Radio Internet FuhYooFm

Selasa, Januari 12, 2010

KIOSK KARIAH, MESIN ATM DAN PAMIRAN SENI KHAT DI MASJID BBU

.
Gambar di atas adalah mesyuarat Jawatankuasa Masjid Bandar Baru Uda beberapa hari lalu. Mesyuarat bersama badan-badan dibawah naungan masjid membincangkan majlis perasmian Kiosk Kariah yang akan diadakan selepas solat Jumaat 15 haribulan minggu ini.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Dato' Shahrir Samad telah bersetuju untuk merasmikannya. Selain merasmikan Kiosk Kariah yang diusahakan oleh Koperasi Masjid BBU, Dato' Shahrir akan dibawa melawat Kiosk Mesin ATM Bank Islam yang ditempatkan bersebelahan Kiosk Kariah.

Penempatan kedua-dua kiosk ini adalah sebagai usaha memberi kemudahan kepada masyarakat di Bandar Baru Uda mendapatkan perkhidmatan dan keperluan disamping mengimarahkan masjid.

Jawatankuasa Masjid BBU juga telah menghubungi Yayasan Restu Malaysia yang bertanggungjawab mengeluarkan Al-Quran mushaf Malaysia untuk mengadakan pamiran seni khat serta pamiran kesenian Islam.

Yayasan Restu telah bersetuju untuk mengadakan pamiran pada hari perasmian dan menyambung sehari lagi pada keesokannya.

Bagi mereka yang ingin mendalami kesenian seni khat, Yayasan Restu akan mengadakan bengkel untuk kanak-kanak pada hari Sabtu pagi dan bagi golongan remaja serta dewasa akan diadakan pada sebelah petangnnya.

Yayasan Restu akan membawa penulis-penulis khat tanah air serta 4 orang dari Acheh Indonesia akan mempamirkan kepakarannya untuk sama dipertontonkan kepada pengunjung.
.

Tiada ulasan: