Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Mei 23, 2009

11 Hari Mogok Lapar-Suatu Catatan Bersejarah

.
Berita yang saya ambil dari Tranung Kite mengenai mogok lapar:-

11 Hari Mogok Lapar-Suatu Catatan Bersejarah

“Saya tak ambil makanan sama seperti Syed Qutb tidak mahu mengaku fitnah yang mengatakan beliau merancang untuk membunuh Jamal Abd Naser. Oleh itu mogok yang kami lancarkan itu adalah suatu jihad!!”. Itulah kata-kata yang telah membulatkan tekad saya untuk terus menyertai kempen mogok lapar ini. Ucapan penuh bersemangat yang ayah saya sampaikan itu membuktikan keazaman beliau yang tidak mengiktiraf walau satu haripun penahanan tanpa bicara beliau yang sudah melebihi satu tahun itu.

Atas dasar ingin melakukan sumbangan terhadap perjuangan menentang ISA ini, saya menawarkan diri untuk menyertai kempen mogok lapar ini. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, emak saya menyokong hasrat saya ini kerana katanya mereka memerlukan seorang pemogok dari kalangan keluarga tahanan. Ditambah pula lagi setelah melihat dengan mata kepala saya sendiri keadaan ayah saya yang digari dan ditutup matanya ketika turun dari van polis di IPD Sentul pada Isnin, 8 April 2002. Ketika itu ayah saya dalam transit antara pihak polis dengan pihak penjara untuk dibawa pulang ke Kamunting, sehari selepas kembali ke rumah menikahkan kakak saya. Hati anak manalah yang tidak marah apabila melihat ayahnya diperlakukan sedemikian rupa. Tekad saya semakin teguh di sini apabila ayah terus memesan agar jangan takut dengan ancaman tindakan universiti mahupun ancaman tangkapan polis. Kerana yang penting lawan tetap lawan!!!

10 April 2002, maka genaplah 365 hari penahanan ayah dan teman-teman di bawah akta zalim ISA. Kempen Mogok Lapar dilancarkan di SUHAKAM pada pagi itu. Pendaftaran pemogok dilakukan kira-kira jam 2 petang di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar. Namun saya sudah memulakan mogok ini lebih awal lagi. Kali terakhir saya mengambil makanan adalah pada tengah malam 9 April, iaitu setelah penat bermain bola sepak bersama teman-teman. Maka sedikit sahajalah yang larat saya ‘jolok’ sebagai bekalan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Pada hari pertama, kira-kira 15 orang telah mendaftar sebagai pemogok total yang akan berkampung sepenuh masa di Dataran Markaz PAS tersebut. Mereka adalah; YM Raja Petra, Dato’ Sanusi, Cikgu Badrul, Pak Lang, Pak Non, Ah So, Hidhir, Mani, Gobi, Krishna, Nek Isah, Maein, Amin dan Nasir.

Hari pertama mogok dilalui seperti sedang berpuasa sahaja. Semua pemogok masih boleh tertawa riang dan berjenaka ria memperkatakan kezaliman dan ke‘sial’an Mahathir(inilah slogan pemogok-pemogok sepanjang kempen ini!). Setelah 24 jam berlalu, saya masih tidak mengambil walau setitik air. Keesokan harinya, pada hari kedua mogok, kesan mogok mula terasa. Seakan-akan otot-otot tangan dan kaki meronta-ronta untuk diceraikan daripada badan. Pedihnya tidak terkata. Ditambah pula lagi dengan cuaca panas terik. Makin bertambah teruk keadaan saya. Sehingga ada yang berlawak, kalau matipun bukan sebab kelaparan, tapi sebab kekeringan, cuaca panas!! Namun semua itu langsung tidak akan mematahkan semangat saya. Kami menerima kunjungan daripada pimpinan tertinggi BA iaitu Ustaz Fadzil Noor dan Dr Wan Azizah Wan Ismail. Mereka menyatakan sokongan terhadap usaha kami ini dan akan terus bersama-sama kami.

Atas nasihat teman-teman, saya menamatkan mogok tanpa sebarang makan dan minum saya selama kira-kira 43 jam itu dengan sedikit air mineral. Terasa segar sedikit badan setelah mengambil sedikit air. Tapak pemogok lebih ceria dan meriah apabila malam menjelang. Orang ramai datang untuk melihat sendiri pemogok-pemogok dan juga pameran yang disediakan. Malam itu, tiada sebarang ceramah. Yang ada hanyalah majlis meraikan pemogok dengan bacaan sajak, lagu rakyat dan sebagainya. Semua pemogok berpeluang menyatakan isi hatinya. Tak kurang juga yang membaca sajak sehinggakan Pak Salleh Bakar dan Dinsman berasa tercabar dengan kebolehan kami para pemogok. Maka di sinilah secara rasminya slogan ‘Mahathir Sial’ itu dilancarkan. Pemogok-pemogok yang semakin kosong perutnya itu menjadi semakin amarah. Apabila saja nama Mahathir disebut, pasti akan disahut dengan laungan ‘Sial’ beramai-ramai. Pastinya kami ada alasan tertentu untuk memperkatakan Mahathir sehingga ke tahap itu.

Hari ketiga, Jumaat 12 April 2002 dan hari berikutnya kami mula menerima kunjungan pimpinan-pimpinan BA. YB Mahfudz, Saifuddin Nasution, Dr Hatta Ramli, Dr Sanusi, Abd Rahman Othman, Subky Latiff, Haji Hassan Shukri, Lim Kit Siang, YB Teng Chang Khim, Dr Lo’Lo’ dan ramai lagi pimpinan yang memberi sokongan yang berterusan buat kami. Program hari ketiga agak mencabar buat kami, iaitu menyertai Himpunan Anti-Keganasan Israel di hadapan Kedutaan Amerika. Dengan cuaca panas terik, kami gagahi juga diri kami untuk bersama-sama rakyat Malaysia mengutuk keganasan Yahudi. Masing-masing sudah lemah, saya sendiri terpaksa dipapah oleh teman-teman yang lain. Kepala terasa berat, badan kerap kebas, mungkin kesan kekurangan air. Sementara Cikgu Badrul pula muntah-muntah dan hendak pitam. Kami terus dibawa pulang ke Markaz PAS sebelum keadaan bertambah buruk.

Petang itu, anak Raja Petra datang untuk memeriksa tahap gula dalam darah kami. Setiap seorang diperiksa tahap gulanya. Kebanyakannya berada di tahap yang rendah. Saya sendiri pada tahap 3.6 iaitu atas sedikit sahaja daripada tahap bahaya 3.2. Manakala seorang pemogok, Amin, berada di bawah tahap bahaya iaitu 2.8. Ini agak merunsingkan kami. Pemeriksaan doktor juga mendapati kebanyakan pemogok mengalami ‘dehydration’ iaitu kesan kekurangan air. Simptom kerap kebas seluruh badan yang saya alami itu juga disahkan oleh doktor sebagai kesan dehidrasi. Maka kami ‘dipaksa’ untuk mengambil air yang lebih dan sedikit minuman bergula. Suasana pada malam tersebut lebih mencemaskan. Ketika Markaz PAS sibuk dengan ceramah oleh Ustaz Fadzil Noor, keadaan pemogok bertambah teruk. Saya sendiri terlantar tidak bermaya. Manakala 2 buah ambulans dikejarkan untuk membawa 2 orang pemogok yang pengsan. Cikgu Badrul dibawa ke Pusat Rawatan Islam. Manakala Hidhir pula dibawa ke Hospital Besar.

Tiga hari sudah berlalu, namun semangat dan keazaman saya masih kukuh. Pada hari keempat, kami pergi ke Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada menterinya, Abdullah Ahmad Badawi. Kedatangan kami disambut dengan kawalan polis yang ketat, seolah-olah kami ingin meletupkan Putrajaya itu. Sebagai rakyat Malaysia, saya kecewa kerana bangunan yang dibina menggunakan wang rakyat itu dikawal rapi agar tiada seorang pun rakyat Malaysia yang boleh menjejakkan kaki ke dalamnya. Beginilah sikap pemimpin-pemimpin UMNO/BN! Setelah menyampaikan memorandum itu hanya kepada Setiausaha Sulit Kanan menteri, kami beredar untuk memberi penerangan kepada media. Namun di sini Ketua Polis Putrajaya mula menunjukkan lagaknya. Dengan cuaca panas terik, matahari tegak di atas kepala, setelah 3 hari tidak makan, apalah sangat yang boleh kami lakukan sehingga pihak polis begitu sombong dan angkuh terhadap kami. Di kala suasana tegang antara pemogok dengan Ketua Polis ini, saya pula jatuh pengsan. Terus saya dikejarkan ke Pusat Perubatan Az-Zahra yang terletak agak dekat dengan tempat kejadian. Di situ, air dimasukkan ke dalam badan saya. Keadaan saya selepas itu lebih stabil.

Aktiviti pemogok diteruskan selepas itu. Sasaran seterusnya ialah KLCC!! Kami beramai-ramai ke situ untuk mengedarkan risalah kepada orang awam untuk memaklumkan mogok lapar yang sedang berjalan. Menggunakan kerusi roda, saya dibawa menyertai teman-teman lain yang tiba lebih awal. Kami pemogok hanya duduk, manakala sukarelawan mengedarkan risalah. Suasana yang mulanya tenang setenang kolam di Taman KLCC itu mula berkocak. Ini semua kerana kerenah polis yang cuba menunjukkan kekuasaannya. Mereka mula mengarahkan kami menurunkan banner, menghalang kami daripada duduk di situ dan sebagainya. Orang awam mula mengerumuni kami. Ini sekaligus berjaya menarik minat orang awam untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Kami berhujah meminta anggota polis tersebut menyatakan kesalahan kami. Nah, diam tak terkata anggota polis tersebut! Kami berjaya, orang awam mula mengikut kami menyanyikan lagu rakyat dan bersorak menyokong kami. Akhirnya pihak polis sendiri terpaksa menanggung akibat kebodohan sendiri. Kami menang!!

‘Black 14’ muncul lagi. Tarikh inilah yang memenjarakan Pejuang Reformasi kita, Anwar Ibrahim. Tarikh ini jugalah yang menjerat ayah saya dan teman-teman di bawah penjara ISA. Kini ia muncul lagi. Pada hari kelima mogok ini, kami dibawa ke Dewan Perhimpunan Cina Selangor untuk majlis pelancaran Galeri Black 14. Terasa badan semakin lemah walaupun semangat semakin membara. Tatkala majlis berlangsung, giliran Gobi yang pengsan. Keadaannya cukup lemah, beliau dikejarkan dengan sebuah ambulans. Kami yang lain semakin risau dan runsing dengan keadaan semasa. Namun perjuangan ini harus diteruskan, sasaran berikutnya pula adalah Pasar Seni. Di sini lebih bermakna kerana Ustaz Fadzil Noor, Dr Wan Azizah dan Dr Syed Husin sendiri turun bersama-sama kami mengedar risalah. Namun sekali lagi pihak polis bertindak biadap. Kali ini pasukan topi merah FRU pula yang melayan kami. Habis risalah kami dirampas. Namun kami tidak membiarkan begitu saja. Lawan tetap lawan........

Apalah nasib saya, tubuh yang lemah ini bertambah-tambah lemah. Saya pengsan sekali lagi. 2 kali dalam tempoh 24 jam. Di atas kerusi roda, perlahan-lahan pandangan saya gelap, terkulai layu, sayup-sayup kedengaran panggilan Cikgu Badrul, “Muthanna, kau ok ke???”. Sekali lagi dikejarkan ke hospital berdekatan iaitu Pusat Perubatan Kg Baru. Keadaan saya agak kritikal. “Tap..tap..tap...eh..eh takde darahlah!”, jururawat yang cuba mengambil darah saya berkata. Hanya setelah 3-4 kali mencuba barulah darah saya keluar. Saya dimasukkan ke dalam wad dan dimasukkan air, glukosa dan vitamin ke dalam badan saya. Setelah beberapa jam tidak sedarkan diri, barulah saya dapat membuka mata secara perlahan-lahan. Begitulah kritikalnya keadaan saya petang itu.

Doktor yang memeriksa saya mengatakan bahawa badan saya terlalu kering, tiada air. Maka saya terpaksa ditahan di dalam wad. Resah dan bosan saya di dalam wad itu hanya Tuhan saja yang tahu. Apalah yang dapat saya lakukan di dalam wad sedang teman-teman yang lain berjuang di luar. Betapa ruginya saya tidak dapat bersama-sama teman-teman dengan kerja buat mereka di luar. Saya cuba keluar pada hari yang sama, namun doktor tidak mengizinkan. Esoknya saya cuba lagi, tetap doktor tidak mengizinkan. Saya nekad, saya mesti keluar juga dari wad! Saya kuatkan diri untuk menunjukkan yang saya sudah sihat dan bertenaga. Akhirnya, setelah 2 hari, iaitu pada hari ketujuh barulah saya dapat keluar dari wad tersebut. Alhamdulillah....

Destinasi pertama selepas keluar wad sudah tentu Tapak Pemogok! Saya ingin bersama-sama teman pemogok yang lain meneruskan perjuangan suci ini, biar apapun yang bakal berlaku. Dan pada hari itu, kami menerima kunjungan wakil dari Kedutaan Kanada. Wakil tersebut menunjukkan keprihatinannya terhadap usaha yang sedang kami jalankan. Dan saya diberitahu, sepanjang ketiadaan saya, pelbagai perkara yang telah dilakukan oleh teman-teman. Mereka pergi mengedar risalah di Sogo, Giant Taman Permata, membuat laporan polis dan menerima kunjungan wakil dari Kedutaan Amerika!! 7 hari yang berlalu mula menampakkan keresahan kerajaan. Surat khabar mula menyiarkan kenyataan-kenyataan berkaitan mogok yang sedang dijalankan. Sama ada ia sesuatu yang positif atau negatif, kami telah berjaya untuk menarik perhatian masyarakat awam! Maka tercapailah kemenangan awal buat kami.

Masuk hari kelapan mogok lapar berjalan. Kami diberitahu bahawa peguam dan Puan Zumrah, isteri Ustaz Badrulamin akan melawat 6 tahanan di Kamunting. Kami hanya bersabar menunggu perkhabaran daripada mereka. Sedang kami bersiap-siap untuk menghantar memorandum kepada PBB, satu panggilan telefon diterima oleh Raja Petra. Perkara pokok yang dinyatakan oleh Puan Zumrah adalah, 6 tahanan di Kamunting meminta pemogok-pemogok lapar di luar menghentikan mogok. Suasana menjadi tegang. Masing-masing dengan pandangan dan pendirian masing-masing. Malam itu, walaupun ceramah mogok lapar sedang berlangsung, suasana terus-menerus tegang sehingga tengah malam sehinggalah Dr Wan Azizah tiba untuk menjelaskan situasi sebenar. Akhirnya, setelah bermesyuarat panjang, kami mencapai keputusan untuk tidak menghentikan mogok sehinggalah 6 tahanan di Kamunting berhenti mogok. Kerana mogok kami adalah tanda solidariti kami kepada usaha yang sedang mereka jalankan. Bagaimana mungkin kami berhenti sedangkan ayah dan temannya di dalam kem masih bermogok? Keputusan kami tegas dan jelas.

Pada hari kesembilan, tiada acara besar yang kami jalankan. Kami hanya mengedarkan risalah di pasar-pasar malam dan berjumpa SUHAKAM untuk mengucapkan penghargaan kepada mereka kerana berjanji untuk mengadakan inquiry terhadap 6 tahanan. Tika mengedar risalah, pelbagai pengalaman menarik kami timba. Adakalanya kami berdebat hebat dengan orang-orang yang tidak nampak kezaliman yang berlaku. Tak kurang juga yang mencemuh dan memaki kami. Inilah harga yang kami bayar semata-mata untuk menegakkan perjuangan ini. Jika dilihat orang, memang mudah untuk berdiri mengedar risalah di tengah-tengah khalayak ramai. Ada pula yang berkata apa yang kami lakukan ini hanya untuk menarik perhatian dan mencari glamor. Apakah glamor atau mudah untuk kami memakai banner wajah Anwar Ibrahim di badan untuk berhadapan dengan khalayak yang tidak semuanya menyokong kami? Bukan persoalan malu, namun inilah persoalan berani atau tidak. Sebagaimana yang dikatakan oleh pejuang reformasi kita, ‘kalau takut dengan risiko, usah bicara tentang perjuangan’. Ramai yang pandai mengucapkan kata-kata ini, namun tak ramai yang sanggup merealisasikan dalam perbuatannya. Namun apa yang saya dan teman-teman pemogok lalui ini sememangnya suatu pengalaman yang cukup berharga.

Keesokan harinya, masuklah hari ke-10 mogok berjalan. Tika ini badan semakin lemah dan tidak begitu stabil lagi. Tekanan darah saya yang semalamnya rendah menjadi semakin rendah pada hari ke-10 ini., entah mengapa. Sepanjang hari-hari awal mogok yang dikira genting, tekanan darah saya tidak pernah tidak normal. Mungkin terlalu kerap memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku setelah membaca mesej-mesej ringkas daripada ayah saya menyebabkan tekanan darah saya bertambah rendah. Mogok tetap berjalan, kami menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara dan sekaligus mengedar risalah di sana. Selesai mengedar risalah, kami ke SUHAKAM untuk menyertai aduan oleh keluarga tahanan ISA terbaru. Penggunaan ISA ini jelas meunjukkan betapa dayus dan hinanya kerajaan yang terus-menerus menggunakan ISA, kali ini terhadap seorang wanita yang suaminya turut menerima nasib yang sama. Lihatlah betapa teruknya keadaan negara kita ini, terus-menerus menuju ke arah kehancuran. Saya tidak dapat melihat mengapa rakyat masih boleh berdiam diri, mengapa kezaliman yang begitu jelas dan nyata ini masih tidak dapat membangkitkan kesedaran rakyat untuk bangun menentang kezaliman ini.

20 April 2002, masuklah hari ke-11 mogok lapar berjalan. Kami menunggu perkhabaran daripada peguam yang akan melawat ayah dan teman-teman di Kamunting. Namun apa yang kami dapat adalah sesuatu yang mengecewakan. Pihak kem tidak membenarkan peguam masuk berjumpa tahanan. Maka tiada sebarang keputusan penting dapat dicapai hari itu. Ini juga bermakna kami terputus hubungan dengan tahanan selama 3 hari. Entah apa yang berlaku tidak dapat kami agak dan jangkakan. Namun teman-teman pemogok semuanya bersiap-sedia untuk ke Pulau Pinang untuk memenuhi jemputan dari sana. Mereka akan diraikan dalam beberapa majlis ceramah sepanjang malam tersebut dan seterusnya akan ke Kamunting pada keesokan harinya. Saya pula tidak menyertai mereka ke Pulau Pinang dan akan terus ke Kamunting untuk melawat ayah bersama-sama keluarga.

Maka dalam lawatan keluarga pada 21 April 2002, tamatlah mogok lapar yang dijalankan selama 11 hari ini. Kesemua 6 tahanan menamatkan mogok lapar di hadapan kami ahli keluarga masing-masing. Walaupun mereka menyatakan perasaan terharu mereka di atas pengorbanan kami di luar dan tidak tahu dengan apa harus dibalas, sepatutnya kita yang lebih terharu dengan apa yang telah mereka korbankan selama ini. Walaupun saya sendiri dipanggil ‘wira’ oleh ayah, Ezam, Ustaz, Lokman, Isham dan Tian, namun saya tetap merasakan apa yang saya lalui ini hanyalah satu juzuk kecil sumbangan saya dalam perjuangan ini. Selagi kita tidak menceburkan diri, tidak menyerahkan jiwa raga untuk perjuangan ini, maka selagi itulah kita tidak akan merasai atau memahami apakah ertinya perjuangan. Kita tidak akan merasai atau memahami apakah erti pengorbanan.

Catatan bersejarah mogok lapar ini merupakan satu catatan pengalaman yang amat berharga dan bersejarah. Tidak lain dan tidak bukan untuk membangkitkan kesedaran kita memperjuangkan hak kita selaku rakyat Malaysia. Bukan untuk memperbesar-besarkan pengorbanan yang saya lalui atau meraih simpati murahan. Sekiranya kita merasakan ISA itu jauh daripada kita, nyata kita silap. Adakah kita mampu duduk bersenang-lenang di atas kerusi empuk sedangkan nasib kita, anak-anak cucu kita generasi akan datang masih belum terjamin selagi adanya ISA yang zalim dan menindas ini. Adakah kita akan terus-menerus redha dengan kezaliman yang berlaku ini? Fikirlah sendiri.........

Bebaskan tahanan ISA!
Mansuhkan ISA!

Muthanna Saari
27 April 2002


1 ulasan:

Anak Muda Johor Bahru berkata...

dah dua hari berturut2x jet perjuang singapore masuk ke kawasan johor ??
ada comment dari pihak tuan ??