Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Januari 10, 2010

MELAWAT HJ SUBARI DI HOSPITAL

.
Kariah Masjid Jamek Bandar Baru Uda pasti mengenali Hj Subari Manan. Personal ini banyak menghabiskan masanya di masjid. Umurnya yang sudah menjangkau 84 tahun tidak menghalangnya untuk terus berbakti.

Rutinnya hariannya mudah. Solat Subuhnya di Surau Al-Falah Jalan Jagong 4 kerana berdekatan dengan rumahnya, boleh dengan berjalan kaki. Ketika itu isteri kecintaannya pula ke Masjid BBU menaiki kereta berseorangan. Tujuannya agar ia dapat mengikuti program budaya al-Quran dan terus bertadarus serta solat sunat.

Apabila isterinya balik masjid, Hj Subari akan menggunakan kereta pula untuk terus ke masjid. Pagi di masjid, beliau akan memberi arahan kepada beberapa orang pekerja untuk kerja-kerja pembersihan. Seterusnya Hj Subari akan mengajar anak-anak kariah BBU membaca al-Quran.

Kerja lain yang mesti dilakukan adalah penyeliaan pekerja katering. Tugas ini tidaklah selalu. Yang pasti 3 hari pada setiap minggu, pasukan katering akan menyediakan juadah untuk jamuan pada malam Jumaat dan sarapan pagi pada hari-hari Sabtu, Ahad dan hari kelepasan.

Untuk katering, tugas yang lebih berat adalah sekiranya ada tempahan masakan untuk majlis perkahwinan dan sebagainya.

Tugas ke pasar juga menjadi rutinnya. Biasanya dia akan meminta pembantunya memandu kereta selain membantu menguruskan pembelian dan pengangkutan bahan-bahan yang dibeli.

Selepas Zohor Hj Subari akan balik ke rumah untuk berehat dan datang semula pada waktu Asar dan Maghrib.

Semua kerja yang dilakukan olehnya adalah secara sukarela. Di Masjid BBU, Hj Subari menganggotai Jawatankuasa Tadbir dan memegang potfolio Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan.

Petang semalam, saya bersama beberapa orang jemaah masjid melawatnya di Hospital Puteri. Kedua-dua kakinya bengkak. Anak lelakinya, Azam yang ada ketika itu memberitahu kaki ayahnya berair dan hampir sampai ke paru-paru yang menyebabkannya sesak nafas.

Ketika kami sampai, Hj Subari beria-ia memberitahu tentang perihal penyakitnya. Dari percakapannya, kami dapati dia gembira dengan kedatangan sahabat-sahabatnya.

Mudah-mudahan Allah memberi kesihatan sebagaimana sebelumnya agar dapat ia meneruskan kebajikan yang sentiasa dilakukan di Masjid Bandar Baru Uda.
.

Tiada ulasan: