begitupun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dato' Osman Sapian yang pernah membantu dengan menyalurkan memorendum kepada Menteri Besar walaupun tidak berjaya.

Saya percaya, tanpa usaha yang dilakukan oleh Dato' Shahrir, tentunya permohonan menukar satatus hak milik tanah ini tidak akan berjaya.

.

Rabu, Disember 24, 2008

WAJARKAH PEMBINAAN JEMBATAN MELAKA-DUMAI

.
Jembatan Pulau Pinang kini menduduki tempat ke enam terpanjang di dunia

Cadangan membina jambatan merentasi Selat Melaka sepanjang 52 km yang akan menghubungkan bahagian pantai barat Semenanjung dan Sumatera (Melaka-Dumai) disuarakan semula oleh Datuk Seri Haji Mohd Ali Rustam.

Bakal Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Abd Razak menyatakan bahawa cadangan tersebut memerlukan kajian rapi dan menyeluruh.

Pandangannya memang mempunyai asas. Dengan kos pembinaan yang dianggarkan mencapai RM35.2 billion, kajian teliti perlu dilakukan terutama kesan ekonomi kepada negara.

Tidak dinafikan akan hubungan silaturrahim akan lebih mesra dan erat. Begitupun, kawalan lebih ketat dan menyeluruh perlu dilakukan kerana kemasukan lebih mudah rakyat jiran mungkin akan meningkatkan kadar jenayah. Indeks sekarang jelas menunjukkan jenayah yang dilakukan kadar yang yang lebih tinggi disebabkan mereka mudah untuk keluar dan masuk ke negara ini.

Bagi saya, sekiranya pembinaan memang harus dilakukan, ia bukanlah kerana untuk menjadi juara atau gah kerana mempunyai jembatan terpanjang di dunia. Sudah cukuplah dengan Jembatan Pulau Pinang yang ketika ini ditempatkan di tangga ke enam, kedua di Asia dan pertama di Asia Tenggara.

Walaupun saya bersetuju atas faktor pengukuhan silaturrahim dan kesan positif ekonomi, namun faktor keselamatan pengguna jembatan tersebut patutnya diambil perhatian utama.

Pulau Sumatera sering dilanda gempa bumi. Ia disebabkan Banjaran Barisan di pulau tersebut terletak di Lingkaran Api Pasifik yang sangat aktif disebabkan pertembungan plat-plat yang retak dan tidak setabil.

Penghuni bangunan di tepi pantai barat Semenanjung terutama di bangunan tinggi sering dilanda cemas apabila berlaku gegaran akibat gempa di Sumatera. Wilayah Jambi dan Bengkulu bukanlah begitu jauh dengan pantai Melaka dan Johor dan kawasan ini sering berlaku gempa. Pada tahun ini pernah berlaku di kawasan tersebut pada kadar 8.2 skala Richter. Akibatnya, kesan gegaran dirasai di Menara TM Lembah Pantai, Menara TH Selborn Jln Tun Razak, Hotel Nikko Jln Ampang dan beberapa tempat lain di Lembah Klang.

Jangan kita lupa dengan kawasan tanah tinggi di Janda Baik juga sering menerima gegaran bumi dan tentunya dari kesan yang sama.

Risiko keselamatan pengguna mestilah diambil perhatian serius kerana pihak pemerintah Indonesia pastinya akan mengambilkira faktor ini. Saya percaya para jurutera akan membuat kajian terperinci kesan goncangan gempa yang mungkin sampai kepada 9 skala Richter.

Kalau ini berjaya diatasi, bagaimana pula dengan gelombang ombak Tsunami seperti yang berlaku pada 26 Disember 2004?. Sekali lagi kehebatan Jurutera membuat penentuan bagaimana mengatasi masalah ini.

Walau apapun keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan Malaysia, yang pasti pembinaan yang sedang berjalan jembatan sepanjang 40 km yang menghubungi Qatar-Bahrain akan siap pada tahun 2013. Jembatan ini akan mengungguli jembatan Lake Pontchartrain Causeway, New Orleans yang memiliki kepanjangan 38.4 km.

Jembatan Lake Pontchartrain Causeway, New Orleans

Kalau masih ada pembinaan melebihi 52 km (Melaka-Dumai), jangan kita risaukan. Demi untuk menjadi juara pembinaan jembatan terpanjang dan direkodkan di The Guinness Book of Records, maka ushakanlah untuk membina jembatan antara Kota Bharu dan Kuching, Sarawak! bahkan lebih dari itu iaitu jembatan yang boleh menghubung Mersing, Johor ke Jakarta, Indonesia.

Hebat kan? Pasti ramai memberi sokongan pada cadangan terakhir (Mersing-Jakarta). Sebabnya .......

.

Isnin, Disember 22, 2008

YASSIN TAHLIL PBKF JOHOR SELATAN

.



Suku tahun ke empat tahun ini, pada 20 Disember 2008 PBKF Johor Selatan telah mengadakan perjumpaan untuk ahli-ahli di kawasan Kluang. Tempat perjumpaan di rumah Haji Ismail Salleh @ Atan di Taman Sri Lambak (T6) bermula pada jam 3.00 petang.

Dianggarkan seramai 50 orang telah hadir dan majlis dimulakan dengan bacaan yassin dan tahlil. Di majlis tersebut, Ustaz Haji Khir Salam telah memberikan tazkirah.

Saya mengambil kesempatan dengan memperjelaskan perkembangan dan kegiatan yang dilakukan oleh persatuan terutama pengambilanaleh syarikat BKF Berhad. Pemegang saham syarikat yang membuat kerja-kerja kontrak ladang Felda telah bersetuju untuk menjual saham pegangan mereka kepada persatuan.

Saya menjelaskan juga mengenai draf pindaan perlembagaan PBKF dan dijangka mesyuarat agung akan diadakan pada tahun 2009.

Di majlis ini juga saya telah menyerahkan bantuan sebanyak RM150 kepada lapan orang ahli yang diperkirakan layak untuk diberi bantuan.

PERKAHWINAN HAFIZ DAN INNA

.
Junjungan besar Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mengenai kebesaran hari Jumaat "Sesungguhnya Jumaat itu kepala sekelian hari dan hari yang terbesar di sisi Allah". Maka ramailah mempelai menyambut kebesaran hari Jumaat dengan mengadakan majlis akad nikah semoga mendapat keberkahan dari Allah SWT.

Begitulah kepada anak saudaraku, Nurhafiz (Hafiz) Redzuan yang telah bernikah pada hari berkah 19 Disember 2008 dengan kecintaannya Nurul Inna (Inna) Hj Adian. Tarikh ini bertepatan dengan upacara yang sama kepada penyanyi "Raja SMS" Asmawi Ani (Mawi) dan pasangannya Norashikin Rahmat (Ekin) . Mawi & Ekin melangsungkan upacara di Masjid Sultan Abu Bakar sementara Hafiz & Inna di Taman Pelangi. Kedua-duanya di Johor Bahru. Majlis persandingan di rumah Inna pada hari esoknya, Sabtu dan di rumah Hafiz hari Ahad di Jalan Panglima 7, Bandar Tenggara.

Hafiz membawa wang hantaran RM7,777 dan tujuh dulang barangan "serba satu"

Jurucakap pengantin perempuan membaca perjanjian pertunangan

Diantara yang hadir menyaksikan upacara akad nikah

Bergetar suara Hafiz melafazkan "aku terima nikah ....."

Jurunikah, Imam Masjid Taman Pelangi "Macamana Ji? Sah ke?". Berdebar Hafiz menunggu jawapan saksi nikah.

Senyuman gembira Inna dan hadirin mengaminkan doa sebaik Hafiz melafaz akad nikah

"Sekiranya saya meninggalkan isteri saya ..... "

Upacara materi perjanjian, tandatangan borang la tu..

Ada bau ..... Inna cium tangan Hafiz

Wanginya ..... Ha.. dah dapat pun

Masa beli cincin boleh masuk, ngape hari ni susah?

Betul ke ni janji kau Hafiz, jangan baca aje...

Mulai hari ini, ibu serahkan Inna kepada Hafiz ......

Terpaksa buka cermin mata

Dah mula berlenang air mata la tu ..

Sebak ..

Sabar lah mak .... Inna akan tetap mengingati segala jasa dan susah payah mak ...

Kasih abang kepada adiknya

Pikah dan Kak Cik di Bandar Tenggara

Apakan daya, beginilah Kak Yah menyambut tetamu

Letih benar si Ngah ni seharian membantu segala kerja (rewang) di rumah mak sedaranya. Masih single tau ....

Bungkusan ni nak bagi sape?

Salam dulu Bang Long, ada envelope tu ....

Sebagai balasan, ada berkat (bungkusan) tau ..

Ha .. dah sampai pun

Haus na ke?

Silat pengantin, bagi ucapan "Assalamualaikum" tak?

Yang ni silat pengantin atau tarian jalanan I-Dance?

Sukanya dua beradik ni di majlis pengantin sepupu

Ha ni dia pewaris generasi budaya

Lama sangatlah kau orang ambik gambar aku

Tetamu dihiburkan oleh artis-artis tempatan
.