Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Januari 30, 2009

BAHASA MELAYU LOGHAT JAWA DAN PANCING IKAN AIR TAWAR

.
Membaca posting Datuk A Kadir Jasin dalam blognya http://kadirjasin.blogspot.com/ bertajuk Lompak Katak, Ikan Karing dan Cerut Seratus Ringgit sangat menarik perhatian saya. Lantas teringat kenangan silam semsa saya masih di alam kanak-kanak.

Sebagai anak kampung di Kampung Puteri Menangis, Benut, Johor, tentulah suasananya berlaku mengikut persekitaran penduduk yang hampir keseluruhannya berketurunan Jawa.

Di rumah, di serata kampung bahkan di sekolah, kami menggunakan bahasa Jawa melainkan semasa bercakap dengan guru.

Di kampung hanya ada sebuah sekolah rendah kebangsaan dan di waktu petangnya digunakan untuk sekolah agama.

Guru kedua-dua sekolah ini didatangkan dari luar kampung yang bukan dari suku Jawa. Sebab itu murid hanya bercakap sesama sendiri dengan bahasa Jawa dan tidak dengan guru. Boleh dibayangkan bagaimana kami bercakap Melayu dengan loghat Jawa. Kalaulah ketika itu ada yang merakamkan percakapan dan sekarang diputar dan diperdengarkan semula, tentulah tertawa besar mendengarkannya.

Saya pernah ditertawakan rakan-rakan sekelas di Tingkatan Satu kerana tersalah menyebut perkataan ikan sardin. Saya menyebutnya ikan saldin dengan loghat Jawa yang pekat.

Ketika itu, saya ditempatkan di Sekolah Menengah Dato' Penggawa Barat, Pontian. Itulah satu-satunya sekolah menengah kebangsaan bagi daerah Pontian. Ketika itulah saya mula mengenal dunia luar yang selamanya duduk terperuk di kampung.

Di situlah bermulanya saya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa percakapan. Ketika bercakap, saya akan berhati-hati kerana tidak mahu ditertawakan sekali lagi.

Walaupun bahasa Melayu saya begitu pekat dengan loghat Jawa, satu perkara yang menjadi kebangaan saya ketika ini ialah kelancaran saya membaca Al-Quran sehingga pernah menjadi Johan di peringkat sekolah bahkan menjadi wakil sekolah agama ke musabaqah peringkat daerah.

Ketika berumur 9 tahun, saya telah khatam al-quran. Maklum saja, guru quran adalah ayah sendiri dan di rumah kamilah anak-anak kampungku belajar membaca quran dengan ayah yang ku panggil bapak.

Sebelum maghrib, semua anak-anak yang nak belajar quran (mengaji quran) tidak kira lelaki maupun perempuan akan berkumpul di rumahku. Ada diantaranya yang membersih dan mengemas termasuk juga memasang lampu pam minyak tanah. Murid-murid quran ini semuanya patuh dan tidak pernah membantah serta tahu kerja yang dilakukan.

Selepas solat maghrib berjemaah, barulah ayah (bapak) mengajar murid-murid di kiri dan kanannya. Di tangannya menggenggam sebatang rotan tetapi seingatanku bapak tidak pernah menggunakannya untuk menyebat. Yang dilakukan ialah rotan dipukulkan ke lantai sebagai satu amaran kepada murid-muridnya.

Sebagai guru quran, bapak tidak pernah mendapat sebarang bayaran. Apa yang dia maukan ialah murid-murid yang khatam mukaddam atau quran membawa bubur putih merah dan gula-gula untuk dibacakan doa dan selepasnya dijamu kepada semua murid-murid yang ada.

Mereka yang belajar quran inilah rakan-rakan sekampung yang mewarnai kehidupan sebelum baligh. Dengan merekalah saya bermain air di perigi dan parit sehingga kami pandai berenang.

Di perigi dan parit inilah kami memancing ikan betuk, keli, haruan, pelaga dan lain-lain. Parit dan perigi adalah tempat orang-orang kampung mandi manda dan mencuci pakaian. Udang juga senang didapati di parit-parit dengan menggunakan pungkis.

Ikan Betuk

Mengail ikan tidaklah menggunakan joran seperti yang ada sekarang. Dahulu, kami menggunakan batang buluh dan umpannya adalah cacing yang banyak di pangkal pokok pisang.

Sebanyak manapun ikan yang kami dapat, emak tidak akan memasaknya kerana ketika itu keluarga kami tidak mengemarinya memandangkan ikan yang dijual di pasar lebih murah dan mudah didapati.

Ikan Laga atau Pelaga

Bapak pernah menimba perigi dan mendapat ikan yang banyak termasuk ikan belut. Bukan mudah untuk menangkap belut, terpaksa menyepitnya dengan menggunakan jari telunjuk, hantu dan manis. Bapak seorang yang memasak dan memakannya.

Ikan Belut

Sehingga sekarang, saya dan adik beradik yang lain masih tidak makan ikan air tawar melainkan ikan sepat kering.

Tiada ulasan: