Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Mei 23, 2009

PROGRAM JOM KE PERPUSTAKAAN

.
Saya baru saja berada dalam majlis "Program Jom Ke Perpustakaan" anjuran bersama Biro Pelajaran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru dan Perpustakaan Sultan Ismail (PSI), Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Majlis yang diadakan di bangunan Perpustakaan Sultan Ismail, Jalan Datin Halimah, Johor Bahru telah dijayakan dengan mengadakan pertandingan mewarna, pertandingan bintang kecil dan bengkel kemahiran belajar/pengurusan masa bagi pelajar tahun 6.

Seramai 240 orang murid tahun 5 dan 6 dari 12 sekolah rendah dalam Parlimen Johor Bahru telah diberi kad keahlian PSI secara percuma yang boleh digunakan selama 3 tahun.

YB Dato' Shahrir Abd Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru dalam ucapan perasmiannya mengharapkan murid-murid yang telah menerima kad keahlian ini akan menfaatkannya dengan menjadi pelanggan tetap di PSI.

Tidak dinafikan bahawa banyak sekolah yang mempunyai Kutub Khanah tetapi jumlah buku adalah terhad. Perpustakaan Sultan Ismail seharusnya menjadi tempat sesuai untuk mendapatkan segala bahan bacaan yang tidak terdapat di sekolah masing-masing.

Begitupun, Dato' Shahrir berharap peranan PSI ini dapat ditingkat dan diperluaskan berdasarkan kepada situasi semasa terutama dengan penggunaan alam siber yang tidak mempunyai sempadan.

Perpustakaan Sultan Ismail seharusnya lebih agrasif dan mencari ruang lebih relevan kepada pengguna dan komuniti seperti tidak menumpukan kepada perkara akademik semata-mata.

Ketika ini pelajar-pelajar Malaysia dikenali oleh negara luar sebagai pelajar yang mempunyai kebijaksanaan dari keputusan peperiksaan yang mengagumkan. Bagaimanapun, pencapaian kegiatan luar darjah (koko) tidak yang terbaik.

Dengan sebab itu, segala usaha hendaklah digembelingkan agar pelajar negara kita mempunyai pencapaian cemerlang dalam segala segi dan pastinya ia akan dapat memenuhi pasaran semasa.

Dato' Shahrir berharap program yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru ini akan menjadi aspirasi kepada kegiatan sayap UMNO untuk meningkatkan serta menyuburkan keinginan pelajar bagi menggunakan perpustakaan sebagai tempat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.




Tiada ulasan: