Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Disember 07, 2008

SUNAT BERPUASA PADA HARI ARAFAH - SEMBILAN DZULHIJJAH


Nasi Lemak

Nasi Lemak yang disediakan untuk sarapan pagi tidak dijamah oleh jemaah kuliah subuh Masjid BBU kerana puasa sunat hari Arafah

Seperti biasa, subuh Ahad hari ini Masjid BBU menyajikan kuliah subuh. Penceramahnya adalah Kiyai Haji Suhaili dari Batu Pahat yang akan datang pada setiap Ahad minggu pertama setiap bulan.

Kebiasaannya, subuh Ahad memang agak ramai jemaah yang datang untuk solat subuh dan seterusnya mendengar kuliah dari ustaz-ustaz yang terkemuka di sekitar Johor serta diminati. Mereka yang datang bukan saja dari jemaah BBU malahan dari taman-taman persekitaran. Sebahagian diantaranya bergegas ke masjid BBU selepas menunaikan solat subuh di surau atau masjid masing-masing. Kehadiran mungkin menjejak ke 500 orang.

Ahad hari ini mungkin berlainan dengan minggu-minggu lainnya kerana ia jatuh pada hari kesembilan Dzulhijjah. Pastinya kuliah Pak Kiyai mengenai kelebihan hari Arafah dan ibadah korban.

Sebelum menutup kuliah, Pak Kiyai menyatakan tentang kelebihan puasa sunat hari kesembilan Dzulhijjah dan mengharap ramai yang berpuasa pada hari ini.

Kuliahnya menjadi satu iktibar dan ingatan yang tidak akan dilupakan kepada kami yang bertungkus lumus di dapur menyediakan sajian sarapan pagi untuk para jemaah. Kami tidak menyangka persiapan dan sajian nasi lemak bersama teh susu serta kopi 'o' tidak dijamah oleh jemaah yang datang mendengar kuliah Pak Kiyai. Hanya ada beberapa orang sahaja menjamahnya. Mungkin mereka rasa bersalah kerana membiarkan 250 pinggan nasi lemak berserta dengan minuman terbiar begitu saja.

Terima kasih juga kepada mereka yang sanggup membungkus semua sajian dan membawanya balik ke rumah.

Insyaallah, untuk masa mendatang kami akan lebih peka dengan apa yang telah berlaku. Mungkin kami terlupa bahawa puasa hari Arafah adalah puasa sunat pada hari kesembilan Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:

Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith: "Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya". (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Tiada ulasan: