Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Februari 15, 2009

NAK TAU KESIHATAN SAYA?

.
....... bertambah gemuk

Semasa mengikuti Program Komuniti Penduduk Zon Kebun Teh anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru bertempat di Balai Raya Taman Suria pada pagi Sabtu 14.02.2009, saya berkesempatan membuat pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh kakitangan Klinik Kesihatan Majidee, Johor Bahru.

Inilah keputusannya:-

Tekanan Darah: 150/100 mmHg
Berat: 97 kg
Tinggi: 1.69m
Indeks Jisim Badan (IJB): 34
Paras Gula Dalam Darah: 4.9 m mol/L


Tekanan Darah:

Tekanan darah saya menunjukkan tekanan sistolik 150 mmHg dan tekanan diastolik adalah 100 mmHg.

Dari pemeriksaan ini menunjukkan tekanan darah saya tidak normal kerana melebihi 139 mmHg (tekanan darah normal diantara 120 - 139) sementara tekanan diastolik 100, melebihi 89 mmHg (tekanan diastolik normal diantara 80 - 89).

Saya tidak terkejut kerana semasa pemeriksaan kepala saya merasa pening dan telahpun menjangkanya kerana tidak makan ubat darah tinggi sejak dua hari lalu.

Saya sedar mempunyai penyakit darah tinggi dan dengan mengawalnya boleh mencegah kematian disebabkan serangan jantung, strok (angin ahmar), kerosakan buah pinggang dan kebutaan.

Berat, Tinggi dan Indeks Jisim Badan (IJB):

Ketinggian saya adalah 1.69 meter dan berat badan 97 kg. Untuk pengiraan Indeks Jisim Badan (IJB) ialah 97/(1.69 x 1.69) iaitu 34.03.

Berdasar kepada IJB 34.03, ini menunjukkan saya dikategorikan sebagai gemuk kerana melebihi 27.5. IJB 23.0 atau lebih adalah dikatogorikan sebagai pra-obes atau pra-gemuk. Berat badan unggul adalah antara 18.5 hingga 23.

Paras Gula Dalam Darah:

Pemeriksaan menunjukkan paras gula dalam darah adalah 4.9 m mol/L dan semasa pemeriksaan saya telah sarapan pagi 3 jam sebelumnya dengan segelas teh tarik dan 4 keping kuih manis.

Paras gula ini sangat baik kerana sekiranya kita berpuasa hendaklah kurang 6.0 m mol/L atau 2 jam selepas makan hendaklah kurang dari 11.0 m mol/L.

Sebenarnya, gula dalam darah bukanlah sesuatu yang memudaratkan kesihatan kita apabila berada pada paras yang normal kerana kehadiran gula dalam darah adalah 'makanan' utama sel badan kita untuk membekalkan tenaga yang diperlukan. Sedikit peningkatan dan penurunan paras gula adalah normal bagi seseorang yang sihat sepanjang hari.

Bagaimana Mengekalkan Gaya Hidup Sihat:

- Makan Secara Sihat: Kurangkan garam dalam makanan. Sajian yang disyurkan adalah 1/2 pinggan nasi putih, 1/2 cawan sayur tua bersama batangnya yang dimasak, 1/2 biji jambu atau satu hirisan betik/nenas, satu gelas susu dan seketul peha ayam sederhana atau dua ketul daging tanpa lemak berukuran kotak mancis.

- Sentiasa Aktif: Mulakan senaman secara tetap sekurang-kurangnya 30 minit sehari atau 10 minit setiap kali untuk 3 kali sehari dengan aktiviti yang sesuai. Berjalan kaki selama satu jam atau berjalan laju selama 30 minit juga sangat digalakkan.

- Belajar Menangani Tekanan/Stres: Masalah stres akibat emosi boleh ditangani dengan cara bertenang, kenal pasti kenapa marah, dengar penjelasan orang lain, beredar sekiranya tidak dapat mengawal kemarahan, berbincang dengan orang lain, membiasakan diri memaafkan dan menerima kenyataan serta ajaran agama Islam menghendaki kita mengambil wuduk, solat dan membaca al-quran.

Soalnya sekarang ialah bolehkah saya mengurangkan kegemukan dengan mengambil makanan diet, bersenam setiap hari dan menangani stres?.