Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Februari 06, 2009

LAWATAN KERJA MASJID BBU KE UTARA

.






Sebentar tadi saya menghadiri taklimat lawatan kerja Masjid Jamek Bandar Baru Uda ke utara. Taklimat disampaikan oleh Bendahari Masjid BBU, Haji Hussin Ismail dan Ketua Rombongan, Haji Othman A Rahim.

Rombongan seramai 47 orang adalah terdiri dari Ahli Jawatankuasa Tadbir Masjid dan penggerak-penggerak Yayasan Masjid, Pusat Kesihatan dan Dialisis, Pusat Seni Khat dan Jawi, Kelab Warga Emas, Kelab Sukarelawan, PBSM Masjid, Biro Kebajikan, Biro Helwa, Biro Pendidikan, Biro Kewangan, Biro Pembangunan, Biro Penerbitan, Biro Rakan Muda dan Biro Takmir dan Dakwah.

Sebuah bas 40 penumpang dan van Masjid BBU akan digunakan untuk tujuan ini. Dijangka rombongan akan berlepas pada hari esok (Sabtu) dari perkarangan masjid pada jam 9.00 pagi dan akan sampai di Hotel Sri Malaysia, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada jam 7.00 malam.

Tujuan rombongan adalah untuk membuat lawatan ke Pusat Urus Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Di sini kami akan cuba melihat pengurusan PUZ, Pusat Dialisis, PUZmart Kedai Serbanika dan Bengkel Jahitan.

Di sebelah petang, kami akan membuat lawatan ke Masjid Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah. Kami pernah membuat lawatan ke masjid ini ketika Masjid BBU masih dalam pembinaan kerana ia adalah salah satu masjid yang kami jadikan model perlaksanaan. Lawatan ini untuk melihat pembangunan dan kegiatan yang boleh dijadikan contoh.

Pada malamnya kami menjangka untuk bermelam di Hotel Sri Malaysia, Alor Star. Lawatan seterusnya adalah ke Pusat Islam Yayasan Al-Bukhary dan seterusnya dalam perjalanan balik akan singgah ke Putrajaya.

Dijangka kami akan sampai ke Johor Bahru pada jam 11.30 malam.

Kami berdoa dan berharap lawatan ini akan mendapat keberkatan dan mencapai tujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kami di Masjid Jamek Bandar Baru Uda. Insyaallah.

Di bawah ini adalah maklumat mengenai Masjid AlBarakah, Tikam Batu yang dicuplik dari laman web http://www.masjidalbarakah.mymamall.com/masjid_al_barakah.htm

Sejarah Masjid

Masjid ini dipercayai telah didirikan pada tahun 1902 oleh penduduk terawal di sini. Bagaimanapun tanah tapak masjid ini hanya dianugerahkan oleh kerajaan Kedah kepada penghulu masjid Tikam Batu pada tahun 1912. Manakala tanah perkuburan pula telah diwakafkan oleh Icheek Bin Hussain sebanyak tiga lot tanah.

Pembinaan masjid ini dibuat secara gotong-royong. Empat tiang kayu besar ditebang dibukit dan dibawa menerusi sungai dan ditarik oleh empat ekor kerbau ketapak yang ada sekarang. Kerja- kerja mendirikan empat tiang besar serta alangnya sahaja, mangambil masa selama empat hari.

Tanah yang digunakan untuk meninggikan tapak masjid yang ada sekarang dijunjung oleh setiap penduduk dari bukit berdekatan yang telah lenyap hari ini. Galakan yang diberikan ialah bahawa setiap cam tanah yang dijunjung akan menjadi wakaf yang berkekalan menyebabkan setiap penduduk kampung waktu itu mengambil bahagian.

Batu bata yang digunakan dalam membina tiang dan dinding masjid ini dikuatkan dengan tanah liat bukannya simen dan kekal hingga sekarang. Pada asalnya masjid ini beratap rumbia dan nipah tatapi perkembangan masa menyebabkan bumbung itu di tukar.Terdapat juga menara kayu, tempat masak dan gendang serta halaman masjid tetapi projek pembesaran dan gendang serta halaman mesjid tetapi projek pembesaran masjid ini di masa lampau telah terpaksa mengorbankan semua ini.

Pada masa perang dunia ke-2 masjid ini telah menjadi tempat perlindungan utama penduduk bila peperangan tercetus.




Tiada ulasan: