Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Disember 27, 2009

INGATAN NORAINI HJ JOHARI KEPADA JUARA KAMPUNG

.
Malam Sabtu lalu, Ketua UMNO Cawangan Desa Melayu, Johor Bahru, Sdr Noraini Hj Johari begitu bersemangat ketika berucap dalam majlis dialog dan penerangan perpindahan penduduk yang terlibat dalam projek pembinaan Lebuhraya EDL.

Sebagai pemimpin di Desa Melayu, Noraini sangat dikenali oleh anak-anak buahnya sebagai ketua yang sangat mengambil berat kebajikan masyarakat. Tidak hairanlah ia begitu bersungguh-sungguh merealisasikan wawasan Dato' Shahrir Samad untuk penempatan semula penduduk supaya tidak menerima nasib malang sebagaimana dalam projek-projek penswastaan yang tergendala.

Beberapa bulan lalu, Noraini terpaksa berehat dalam tempoh 5 bulan kerana masalah kesihatan. Ketika ia menderita sakit yang tidak diundang, timbul pula 'juara kampung' (istilah yang disebut oleh Noraini) yang cuba mempengaruhi penduduk supaya tidak menerima gerakkerja yang dilakukan oleh UMNO Cawangan.

Noraini sedar perlakuan 'juara kampung' yang sanggup membawa pemimpin Pakatan Rakyat dari PAS, DAP dan PKR ke Desa Melayu dalam majlis yang dikatakan sebagai majlis 'ramahmesra'. Majlis ini adalah untuk mensabotaj usaha yang telah dilakukan olehnya bersama Jawatankuasa dan penduduk kampong.

Semasa berucap pada malam Sabtu lalu, Noraini mengucapkan terima kasih atas sokongan penduduk kampong yang bersama-sama dengannya bersusah payah sejak dari mula meneroka penempatan sehingga berjaya mendapat kemudahan seperti jalan tar, telefon, bekalan air, letrik dan sebagainya.

Noraini juga sedia maklum atas kemahuan penduduk untuk mendapatkan geran tanah dan usaha telah dilakukan sebelumnya. Malangnya ia tidak dapat diteruskan kerana jumlah penduduk yang ramai yang memungkinkan ada yang tercicir kerana tidak kecukupan lot tanah.

Beliau mengulangi sokongannya melalui UMNO Cawangan yang telah dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada usaha yang dilakukan oleh Dato' Shahrir Samad untuk menentukan kebajikan penduduk diberi pembelaan sewajarnya.

Mengakhiri ucapannya, Noraini memberi amaran kepada 'juara-juara kampung' supaya sedar dan menerima hakikat akan akibat dari tindakan mereka menghasut penduduk agar tidak bersama dalam segala gerakkerja yang dibuat oleh UMNO Cawangan khususnya dalam isu pemindahan.
.

Tiada ulasan: