Biasanya setiap bulan Ramadhan saya akan mencari ruang untuk bersama keluarga di kampong samada untuk berbuka atau bersahur. Pada tahun ini saya tidak sempat melakukannya walaupun saya balik pada minggu pertama puasa, namun disebabkan banyak perkara yang perlu dilakukan, saya tidak dapat bersama berbuka atau bersahur terutamanya bersama ibu.
Saya bercadang untuk balik ke kampong pada hari Sabtu agar dapat berbuka puasa pada hari terakhir, namun tidak kesampaian kerana keadaan lalulintas yang agak sesak. Saya bersama isteri dan Safikah hanya dapat berbuka dalam kereta di persimpnagan Tol Sedenak dan seterusnya bersolat Maghrib di Felda Bukit Batu.
Perjalanan malam Hari Raya memang menyeronokkan kerana di kiri kanan jalan terutama di kawasan perkampongan kelihatan kanak-kanak bermain bungi api disamping meihat pelbagai telatah mereka. Lampu-lampu minyak tanah pula dipasang dalam pelbagai bentuk. Suasana seperti ini tidak ada di bandar-bandar. Mungkin sebahagian mereka yang di bandar telah balik ke kampong masing-masing.
Setibanya di kampong, Kak Juriah, Abang Asmuni dan Junaidah masih belum sampai. Tidak mengapa kerana yang penting ada adik beradik lain yang telah ada untuk membuat persiapan. Sekurang-kurangnya kehadiran mereka dapat menggembirakan hati ibu.
Saya tidor awal pada malam Hari Raya di kampong mungkin terlalu mengantuk disebabkan pada sembilan malam terakhir Ramadhan saya tidak melepaskan peluang berqiamullail bersama isteri di masjid.
Setelah mandi sunat Hari Raya (Bapakku memang sentiasa mengajarkan anak-anaknya tentang hal ini) dan berpakaian baru (Saya berbaju Melayu yang dibeli dan diguna pada tahun lalu), kami semua akan mencium tangan ibu dan meminta maaf darinya.
Saya terus ke surau lebihkurang 200 meter dari rumah untuk menunaikan solat Aidilfitri. Semua ruangan di surau yang baru disiapkan dipenuhi terutama oleh anak-anak muda. Terdapat beberapa orang juga suri rumah yang solat bersama. Memang ramai yang tidak saya kenali, maklum saja pangkat anak-anak dan cucu namun saya boleh mengagak mereka itu semua dari keluarga yang saya kenal.
Adikku, Ahmadon menjadi bilal surau dan solat diimamkan oleh Haji Misran Sungkono sementara Cikgu Rafi (Pi'e) membaca khutbah.
Setelah solat, para jemaah bersalam-salaman dan bergambar. Rasanya baru tahun ini terdapat seorang anak ahli kariah mengambil gambar. Saya dapat juga merakamkan gambar penggerak dan AJK surau berkenaan.
Rutin yang pasti dilakukan pada setiap solat Hari Raya di kampungku sejak saya kecil adalah bertahlil untuk arwah semua keluarga di kampung yang telah meninggal dan pastinya ia akan dituruti oleh makan kenduri.
Inilah satu adat turun temurun di kampungku, makan nasi ambeng (sebutannya bukan ambang). Setiap keluarga akan membawa sedulang hidangan dari rumah masing-masing.
Perkara penting adalah kami tidak akan makan dari hidangan yang kami bawa sendiri. Makan nasi dalam satu dulang dengan tidak menentukan berapa ramai orangnya, yang penting mereka semua dapat menjamahnya. Yang penting mereka dapat bersama dan makan pun hanya sebagai syarat sahaja kerana sebahagian besar hidangan akan dibagi-bagi samarata untuk dibawa balik ke rumah.
Makanan yang dibungkus dan dibawa balik ke rumah ini disebut "berkat". Inilah adat Jawa yang dibawa dari negara seberang. Memang unik makan nasi ambeng kerana keluarga yang di rumah juga akan turut sama menjamahnya. Bayangkan bagaimana nasi dari satu dulang dapat dirasa oleh ramai orang.
Di rumah, kami terpaksa menolong ibu melayan begitu ramai tetamu. Memang beginilah keadaannya setiap tahun sejak dari dahulu kerana keluarga orang tuaku sangat disegani dan dihormati oleh penduduk di kampungku. Mungkin ia bermula dari datukku yang menjadi Ketua Kampong dan diikuti oleh bapaku. Selain itu, bapaku adalah guru Al-Quran dan begitu ramai murid-muridnya. Tentulah anak cucu mereka sentiasa memberi penghormatan kepada gurunya walaupun setakat guru membaca Al-Quran, apatah lagi ibuku masih ada dan diantara beberapa orang lama yang masih ada.
Di sebelah petang, anak-anakku datang dari Johor Bahru dan kami bersama-sama mengunjungi rumah-rumah sepupuku. Bapa dan emak saudaraku semuanya telah meninggal dunia bahkan beberapa orang sepepuku juga telah turut sama menemui Yang Esa.
Kami dapat berhari raya di rumah Kak Marmi di Parit Yusof (sekampung dengan YB Haji Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Kak Parisah, Kang Bakar, Kak Nah dan Samini serta Kak Ngadilah.
Memang banyak rumah lagi yang tidak dapat kami kunjungi terutama rumah sepupu yang lain, namun kami terpaksa balik ke Johor Bahru pada malam tersebut. Memang terlalu berat untuk meninggalkan keluarga di kampung apatah lagi Kak Juriah yang menderita penyakit Parkinson, baru saja datang dari Bandar Tenggara bersama anak dan cucunya. Abang Asmuni masih belum sampai, tentulah juga saya terkilan tidak dapat berjumpa dengannya.
Sesampainya di rumah Bandar Baru Uda, saya terus menonton perlawanan bola Liga Inggeris yang membabitkan pasukan kegemaranku, Chelsea.
Pagi hari raya kedua ini kami akan berziarah ke rumah-rumah keluarga isteriku yang begitu ramai di Johor Bahru. Lusa, satu pertemuan besar keluarga isteriku akan diadakan sebagaimana berlaku pada tahun lalu. Malam Jumaat, saya akan mengadakan bacaan yassin dan tahlil di rumah tanda bermulanya program ziarah hari raya untuk kumpulan Yassin (saya menjadi ketuanya).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan