Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Julai 18, 2009

LAWATAN KAWASAN LARKIN BERSAMA DATO' SHAHRIR

.
Lawatan ke setiap zon Bandaraya Johor Bahru yang diketuai oleh Dato' Shahrir Samad khusus di Parlimen Johor Bahru adalah program yang dijalankan setiap bulan.

Lawatan bersama wakil rakyat Tanjung Puteri dan Stulang beserta semua Ahli Majlis MBJB dari parti-parti komponen BN Johor Bahru adalah rutin yang telah ditetapkan oleh Dato' Shahrir. Beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat bulanan atau selewat-lewatnya dua bulan sekali. Setiap Ahli Majlis dikehendaki membuat laporan kegiatan dan permasalahan di setiap zon masing-masing.

Untuk lebih efisyen dan fungsi menyeluruh, Haji Mohd Ali Salleh, bekas Setiausaha Politik Dato' Shahrir telah dilantik sebagai Urusetia dalam program ini.

Sehingga kini, 3 kawasan telah dilawati iaitu Taman Century, Taman Pelangi dan Larkin Jaya.

Keberkesanan lawatan yang telah dilakukan amat ketara terutama di Taman Century. Majlis Bandaraya telah mengambil tindakan segera seperti memperbaiki kerosakan jalan, longkang dan sebagainya selain mengarahkan beberapa pemaju perumahan bertindak kepada perkara yang diadukan.

Pada hari Khamis kelmarin, lawatan di Zon Larkin bermula pada jam 2.30 hingga 6.30 petang bertumpu kepada permasalah pembinaan dewan raya di Taman Dato' Onn, mendapan tanah akibat projek terbengkalai, kawasan semak laluan Keretapi Tanah Melayu, taman permainan, sampah, longkang dan mencantas pokok di Kampong Ungku Mohsen.

Dalam lawatan tersebut, pegawai-pegawai dari Majlis Bandaraya Johor Bahru, Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor dan Keretapi Tanah Melayu telah memberi penjelasan mengenai segala perkara yang dibangkitkan.

Pada setiap lawatan seperti ini, mereka yang turut sama dalam lawatan akan memahami segala permasalahan dan pastinya mereka yang terlibat akan mengambil tindakan sewajarnya.

Lebih manis apabila penduduk memberi respon positif dengan menemui sendiri pemimpin yang membuat lawatan dan mengajukan permasalahan lainnya.

Berbincang dengan pemaju untuk pembinaan
Dewan Raya di Taman Dato' Onn

Melihat jalan mendap akibat kolam
di projek pemajuan terbengkalai

Kawasan semak laluan keretapi,
aduan dari penduduk kelihatan babi hutan di sini

Pegawai KTM memberi penjelasan

Percayalah, beberapa hari lagi kawasan semak ini
akan ditebas

Melihat aliran longkang di Kg Ungku Mohsen

Menemui pesakit yang menunggu untuk
urutan dengan tabib Cina

Salam perkenalan dengan tabib Cina
di Kg Ungku Mohsen

Tiada ulasan: