Radio Internet FuhYooFm

Khamis, November 26, 2009

MENGIKUTI CERAMAH PARTI PAS

.
Malam semalam saya berpeluang mengikuti ceramah parti PAS di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram. Saya terpanggil untuk pergi kerana terjenguk dalam blog yang mengiklankan ceramah tersebut disamping untuk mengetahui ceramah ini dapat menarik minat penduduk di rancangan tanah ini,

Minat saya begitu kuat untuk kesana kerana saya pernah bekerja di rancangan ini hampir 15 tahun. Saya mula mengenali politik juga disini dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan pada tahun 1975.

Saya pernah mengenali hampir kesemua 696 peneroka di sini. Malahan ramai keluarga mereka juga yang saya kenali. Setelah lebih 15 tahun saya meninggalkannya, tentulah saya ingin mengetahui bagaimana arah dan fahaman politik penduduk di sana.

Sekitar jam 9 malam saya sampai di tempat yang dituju, di kawasan perniagaan bersebelahan stesyen minyak Mobil dan berhadapan dengan Balai Raya. Suasana masih sepi. Hanya ada sekitar 30 orang yang mundar mandir. Saya langsung tidak mengenali mereka kerena kesemuanya masih di peringkat umur 20an atau mungkin 30an.

Saya cuba bertanya beberapa perkara dengan seorang wanita peniaga makanan di situ. Saya kenal bapanya, Rabu. Pertanyaan pertama saya siapa yang menganjur. Jawapannya rengkas, Pak Rahman Kontel.

Saya memang kenal dengan nama ini. Nama sebenarnya ialah Abd Rahman bin Baharom, peneroka Peringkat 4 atau Peringkat D. Bagi pegawai-pegawai Felda yang bekerja di sini pasti mengenalinya kerana sikapnya yang suka menjadi ketua yang sering bertentangan dengan arahan pentadbiran Felda.

Dahulu, beliau pernah berusaha menubuhkan Persatuan Peneroka dan menjadi ketua kepada beberapa orang peneroka yang tidak mahu bersama-sama pentadbiran Felda untuk kerja-kerja menebang dan menanam semula sawit. Saya tidak pasti apa kesudahannya sekarang, hanya yang diberitahu pengikutnya sudah boleh dibilang dengan jari saja sekarang ini.

Apa yang saya fikirkan ialah PAS tidak akan diterima oleh penduduk di rancangan ini kerana diantara puncanya ialah pemimpin yang disebutkan tadi. Memang benar, sekitar jam 10.30 malam dianggarkan tidak sampai pun 70 atau 90 orang yang mengikuti ceramah. Saya tidak nampak peneroka Felda yang datang.

Ceramah Mazlan Aliman, anak peneroka Felda Bukit Ramun boleh menyebabkan PAS mungkin lebih dicemuh. Dia memperlekehkan bacaan Yassiin yang sudah sebati dengan masyarakat peneroka mahupun rakyat Johor.

Saya tertunggu-tunggu ceramah YB Khalid Samad. Penganjur mengulang dan menyebut YB Khalid adalah adik Datuk Shahrir Samad. Saya mahupun penduduk Felda yang mendengarnya tentu lebih merasa bangga kerana Datuk Shahrir lebih populer dari adiknya, sementara adiknya hanya menumpang "tui" sahaja.

Inilah kali pertama saya mendengar ceramahnya. Saya hanya boleh berkata cara berucap hampir sama dengan Datuk Shahrir, biasa sahaja dan boleh dikatakan bukan pemidato. Isinya pula bagaimana?. Langsung tidak menarik perhatianku. Tidak pun sampai 20 minit mendengarnya, lebih baik balik ke rumah dan melihat pertandingan tennis di Astro 816.

Sebelum ceramah bermula, rakaman ceramah Mohamad Sabu ditayangkan. Apabila mendengarnya, saya hanya beristigfar dan berkata dalam hati ..... jawablah sendiri nanti kau di akhirat apabila berhadapan malaikat Mungkar dan Nangkir.

Entahlah, bila lagi saya nak mendengar ceramah PAS. Tak menarik langsung.

Tiada ulasan: