Berita yang disalinsemula dari M-Star Online pada hari ini yang disediakan oleh G Manimaran:-
PETALING JAYA: Krisis politik Perak melangkah ke tahap baru berikutan keputusan pemimpin Pakatan Rakyat negeri itu untuk mengadakan mogok lapar tiga hari minggu depan sebagai sebahagian daripada usaha terbaru mereka untuk mendapatkan kembali hak rakyat.
Ia akan berlangsung selama tiga hari mulai Selasa ini.
Mesej langkah itu ialah menggesa Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan kembali kepada rakyat, kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online.
"Ya, ya... kami akan adakan (mogok lapar) mulai 26 Mei (hari Selasa)," katanya.
Tambah beliau, langkah itu telah lama diputuskan dan tiada kaitan dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam.
"Ia akan disertai oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Perak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat... mereka yang berminat boleh menghubungi kami (sekretariat) dan mendaftarkan diri mereka," kata beliau sambil menambah, tidak pasti berapa ramai yang akan mengambil bahagian.
"Tidak pasti berapa ramai sebab ia akan diadakan selama tiga hari," katanya.
Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, pihaknya mengadakan mogok lapar "untuk mendapatkan kembali hak rakyat."
Mereka akan mengadakan mogok lapar di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan Dewan Undangan Negeri.
Lapan wakil rakyat dikatakan telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk dari PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Semalam Mahkamah Rayuan sebulat suara mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Panel Hakim Mahkamah Rayuan dalam penghakiman mereka mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.
Krisis politik Perak bermula awal Februari lalu, sekali gus membawa kepada perubahan kerajaan negeri daripada kepimpinan Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional (BN).
Pada 7 Mei lalu, krisis politik menuju "era baru" apabila Speaker V. Sivakumar dari Pakatan Rakyat disingkir dan digantikan dengan wakil Barisan Nasional (BN).
..........
Perkara yang berlegar di kota pemikiran saya adalah adakah agama Islam membenarkan ini semua atau apakah pernah berlaku dalam sejarah Islam dalam menghadapi situasi seperti ini.
Saya akan berterima kasih dengan segala respon kerana ia suatu perkara baru dalam sejarah negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan