Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Januari 31, 2009

NOSTALGIA MAIN GASING

.
Posting hari ini masih lagi mengimbau kenangan zaman kanak-kanak yang keinginannya hanyalah makan, minum dan bermain-main sahaja. Begitulah, setiap orang mempunyai pelbagai ingatan dan kenangan lampau pada zamannya.

Saya masih teringat bagaimana sukanya bermain gasing. Saya menyebutnya sebagai 'gangsing' kerana perkataan itulah yang digunakan oleh orang-orang sekampung saya yang berketurunan Jawa. Tidak ada seorang pun yang menyebut 'gasing' melainkan 'gangsing'.

Ada beberapa jenis gasing yang dimainkan. Ada gasing kecil yang diperbuat dari 'buku benang'. Biasanya 'buku benang' yang benangnya telah habis digunakan. Satu buku benang akan jadi dua gasing iaitu dengan memotong di tepi dan memasukkan pensil untuk menjadi paksinya.

Tidak menjadi masalah untuk saya membuat gasing jenis ini kerana emak dan nyai (ibu kepada emak saya) kerjanya menjahit dan berjualan pakaian terutama pakaian kanak-kanak perempuan.

Pernah juga saya membuat gasing dari buah pinang muda dengan cara mengupas sabut dan kulitnya, kemudian dicucukkan kayu bulat melalui pulurnya untuk menjadi paksi dan pemegang gasing. Di bahagian paksi bawah akan ditajamkan seperti pensil yang digunakan untuk gasing buku benang.

Kedua jenis gasing ini akan saya mainkan di dalam rumah terutama di atas lantai papan. Rumah keluarga saya adalah rumah papan dan lantainya yang licin amat sesuai untuk permainan ini.

Sekarang, gasing jenis ini sudah tidak kelihatan lagi dan telah diganti jenis pelastik yang terjual di kedai-kedai. Tentulah tak glamour nak bermain gasing buku benang atau gasing buah pinang.

Gasing pelastik memutarnya dengan jari,
pengganti gasing buku benang dan gasing buah pinang

Apabila umur meningkat dan sudahpun menjejak sekolah rendah di darjah satu. Rakan-rakan sudah ada yang membawa gasing jantung yang diperbuat dari kayu dan menggunakan tali ke sekolah. Gasing dimasukkan dalam beg kerana bentuknya yang kecil.

Saya juga teringin nak bermain gasing jenis ini. Hendak membuat sendiri tentulah tidak mampu. Sebagai anak kecil, kemampuan yang ada hanyalah meminta kepada ayah.

Disinilah ingatan yang sentiasa terpahat apabila ayah yang saya memanggilnya bapak dengan bersusah payah membuat gasing. Saya tau bapak tidak mahir membuat kerja-kerja seperti ini kerana latar belakang hidupnya. Semasa kecilnya, bapak diasuh oleh keluarganya di tanah Jawa sebagai 'santri' atau pelajar di pesantren iaitu pondok madrasah.

Kerana kecintaan dan sayangnya kepada anak-anak, bapak membuat juga gasing. Tentulah saya gembira mendapat gasing buatan ayah sendiri. Malangnya, gasing saya tidak dapat bertahan lama dalam pusingan uri. Memanglah saya sentiasa kalah dalam permainan ini kerana gasing rakan lain yang lebih hebat pembuatannya.

Apabila bertambah tahun, rakan-rakan lain terus bermain gasing jenis piring atau leper. Saya hanya mampu menjadi penyokong dan pemerhati sahaja. Ada juga sekali sekala meminjam gasing kekawan untuk melepaskan gian.

Saya tak menikmati permainan gasing jenis ini

Keluarga saya terutama bapak memang tidak menjadikan permainan ini sebagai permainan yang penting. Maklum saja, saya memang tidak pernah nampak bapak bermain gasing bahkan sepanjang ingatanku, bapak memang tidak berminat atau aktif dalam sebarang permainan. Peluhnya hanya keluar dengan mengerjakan kebun sahaja.

Tiada ulasan: