Malam tadi dalam perjalanan balik ke rumah dari Stulang Laut bersama rakan Ahli Majlis MBJB, Azman Dawam, saya singgah sebentar untuk melihat sebuah restoran yang diberi nama Restoran Stulang Corner di Jalan Pandan 1, Stulang Darat yang telah diletupkan oleh individu yang tidak dikenali.
Peristiwa yang berlaku pada jam 2.30 pagi 30 November lalu telah merosakkan sebahagian dinding, bahagian belakang, siling dan rak kaca peragaan makanan.
Dalam cahaya yang tidak begitu terang, saya dapat melihat sebuah restoran yang dijangka mula beroperasi pada hari ini telah rosak agak teruk. Mengikut laporan-laporan akhbar, pemilik restoran berkenaan dekenali sebagai George berumur 40an berkata bahawa dia telah membelanjakan sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian.
Pemilik menjangka ia adalah perbuatan khianat. Ada juga yang mengatakan bahawa ia berkaitan dengan persainagan perniagaan. Pihak Polis juga telah menahan beberapa orang saspek berkaitan dengan kejadian berkenaan.
Saya tidak peduli dengan motif kejadian. Apa yang terfikir dari sejak berita dilaporkan di pemikiranku adalah kejadian mungkin berlaku di restoran 24 jam. Memang benar, dan inilah yang sepatutnya pemimpin, pihak berkuasa dan masyarakat berbincang samada restoran 24 jam ini baik atau sebaliknya.
Banyak persoalan yang perlu dihuraikan seperti siapakah yang ramai mengunjunginya, untuk tujuan apa, kebersihan makanan, produktiviti pengunjung, masalah sosial dan pelbagai persoalan lagi.
Sebagai Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, saya memandang berat soal restoran 24 jam kerana ia telah memberi kesan negetif.
Restoran-restoran seperti ini tidak diberi pemantauan yang bersungguh-sungguh oleh pihak berkuasa. Kelemahan inilah yang menyebabkan banyak yang telah tumbuh seperti cendawan pagi sehingga menyebabkan persaingan yang tidak sehat.
Kebanyakan restoran yang dimonopoli oleh beberapa kerat individu telah memperlekeh undang-undang pihak berkuasa. Salah seorang pengusaha telah membina 11 cawangan dan 9 darinya di Bandaraya Johor Bahru. Semuanya di lokasi strategik di premis penjuru. Ia membina bangunan tambahan tanpa kelulusan dan langsung tidak peduli keselamatan pengguna jalan raya.
Tidakkah mungkin restoran yang diletupkan ini adalah cawangan yang ke 10?. Mereka berani kerana Majlis yang takut untuk bertindak!.
Kejadian di Restoran Stulang Corner seharusnya membuka pemikiran dan tindakan serius Majlis Bandaraya Johor Bahru serta pihak berkuasa tempatan lainnya. Bertindaklah dengan lebih cepat dan efektif, jangan sampai nasi menjadi bubur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan