Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Januari 31, 2009

PENGALAMAN KERJA MENOREH GETAH

.
Pusingan kerja menoreh getah sehingga menghasilkan kepingan getah untuk dijual

Menoreh getah adalah diantara pengalamanku yang tidak dapat dilupakan. Saya pernah menoreh getah pada akhir tahun 50an hingga 60an. Umur 10 tahun, saya sudah pandai menoreh kerana terpaksa membantu keluarga menambah pendapatan.

Kerja menoreh atau sadap bukannya mudah. Pisau toreh samada jenis 'sodok' atau 'tarik' perlu diasah terlebih dulu, biasanya sehari sebelum kerja menoreh. Mengasah pun mengambil masa 10 hingga 20 minit bagi memastikan pisau betul-betul tajam bagi memudahkan penorehan dan penghasilan yang baik. Pisau tumpul boleh menyebabkan kulit pokok getah akan rosak dan susu getah yang dihasilkan juga akan berkurangan.

Cara menggunakan pisau sodok adalah dengan menoreh kulit pokok menghala ke hadapan. Pisau tarik pula digunakan dengan cara menarik pisau ke belakang. Gaya pisau sodok ialah penoreh akan maju ke hadapan mengelilingi pokok sementara gaya pisau tarik, penoreh akan mundur ke belakang.

Pokok getah yang sudah boleh ditoreh

Untuk mendapatkan susu getah yang banyak, pokok akan ditoreh pada awal pagi sebelum subuh dengan cara menggunakan lampu suluh minyak tanah yang diletakkan di kepala. Kepala boleh rasa pening kepada sesiapa yang tak tahan dengan bau minyak tanah.

Selain mendapat susu getah lebih banyak, waktu awal pagi juga boleh melambatkan kepekatan getah serta dapat menoreh lebih pokok getah.

Susu getah terkumpul di cawan

Begitupun keluarga saya tidak keluar menoreh pada waktu ini kerana terpaksa mengutamakan solat suboh. Biasanya kami akan keluar setelah selesai solat walaupun masih terpaksa menggunakan lampu suluh.

Sewaktu menoreh, getah sekerap iaitu susu getah yang telah membeku atau mengeras di aliran turisan akan dikumpulkan dan dibawa balik.

Sekitar jam 10 pagi, kerja menoreh akan selesai dan kami akan pulang ke rumah untuk sarapan pagi. Berikutnya ialah kerja mengutip susu getah yang akan dituang ke dalam baldi dari cawan getah.

'Mengangkit' getah

Kerja mengutip susu yang kami menyebutnya sebagai 'mengangkit' dibuat seberapa cepat yang boleh kerana getah akan membeku dalam cuaca semakin panas.

Susu-susu getah yang dinamakan 'latexs' akan dibawa ke bangsal untuk kerja-kerja membeku iaitu dengan cara menuangkan ke dalam takungan dan mencampurkan dengan cecair ethepon. Setelah 10-15 minit, getah yang membeku akan dituang dan dipijak-pijak supaya menjadi leper dan mudah untuk dimesin.

Mesin getah licin

Dua orang diperlukan untuk memesin getah, seorang untuk memegang dan memasukkan ke mesin licin dan seorang yang lain akan memutar. Kerja ini akan dilakukan 2 atau 3 kali supaya menjadi nipis dan akhir sekali menggunakan mesin bunga.

Mesin getah bunga

Getah keping yang telah siap dimesin akan disusun bertindih sehingga hari esok sebelum dijemur sehingga benar-benar kering. Biasanya getah kering akan disidai di ruang dapur supaya ianya terus kering dan juga atas faktor keselamatan.

Mereka yang pernah bekerja sebagai penoreh getah pastinya tau dengan bau yang terhasil darinya. Baunya yang busuk dan hancing memang telah sebati dan untuk menghilangkannya pasti mandi sebersih yang mungkin kerana selepasnya akan bersolat zohor.

Kenang-kenangan ini tidak mudah untuk dilupakan kerana tanda-tanda di badan saya membuktikan segala-galanya.

Kekadang terasa juga denyutannya

Hujung jari hantu tangan kanan saya luka kerana terkena pisau toreh. Ketika itu saya berlari anak balik ke rumah untuk bersarapan setelah selesai menoreh. Saya terjatuh kerana terlanggar akar kayu. Pisau toreh jenis 'tarik' yang saya bawa menggelongsor dari genggaman dan saya tidak sempat melepaskannya.

Chain saw

Pokok getah juga pernah menyebabkan perut saya terluka. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1967 ketika saya membantu kerja-kerja menebang pokok getah di Parit Semerah, Pontian.

Walaupun kecil, ia tetap menjadi satu tanda dan ingatan

Kejadian berlaku apabila saya diminta menyokong anak pokok getah yang ditebang. Seorang pekerja yang memegang mesin rantai penebang 'chain saw' terlalu hampir dengan badan saya sehingga libasan rantai mengenai kulit perut di sebelah kiri.

Ustaz Hj Abu Bakar Selamat, rakan sepermainan

Mesin getah juga memberi kenangan kerana saya sering ke rumah rakan yang juga jiran saya, Abu Bakar Selamat. Jejari saya pernah tersepit mesin getah di rumahnya. Saya tidak pasti samada Ustaz Hj Abu Bakar Selamat mengingati peristiwa ini.


1 ulasan:

suratman berkata...

Hijau, Tenang Damai- Islam for All Takbir